Negara kita pernah mengalami kelembapan ekonomi yang agak teruk pada tahun 1998 akibat krisis eknonomi yang melanda Asia ketika itu.

Masalah pengangguran dan kuasa membeli dilihat sangat teruk dan meruncing. Banyak sektor yang terjejas akibat perkara ini.

Tahukah anda, hadiah bagi pemenang-pemenang Anugerah Juara Lagu tahun itu (Juara Lagu dimenangi Siti Nurhaliza – Cindai) hanyalah barangan elektrik, berbanding edisi-edisi sebelumnya yang menawarkan hadiah mewah barangan dan ribuan ringgit?

Majlis anugerah juga banyak tidak dianjurkan sepanjang krisis ini berlangsung.

Dari segi pekerjaan, banyak kilang ditutup dan peluang pekerjaan yang ada adalah sangat terhad, di samping pemberhentian pekerja secara beramai-ramai telah berlaku.

Oleh  itu, mari kita baca artikel ini yang akan mengupas sejarah krisis ekonomi 1998 ini.

Apakah pengajaran yang boleh kita kutip daripada pengalaman ini, supaya sejarah tidak mungkin berulang?

Pengenalan

Krisis ekonomi ini melanda bermula pada tahun 1997 yang disebabkan oleh sistem ekonomi dan kewangan negara Thailand yang goyah dan lemah.

Krisis ini telah memberi kesan yang mendalam dan tekanan ke atas banyak negara di rantau Asia.

Masalah defisit akaun semasa, nilai rizab asing yang rendah dan hutang luar yang menimbun dengan caj bunga yang tinggi telah menambahkan beban ekonomi negara-negara yang terlibat dan mengambil masa yang agak lama untuk pulih.

Rentetan Berlakunya Krisis Ekonomi 1998

#1 Serangan ke atas mata wang Baht

Dalam tempoh 1986-1996, Thailand telah menunjukkan perkembangan ekonomi yang sangat pesat dan cemerlang dengan kadar purata >9% pada setiap tahun tersebut.

Nilai inflasi negara gajah putih ini juga sangat rendah sekitar 3.4 – 5.7%. Di samping itu, mata wang Baht berkadaran 25 kepada $USD ($1 = 25 Baht).

Malangnya, pada tahun 1997, telah berlaku serangan pedagang mata wang ke atas Baht secara besar-besaran. Perdana Menteri Thailand ketika itu, Chavalit Yongchaiyudh bertegas tidak akan menurunkan nilai Baht.

Tambah memburukkan, Thailand tidak mempunyai rizab asing yang mencukupi untuk menyokong ikatan $USD dan Baht ini, maka, kerajaan Thailand bertindak untuk mengapungkan nilai Baht.

Hal ini bermakna, nilai Baht boleh berubah-ubah mengikut pasaran mata wang; mencapai objektif pedagang mata wang.

#2 Perubahan ekonomi Thailand

Rentetan itu, pertumbuhan ekonomi Thailand telah terganggu terutama dari segi hartanah dan pembinaan.

Banyak pekerja tempatan diberhentikan kerja manakala pekerja asing dihantar pulang ke negara asal.

Kesannya, nilai Baht terus susut dengan pantas dari $1 = 25 Baht kepada $1 = 56 Baht.

Stok pasarannya pula direkodkan jatuh sebanyak 75% dan syarikat kewangan terbesar Thailand, Finance One telah diisytiharkan muflis.

#3 Tindak balas berantai

Krisis ekonomi yang melanda Thailand itu telah merebak ke negara-negara Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, Filipina, Laos, Myanmar, Kemboja), Hong Kong dan Korea Selatan.

Mata wang kebanyakan negara ini jatuh mendadak dengan nilai stok dan aset yang jatuh merudum.

Bagi negara-negara seperti Brunei, Singapura, Taiwan, Vietnam dan Jepun turut merasa tempias krisis ini tetapi dalam impak yang minimal.

#4 Masalah kredit

Para pelabur mula panik dengan situasi ini dan mengambil keputusan untuk mengeluarkan hampir kesemua jumlah kredit mereka daripada negara-negara yang sedang dalam krisis.

Hal ini telah mengakibatkan banyak isu muflis.

Pertukaran mata wang asing daripada pelabur luar ini juga telah memberi tekanan ekonomi, seterusnya menyebabkan nilai mata wang setiap negara ini merosot.

Pendekatan Penyelesaian Malaysia

Imej via iLabur

Ketika ini, kebanyakan negara bersetuju untuk menerima pakej bantuan pinjaman Bank Dunia melalui International Monetary Fund (IMF). Namun, terdapat syarat-syarat yang membuatkan sosiokenomi negara terlibat menjadi semakin teruk.

Negara-negara ini juga tidak mempunyai kebebasan untuk melaksanakan pelan pemulihan sendiri kerana telah terikat dengan kuasa luar tersebut.

Kerajaan pada masa itu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan agensi utama kerajaan, telah menggubal dan melaksanakan model tersendiri untuk menstabilkan ekonomi negara daripada krisis ini.

Malaysia tidak turut serta dalam pakej bantuan IMF tersebut kerana kerajaan yakin dengan rizab asing negara yang mencukupi untuk suatu tempoh sehingga dipulihkan menerusi pendekatan model baharu ini.

Antara pelaksanaan yang dilakukan ialah:

  • Penurunan kadar faedah pinjaman: syarikat-syarikat tempatan dan pengguna berkemampuan untuk meminjam, melabur dan melakukan perbelanjaan.
  • Ikatan Ringgit berbanding $USD: Ringgit distabilkan dengan ikatan 3.80 berbanding $USD, lalu menghentikan sebarang spekulasi pertukaran mata wang negara.
  • Menutup perdagangan Ringgir di luar negara dan saham di Singapura: tindakan ini berjaya menghentikan spekulasi luar berkenaan saham tempatan dan mata wang Malaysia.
  • Kawalan aliran modal: sekatan aliran modal dilakukan terhadap pemindahan modal rakyat dan syarikat tempatan dan sekatan jangka pendek orang asing-tempatan.
  • Tidak menutup operasi mana-mana institusi kewangan: jaminan terhadap deposit bank diumumkan, sistem perbankan negara diyakini melalui kestabilan kewangan negara.
  • Penstrukturan semula dan pemodalan korporat/perbankan: mikroekonomi negara dipulihkan dengan menubuhkan Danaharta (syarikat pengurusan aset), Danamodal (agensi khas untuk memberi modal) dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (menstruktur semula hutang korporat).
  • Pelbagai sektor ekonomi yang terkesan akibat krisis dibangunkan semula.
  • Polisi utama ekonomi dan sosial dikekalkan terutamanya yang melibatkan peraturan pemilikan aset asing, subsidi, kawalan harga, pengedaran dan keseimbangan etnik komuniti tempatan.

Kesimpulan

Krisis ekonomi yang berlaku telah mempamerkan tindakan ekonomi yang pelbagai dilakukan oleh setiap pemimpin bagi memulihkan ekonomi negara masing-masing.

Langkah penyelesaian Malaysia terhadap krisis ini telah menunjukkan pendekatan alternatif yang sebenarnya wujud dan berkesan, tanpa perlu mengikut telunjuk kuasa besar dunia yang tidak semestinya menguntungkan.

Bergerak ke depan, semoga Malaysia terus berkembang maju dan makmur ekonominya, dihormati dan disegani oleh mata dunia.

Jemput juga baca artikel tips beli rumah ketika ekonomi tidak stabil dan penyata aliran tunai

Rujukan

  1. Ali, N. M. (2004). Warganegara Asing dan Kemiskinan di Malaysia. In Conference 4th International Malaysian Studies Conference; 3-5 August 2004, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
  2. https://iluminasi.com/bm/rahsia-kejayaan-malaysia-menghadapi-krisis-ekonomi-asia-1997-1998.html
  3. Karmeli, E. (2008). Krisis Ekonomi Indonesia. Journal of Indonesian Applied Economics, 2(2).
  4. Mahmudy, M. (1998). Setahun Krisis Asia: Beberapa Pelajaran yang Dapat Diambil Dari Krisis Tersebut. Buletin Ekonomi Moneter dan Perbankan, 1(2), 185-201.
  5. Sihono, T. (2009). Dampak Krisis Finansial Amerika Serikat Terhadap Perekonomian Asia. Jurnal Ekonomi dan Pendidikan, 6(1).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.