Muflis atau bankrap sememangnya satu mimpi ngeri bagi kebanyakan kita yang sudah mula mempunyai komitmen hutang, lagi-lagi dengan pihak bank.

Ayuh baca artikel ini yang akan mengupas permasalahan isu apa itu muflis dalam kalangan rakyat Malaysia dari segi undang-undang, punca-punca yang menyebabkan seseorang diisytiharkan muflis, kesannya dan cara untuk keluar dari belenggu ini. Serta cara keluar bankrap.

Jom baca!

Pengenalan

Menurut kamus bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, muflis bermaksud tidak mampu membayar hutang; tidak sanggup (berupaya) membayar hutang, keti­dakupayaan membayar hutang; kebankrapan.

Muflis ialah proses di mana penghutang diisytiharkan muflis melalui arahan mahkhamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkhamah Tinggi terhadap individu tersebut. Antara kriteria yang akan menyebabkan seseorang individu diisytiharkan muflis di Malaysia ialah:

  • tidak berupaya untuk melangsaikan hutang berjumlah tidak kurang dari RM50k
  • tempoh masa lebih daripada 6 bulan hutang tidak dibayar
  • bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun

Di Malaysia, rekod termuda individu yang diisytiharkan muflis ialah 18 tahun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Malah, sehingga September 2018, seramai 64,632 rakyat Malaysia telah direkodkan muflis, melibatkan peringkat usia semuda itu hingga 44 tahun.

Kesan negatif muflis bukan saja dilihat terhadap aspek sosio masyarakat, malah berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi makro dalam jangka masa yang panjang.

Tentang Undang-undang Muflis

Imej via iLabur

Pada tahun 2016, terdapat cadangan perubahan untuk akta muflis yang dibangkitkan dan dipersetujui perubahannya kepada akta muflis baharu yang telah berkuatkuasa sejak 06 Oktober 2017.

Had minimum muflis

Sebelum ini, seseorang akan diisytiharkan muflis apabila mempunyai beban hutang sebanyak RM30k yang tidak boleh dilunaskan bagi tempoh 6 bulan.

Kini, had minimum untuk pengisytiharan muflis dinaikkan kepada RM50k.

Pelepasan status muflis

Sebelum ini juga individu yang telah diisytiharkan muflis hanya boleh mendapat pelepasan daripada status muflis tersebut setelah melakukan rayuan di Mahkamah atau setelah diberikan sijil pelepasan dari Ketua Pengarah Insolvensi.

Selain itu, pelepasan hanya boleh dipertimbangkan selepas 5 tahun dari tarikh individu tersebut digelar muflis.

Namun kini di bawah perubahan yang telah berkuatkuasa, pelepasan automatik telah diperkenalkan.

Hal ini bermakna, individu yang muflis boleh mendapat pelepasan automatik selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan penyata hal ehwalnya yang memenuhi kriteria ditetapkan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Selepas 3 tahun, mereka yang telah diiisytiharkan muflis ini boleh dilepaskan secara automatik apabila:

  1. telah mencapai sasaran sumbangan hutang mereka
  2. mengisytiharkan liabiliti (tanggungan) kepada Jabatan Insolvensi Malaysia

Bantahan status muflis

Antara faktor rakyat Malaysia menjadi muflis ialah mereka dengan menjadi penjamin kepada mereka yang culas membayar hutang pinjaman. Nama penjamin ini akan diheret sekali untuk dimufliskan.

Namun dengan perubahan terbaru ini, situasi tersebut tidak akan berlaku lagi.

Mulai sekarang juga, pemiutang tidak boleh membantah pelepasan dari status muflis bagi beberapa jenis status muflis seperti yang berikut:

  1. penjamin sosial (penjamin biasiswa, pinjaman, geran, sewa beli kenderaan, perumahan)
  2. individu muflis yang mempunyai kecacatan seperti yang tertera dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008
  3. individu muflis yang telah meninggal
  4. individu muflis yang mempunyai penyakit kronik (disahkan pakar perubatan)

Prosiding muflis

Di bawah pindaan undang-undang muflis ini juga, individu yang bakal digelar muflis berpeluang untuk menyelesaikan hutangnya tanpa prosiding muflis diteruskan di bawah perkiraan sukarela di bawah Akta Insolvensi 1967, selagi mereka memathui syarat untuk memenuhi pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Dengan adanya perkiraan sukarela ini, penghutang boleh berunding untuk menyusun semula pembayaran hutang mereka untuk mengelakkan daripada digelar muflis.

Namun, penghutang perlu mematuhi jumlah bayaran yang telah dipersetujui antara pemiutang.

Di samping itu, mereka juga perlu memfailkan penyata slip gaji dan perbelanjaan mereka setiap enam bulan sepanjang tempoh tiga tahun.

Punca Anak Muda Muflis

Imej via iLabur

Bacaan lanjut mengenai penyebab utama anak muda muflis boleh dibaca di artikel yang pernah diterbitkan oleh iLabur sebelum ini di sini.

Ringkasnya, antara penyebabnya ialah:

  1. pengurusan kewangan yang lemah
  2. gaya hidup mewah
  3. kos perubatan
  4. tiada simpanan/tabung
  5. pelaburan skim cepat kaya
  6. tiada ilmu pengurusan kewangan/ekonomi
  7. pembiayaan peribadi

Kesan Muflis kepada Individu

Apabila seseorang diisytihar muflis, anda pastinya akan berdepan dengan pelbagai situasi dan halangan.

#1 Berada di bawah pengawasan

Setelah diisytiharkan muflis, individu tersebut akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) yang akan mentadbir semua aset individu tersebut dan mengendalikannya untuk membayar hutang.

Pendek kata, setelah muflis, kesemua aset individu itu akan diletakkan di bawahan pengendalian KPI.

#2 Had perjalanan

Individu yang muflis tidak dibenarkan untuk ke luar negara tanpa kebenaran bertulis dari KPI atau sebelum mendapatkan perintah mahkhamah.

#3 Had kredit

Akaun bank yang sedia ada akan dinyahaktifkan dan individu muflis dilarang daripada melakukan sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada.

Selain itu, individu muflis juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan lebih dari RM1,000 menggunakan kad kredit atau mendapatkan kredit lebih dari RM1,000 dari mana-mana pemiutang.

#4 Rampasan aset

Selepas diisytihar muflis, kesemua aset milik individu muflis akan dikendalikan oleh KPI. Sebagai contoh, rumah dan kereta milik individu muflis tersebut akan diambil dan diuruskan oleh KPI yang akan digunakan untuk melangsaikan hutang.

#5 Had pekerjaan

Individu muflis tidak dibenarkan bekerja dalam profesion tertentu yang mempunyai sekatan sebagaimana digariskan oleh persatuan professional atau pihak berkuasa. Antara contoh pekerjaan yang tidak mengambil individu muflis ialah:

  • Peguam
  • Juru Ukur
  • Akauntan
  • Doktor
  • Pengarah syarikat

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan memiliki perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan.

Elak Menjadi Muflis

Sekiranya anda khuatir bahawa anda cenderung untuk diisytiharkan muflis disebabkan bebanan kewangan, berikut merupakan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko digelar muflis.

#1 Pertolongan profesional percuma dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

AKPK telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan.

#2 Rundingan dengan Pemiutang

Anda boleh berbincang dengan pihak bank untuk runding semula syarat bayaran semula pinjaman.

Kebanyakan bank mengamalkan sikap terbuka untuk berunding kerana pihak bank juga ingin mengurangkan kecenderungan berlakunya kes pinjaman yang tidak berbayar (non-performing loan).

#3 Ukur Baju di Badan Sendiri

Anda perlu menilai semula kehendak dan keperluan.

Formula paling selamat ialah jumlah bayaran balik untuk semua komitmen kewangan anda tidak sepatutnya lebih daripada 40% gaji bersih anda.

Kesimpulan

Menjadi individu yang telah diisytihar muflis sangat menyusahkan dan hal ini akan mengambil masa yang lama untuk memulihkan kewangan anda serta keluarkan diri anda dari senarai muflis.

Sebelum anda mengambil pinjaman atau berhutang, sila fikir masak-masak demi masa depan anda juga.

Sekiranya anda diisytiharkan muflis, jangan terlalu murung kerana anda boleh keluar dari belenggu ini dengan syarat anda berdisiplin dan tekad dalam membayar komitmen hutang anda semula.

Rujukan

  1. https://ilabur.com/penyebab-anak-muda-muflis/
  2. https://www.akpk.org.my/news/1273-muflis-pada-usia-remaja
  3. https://www.comparehero.my/debt-management/articles/apa-anda-perlu-tahu-tentang-muflis-di-malaysia
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.