Apa itu konsep takaful keluarga? Apabila anda menyertai takaful keluarga, anda akan menyumbang sejumlah wang kepada dana takaful. Anda akan membuat satu kontrak (aqad) di mana sebahagian daripada sumbangan anda merupakan sumbangan penyertaan (tabarru’) dan sebahagian lagi merupakan simpanan dan pelaburan.

Sumbangan tabarru’ anda akan diletakkan di dalam satu dana yang disebut sebagai Akaun Khas Peserta (AKP) yang akan digunakan untuk menunaikan tanggungjawab anda dalam saling bantu-membantu, sekiranya mana-mana peserta menghadapi musibah seperti kematian atau hilang upaya kekal. Sekiranya anda masih hidup selepas waktu matang pelan tersebut, anda boleh berkongsi lebihan bersih dana takaful tersebut sekiranya ada.

Pengendali atau syarikat takaful akan melaburkan sumbangan simpanan dan pelaburan anda atau Akaun Peserta (AP) dan keuntungan yang diperolehi akan dikongsikan antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Jenis Takaful Keluarga

Takaful keluarga boleh dikategorikan kepada kategori-kategori seperti berikut;

1. Keluarga biasa

Di bawah jenis takaful keluarga biasa terdapat dua pelan iaitu takaful keluarga individu dan takaful keluarga kumpulan. Pelan-pelan yang termasuk dalam takaful keluarga individu adalah pendidikan, gadaian, kesihatan dan rider. Anda akan menerima manfaat kewangan yang wujud daripada kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang atau pelaburan serta keuntungan pelaburan yang dibahagikan apabila dituntut, matang dan serahan awal.

Manakala di dalam takaful keluarga kumpulan yang terdiri daripada majikan, kelab, persatuan dan masyarakat mempunyai pelan-pelan seperti pendidikan berkumpulan, perubatan berkumpulan, kesihatan dan rider. Jumlah peserta hendaklah menepatu syarat minimum yang dikehendaki oleh jenis takaful ini. Di bawah jenis takaful ini, anda akan menerima perlindungan dalam bentuk manfaat kewangan yang wujud akibat kematian atau hilang upaya kekal.

Rider merupakan tambahan kepada pelan asas takaful keluarga di mana rider menyediakan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan diri, hilang upaya, perubatan dan kesihatan.

2. Anuiti

Anuiti atau boleh disebut sebagai ganjaran merupakan satu pelan yang menyediakan pendapatan tetap kepada anda selepas anda bersara.

3. Berkaitan pelaburan

Berkaitan pelaburan merupakan satu pelan yang mana sebahagian daripada sumbangan anda digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham dan sekuriti pendapatan tetap. Pelan ini menawarkan perlindungan takaful yang meliputi kematian dan hilang upaya kekal.

Faedah Perlindungan Takaful Keluarga

Terdapat banyak faedah di bawah takaful keluarga. Antaranya ialah sekiranya anda meninggal dunia sebelum pelan takaful anda melepasi tempoh matang, pengendali takaful akan membayar kepada penama atau wasi anda dengan beberapa manfaat.

Manfaat yang pertama adalah jumlah yang terkumpul di dalam Akaun Peserta (AP) anda beserta keuntungan daripada pelaburannya bermula dari tarikh permulaan pelan takaful sehingga ke tarikh terakhir pembayaran yang dibuat sebelum kematian.

Yang kedua adalah sekiranya anda masih hidup ketika pelan takaful anda melepasi tempoh matang, jumlah yang dilindungi di dalam risiko atau dana takaful anda akan mendapat manfaat seperti berikut;

  1. Jumlah yang terkumpul di dalam AP anda beserta keuntungan daripada pelaburannya.
  2. Lebihan bersih atau net surplus akan diberikan kepada anda sekiranya ada.

Terma Dan Syarat Utama

Memahami istilah-istilah yang digunakan dalam takaful adalah amat penting bagi anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau pertanyaan berkenaan maksud sesuatu terma atau istilah yang digunakan, sebaiknya anda mendapatkan penjelasan daripada pengendali atau syarikat takaful anda. Ini kerana sijil portfolio adalah kontrak yang sah, maka terma dan syarat di dalam sijil akan digunakan apabila tuntutan dibuat.

Antara istilah atau terma yang penting adalah seperti berikut;

  • Caruman – Caruman atau sumbangan ini adalah jumlah wang yang anda bayar kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membuat bayaran secara bulanan, suku tahunan, separa tahunan ataupun tahunan.
  • Tempoh tangguh – Anda mempunyai tempoh tangguh 30 hari dari tarikh pembayaran untuk membuat pembayaran anda. Sekiranya berlaku musibah atau anda meninggal dunia dalam tempoh tangguh, jumlah manfaat takaful anda akan ditolak dengan bayaran caruman anda yang belum dibayar.
  • Tempoh matang – Untuk tempoh matang, anda berhak memilih mana-mana tempoh matang yang paling sesuai dengan keperluan anda. Kebiasaanya, jangka masa tempoh ini adalah di antara 10 hingga 40 tahun.

Manakala di antara syarat-syarat penting takaful keluarga adalah seperti berikut;

  • Ianya terbuka kepada semua individu berumur 18 hingga 55 tahun.
  • Anda boleh membuat pemilihan tempoh matang.
  • Tiada proses perlucutan hak atau perampasan sekiranya pembatalan dibuat.
  • Kemudahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada caruman.
  • Lebihan atau surplus akan dikongsikan dengan pengendali takaful.
  • Menyediakan simpanan serta pelaburan jangka panjang.

Imej via 123RF

Pengecualian Perlindungan

Kebiasaannya takaful keluarga tidak akan meliputi perkara-perkara seperti berikut;

  • Jika anda melanggar undang-undang.
  • Jika anda menimpulkan provokasi.
  • Jika anda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
  • Jika anda menghidap penyakit AIDS atau HIV.
  • Serta sebarang sebab-sebab lain yang dicegah oleh syariah Islam.

Membuat Tuntutan

Apabila tuntutan dibuat, pengendali atau syarikat takaful anda akan membayar kepada anda atau penama (wasi) anda berdasarkan terma dan syarat yang termaktub di dalam sijil portfolio. Oleh itu, anda perlu mengetahui dan menyediakan beberapa perkara ketika melakukan tuntutan. Antaranya adalah;

  • Anda perlu memaklumkan kepada pengendali takaful anda secepat mungkin untuk melakukan tuntutan.
  • Anda perlu menyediakan salinan sijil takaful keluarga untuk membuat tuntutan dana takaful yang sudah matang.
  • Penama anda perlu menyediakan dokumen seperti sijil kematian yang telah disahkan, salinan kad pengenalan anda (si mati), sijil asal takaful, bukti hubungan penama dengan anda (si mati), serta dokumen-dokumen lain yang diminta oleh pengendali takaful sekiranya melakukan tuntutan atas sebab kematian.

Perkara Yang Anda Perlu Dan Jangan Buat

Apabila anda mempunyai pelan takaful keluarga, anda perlu melakukan dan mengelakkan daripada melakukan beberapa perkara. Antaranya adalah;

  • Anda mesti memaklumkan kepada penama anda tentang penyertaan anda, serta memberitahu di mana anda menyimpan dokumen-dokumen penting berkenaan takaful tersebut. Jangan sesekali anda merahsiakan penyertaan anda daripada penama atau ahli keluarga anda.
  • Anda perlu menyimpan dokumen-dokumen yang penting di tempat yang selamat. Seperti dokumen-dokumen penting yang lain, anda tidak seharusnya memandang rendah tentang di mana anda perlu menyimpan dokumen-dokumen takaful anda.
  • Anda perlu memaklumkan butiran penama anda kepada pengendali takaful secara jelas. Sekiranya ada perubahan tentang penama anda seperti alamat tempat tinggal, nombor telefon atau segala bentuk perubahan, jangan lupa untuk memaklumkan perubahan tersebut kepada pengendali takaful anda.
  • Anda perlu memaklumkan semua fakta penting (material facts) berkenaan perlindungan yang anda buat. Anda tidak boleh menyembunyikan fakta-fakta seperti tabiat merokok anda kerana penyembunyian fakta penting ini akan membatalkan sijil kontrak takaful anda.
  • Anda juga hendaklah memahami segala butiran atau terma penting di dalam sijil takaful anda.
  • Anda seharusnya menjawab semua soalan di dalam borang takaful dengan lengkap dan tepat. Anda tidak boleh membiarkan soalan tidak dijawab di dalam borang cadangan takaful anda.
  • Anda perlu memastikan yang anda sendiri yang melengkapkan pengisian borang cadangan takaful anda. Sebaiknya anda tidak menyerahkan kepada orang lain atau pengendali takaful anda dalam menandatangani atau melengkapkan borang cadangan takaful anda.
  • Yang terakhir, anda perlu memastikan anda mematuhi segala terma dan syarat yang termaktub di dalam sijil portfolio takaful anda. Sebarang pelanggaran syarat dan terma boleh membatalkan sijil portfolio takaful anda.

Jemput juga baca artikel:

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.