Takaful motor merupakan skim yang menyediakan perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kenderaan anda atau kecederaan anggota badan pihak ketiga atau kematian, kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga akibat kebakaran yang tidak disengajakan, kemalangan atau kecurian.

Pihak ketiga adalah individu lain yang mengalami kecederaan atau menanggung kerugian atau kerosakan akibat kemalangan yang melibatkan anda sebagai peserta. Contoh pihak ketiga adalah pejalan kaki, pemandu atau penumpang yang berada di dalam kenderaan lain. Pihak pertama di dalam pelan takaful motor adalah anda (peserta) sebagai pemilik kenderaan, manakala pihak kedua adalah pengendali atau syarikat takaful.

Kontrak atau aqad yang digunakan bagi takaful motor adalah tabaru’ dan taa’wun yang berkonsepkan perkongsian lebihan sekiranya anda sebagai peserta tidak membuat sebarang tuntutan. Jumlah perlindungan yang patut diambil oleh anda pula adalah berdasarkan gambaran nilai pasaran kenderaan anda.

Sekiranya jumlah perlindungan kurang daripada nilai pasaran kenderaan, syarat purata atau penalti akan digunakan. Perlindungan terkurang bermakna jumlah perlindungan yang diambil kurang daripada nilai pasaran kenderaan semasa kejadian yang mengakibatkan kerosakan atau kerugian.

Sebagai contoh, jumlah perlindungan adalah RM60,000 manakala nilai pasaran kenderaan adalah RM80,000 dan jumlah kerugian pula adalah RM5,000. Dengan itu, pengendali atau syarikat takaful hanya akan membayar sebanyak RM4,000 iaitu 80% daripada jumlah kerugian, bukannya RM5,000. Baki RM1,000 harus ditanggung oleh anda sendiri.

Terma-Terma Penting Pelan Takaful Motor

Terdapat beberapa terma penting yang harus anda ketahui. Antara terma-terma penting tersebut adalah seperti berikut;

1. Diskaun tanpa tuntutan

Diskaun tanpa tuntutan atau ‘no-claim discount’ (NCD) merupakan suatu insentif kepada anda kerana tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh penyertaan pelan takaful motor. Diskaun atau ‘NCD’ ini akan diberikan mengikut skala tertentu apabila anda memperbaharui sijil takaful anda. Selain itu, ‘NCD’ ini boleh dipindahkan atau dibawa kepada pengendali atau syarikat takaful yang lain atau kepada kenderaan anda yang lain.

2. Pembatalan sijil

Bagi melakukan pembatalan sijil takaful motor anda, anda perlu menghantar notis bertulis untuk tempoh 14 hari untuk membolehkan anda berhak mendapat caruman yang belum luput sepanjang tempoh bertakaful secara pro rata. Selain itu, anda perlu menyerahkan sijil motor dan sijil takaful semasa membuat pembatalan. Sekiranya sijil berkenaan telah hilang atau musnah, anda perlu membuat akuan berkanun.

Selain itu, sijil takaful motor akan terbatal secara automatik sekiranya kenderaan anda telah dijual kepada individu lain. Oleh itu, pemilik baharu kenderaa tersebut perlu mengambil perlindungan takaful motor yang baharu.

3. Ekses

Ekses merupakan kerugian yang anda perlu tanggung sebelum pengendali atau syarikat takaful membayar baki tuntutan anda. Sebagai contoh, sekiranya jumlah ekses adalah sebanyak RM5,000, manakala jumlah tuntutan adalah sebanyak RM6,000, maka pengendali atau syarikat takaful hanya akan membayar kepada anda sebanyak RM1,000 sahaja.

4. Bebanan

Pengendali atau syarikat takaful akan mengenakan nilai bebanan atau ‘loading’ ke atas caruman anda bagi memastikan jumlah yang dikenakan setara dengan risiko yang anda hadapi. Antara contoh bebanan adalah umur pemandu, ciri-ciri kelemahan pemandu, kapasiti enjin kenderaan, tuntutan-tuntutan tertentu yang dilakukan sebelum ini bagi sesuatu kenderaan dan juga kenderaan yang dibaiki semula.

5. Indemniti

Indemniti atau pampasan atau perlindungan merujuk kepada keadaan pengendali atau syarikat takaful meletakkan anda sebagai peserta pada kedudukan kewangan yang sama seperti sebelum berlakunya kerugian atau kerosakan. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh membuat atau mendapatkan keuntungan daripada tuntutan takaful motor.

6. Pembaikan

Terma pembaikan merujuk kepada penggantian alat ganti kenderaan daripada yang lama kepada alat ganti yang baru. Sebagai contoh, pintu kereta yang lama akan digantikan dengan yang baru. Justeru, anda perlu menanggung perbezaan nilai harga antara pintu yang lama dengan yang baru. Ini adalah selaras dengan prinsip atau terma indemniti.

7. Hilang guna

Terma ini pula merujuk kepada keadaan di mana anda boleh membuat tuntutan semasa kenderaan anada diperbaiki sekiranya anda mengalami kemalangan dan anda membuat tuntutan pihak ketiga terhadap sijil takaful individu lain yang menyebabkan kemalangan. Terma ini juga merujuk kepada anda akan dibayar ganti rugi bagi kos perjalanan alternatif seperti menyewa kenderaan lain semasa kenderaan anda tidak boleh digunakan.

Namun, kenderaan yang disewa hendaklah sama jenis dan kapasiti enjin. Tanggungan ini juga akan dikira berdasarkan tempoh cadangan hari yang diperlukan untuk kenderaan anda diperbaiki dan tambahan tempoh tangguh selama 7 hari bekerja bagi kelewatan yang tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan. Tempoh cadangan hari memperbaiki kenderaan anda biasanya dinilai oleh pelaras kerugian bebas.

Imej via iLabur

Pengecualian Dalam Takaful Motor

Takaful adalah penting kepada setiap individu, bagaimanapun adalah lebih penting untuk memahami polisi yang anda sertai. Anda dinasihatkan tidak memandang remeh mengenai perkara berkaitan pengecualian ketika mengambil polisi takaful. Ini kerana supaya ia tidak menjejaskan proses tuntutan pada masa hadapan.

Pada dasarnya, pengecualian yang dilakukan oleh kebanyakkan pengendali atau syarikat takaful merupakan risiko-risiko yang tidak dilindungi oleh mereka. Antara perkara yang tidak dilindungi atau pengecualian, terutamanya bagi pelan takaful motor adalah seperti berikut;

  • Kematian atau kecederaan tubuh badan sendiri akibat kemalangan.
  • Kerosakan kepada tayar kecuali pada masa yang sama ketika kenderaan anda mengalami kerosakan.
  • Kerugian sampingan, susut nilai kenderaan, kegunaan biasa, karat serta hakisan, kerosakan mekanikal atau elektronik, kegagalan atau pecahan dan peralatan atau komputer yang gagal berfungsi.
  • Kerugian atau kerosakan atau liabiliti yang berlaku di luar kawasan geografi iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.
  • Kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penipuan atau jenayah pecah amanah, dan juga kerugian atau kerosakan ataupun liabiliti akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau ribut.
  • Anda atau individu lain yang diberi kebenaran oleh anda tidak mempunyai lesen memandu untuk memandu kenderaan anda.
  • Anda atau individu lain yang diberi kebenaran oleh anda memandu kenderaan anda di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
  • Kerugian, kerosakan atau liabiliti kenderaan anda digunakan untuk tujuan jenayah.
  • Menggunakan atau menyediakan kenderaan anda untuk sebarang tujuan sukan atau pertandingan bermotor. Namun ianya berkecuali untuk pertandingan mencari harta.
  • Perkara-perkara lain yang dinyatakan di dalam sijil.

Perlindungan Tambahan Takaful Motor

Takaful motor juga mempunyai perlindungan tambahan untuk perlindungan yang lebih komprehensif atau menyeluruh. Oleh sebab itu, anda boleh memilih perlindungan tambahan seperti berikut;

1. Perlindungan liabiliti penumpang

Perlindungan ini meliputi tuntutan daripada penumpang kenderaan anda ke atas anda akibat daripada kemalangan.

2. Bencana alam

Perlindungan ini meliputi banjir, taufan, ribut, letusan gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh atau gelincir serta bencana-bencana alam yang lain di mana pada dasarnya tidak termasuk dalam sijil takaful motor asas.

3. Liabiliti penumpang sah di atas perbuatan cuai

Perlindungan ini merujuk kepada kecuaian penumpang kenderaan anda yang mengakibatkan kerugian atau kerosakan kepada pihak ketiga. Sebagai contoh, penumpang anda membuka pintu kenderaan dan menyebabkan kecederaan kepada pejalan kaki atau penunggang basikal.

4. Cermin tingkap atau cermin hadapan pecah

Perlindungan ini akan meliputi keadaan di mana cermin kenderaan anda sama ada cermin tingkap atau cermin hadapan pecah berkecai disebabkan oleh sebab-sebab lain selain kemalangan.

5. Mogok dan kekecohan awam

Perlindungan tambahan ini akan meliputi keadaan sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan atau kerugian disebabkan oleh situasi huru-hara akibat mogok atau kekecohan awam.

Kesimpulan

Secara konklusinya, dengan adanya pelan takaful motor asas dan pelan-pelan perlindungan tambahan, ianya terletak di tangan anda dalam memilih pelan yang memenuhi keperluan anda. Sebaiknya, anda mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada ejen atau pengendali takaful anda dalam membantu anda membuat keputusan berkenaan pelan yang terbaik dan memenuhi keperluan anda.

Jemput juga baca artikel takaful kemalangan diri insurans kereta third party dan kelebihan takaful

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.