Pelan takaful kemalangan diri merupakan satu pelan takaful tahunan. Pampasan akan diberikan sekiranya berlaku kematian, hilang upaya atau kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan. Takaful kemalangan diri juga menyediakan perlindungan jangka pendek bagi suatu tempoh perjalanan. Ianya meliputi kemalangan di seluruh dunia, 24 jam sehari. Namun demikian, ianya tertakluk kepada terma dan syarat yang biasanya dinyatakan di dalam sijil takaful.

Skop Perlindungan Takaful Kemalangan Diri

Pelan takaful kemalangan diri memberi perlindungan asas yang meliputi kematian dan hilang upaya disebabkan oleh kemalangan. Pelan ini juga menyediakan perlindungan yang merangkumi perbelanjaan perubatan, manfaat penghospitalan, pembedahan pembetulan dan perbelanjaan pengebumian. Namun demikian, skop perlindungan ini mungkin berbeza-beza di antara pengendali atau syarikat takaful.

Anda boleh menyertai pelan takaful ini bagi diri sendiri secara individu ataupun secara berkumpulan untuk ahli keluarga anda. Selain itu, jika anda seorang majikan, anda juga boleh mengambil pelan takaful kemalangan diri untuk pekerja-pekerja dan biasanya dalam kes sebegini, bayaran tuntutan kepada pekerja adalah atas budi bicara majikan.

Selain itu juga, sesetengah pengendali atau syarikat takaful menetapkan had umur yang boleh dilindungi di dalam pelan takaful kemalangan diri mereka.

Konsep Takaful Kemalangan Diri

Apabila anda menyertai takaful kemalangan diri, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful berdasarkan bentuk caruman tabarru’ di mana anda akan mengikat satu kontrak atau aqad. Di dalam kontrak ini, anda bersetuju untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang daripada peserta mengalami kemalangan yang mungkin mengakibatkan kematian, hilang upaya atau kecederaan.

Apabila dana takaful mencapai tempoh matang, anda layak berkongsi lebihan dalam dana takaful sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh penyertaan. Lebihan atau surplus  ini akan dikongsi di antara anda sebagai peserta dan pengendali atau syarikat takaful di bawah konsep perkongsian lebihan mengikut nisbah yang telah dipersetujui di dalam kontrak.

Sebagai contoh, pengendali takaful mempunyai jumlah lebihan (L) sebanyak RM12 juta manakala jumlah caruman am (CA) adalah sebanyak RM20 juta. Jumlah caruman anda (C) pada tahun itu pula adalah sebanyak RM600 dan lebihan yang dikongsi bersama di antara anda dan pengendali takaful adalah mengikut nisbah perkongsian (NP) yang telah dipersetujui iaitu 50:50.

Anda boleh melihat contoh pengiraan di bawah untuk gambaran lebih jelas;

Nisbah perkongsian lebihan,

= NP x L/CA

= 50% x RM12 juta / RM20 juta

= 30%

Jumlah lebihan yang diagihkan kepada anda adalah,

= Nisbah perkongsian lebihan x C

= 30% x RM600

= RM180

Pengecualian Takaful Kemalangan Diri

Takaful kemalangan diri biasanya tidak memberi perlindungan ke atas kemalangan yang disebabkan oleh perkara-perkara berikut;

  • Wujudnya risiko peperangan
  • Cubaan membunuh diri dan hilang akal
  • Kecederaan yang disengajakan
  • Di bawah pengaruh dadah atau alkohol
  • Menghidap AIDS, HIV atau sebarang penyakit kelamin
  • Pembunuhan atau serangan yang dirancang
  • Kehamilan, kelahiran atau keguguran
  • Penglibatan di dalam aktiviti yang melanggar undang-undang
  • Aktivit atau sukan berbahaya
  • Menggunakan kenderaan bermotor beroda dua

Di samping itu juga, takaful kemalangan diri biasanya dikecualikan untuk individu yang bekerja di dalam profesion berikut;

  • Polis atau tentera atau pegawai penguatkuasa undang-undang
  • Penyelam
  • Juruterbang
  • Pemandu uji pesawat
  • Pemandu kereta lumba
  • Nelayan laut
  • Ahli sukan profesional

Namun begitu, senarai pengecualian yang dinyatakan di atas mungkin berbeza di antara pengendali atau syarikat takaful yang ada.

Imej via iLabur

Terma-Terma Penting Takaful Kemalangan Diri

Apabila anda menyertai sesuatu pelan takaful, anda harus memberi perhatian kepada terma-terma penting yang terdapat di dalam sijil takaful anda. Di antara terma-terma penting yang terdapat di dalam pelan takaful kemalangan diri adalah seperti berikut;

1. Skala manfaat

Skala manfaat merujuk kepada amaun pampasan yang boleh dibayar oleh pengendali atau syarikat takaful apabila berlaku kematian, hilang upaya atau kecederaan. Seeloknya anda memberikan perhatian penuh pada terma skala manfaat yang terdapat di dalam pelan takaful kerana skala manfaat yang terdapat di dalam pelan takaful mungkin berbeza-beza di antara pengendali atau syarikat takaful.

2. Perlindungan berganda

Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu pelan takaful kemalangan diri dan kemudiannya meninggal dunia atau hilang upaya, anda atau penama anda berhak mendapat bayaran pampasan untuk setiap pelan takaful yang anda ambil.

Namun demikian, untuk kerugian tertentu seperti perbelanjaan perubatan di mana pampasannya adalah berdasarkan bayaran ganti, peserta hanya akan dibayar pampasan sekali sahaja berdasarkan jumlah kerugian sebenar yang dialami.

3. Penama

Sebagai peserta, anda dinasihatkan supaya menamakan penama atau pewaris dan memastikan penama mengetahui tentang penyertaan anda dalam takaful kemalangan diri.

Bagaimana Membuat Tuntutan Takaful Kemalangan Diri

Oleh kerana terdapat dua kemungkinan tuntutan yang akan anda atau penama anda lakukan, maka terdapat dua kaedah atau cara untuk anda atau penama anda membuat tuntutan takaful kemalangan diri. Di bawah ini adalah dua jenis tuntutan dan cara melakukan tuntutan;

1. Tuntutan kecederaan

Untuk tuntutan ini, anda mesti memberikan notis bertulis kepada pengendali atau syarikat takaful anda mengenai kecederaan yang dialami dalam jangka masa yang telah ditetapkan di dalam sijil takaful kemalangan diri.

Kemudian, anda perlu mengemukakan borang tuntutan yang disertakan bersama-sama dengan dokumen-dokumen sokongan seperti laporan perubatan dan resit bayaran perbelanjaan hospital kepada pengendali atau syarikat takaful anda.

Sekiranya rawatan diterima atau diagnosis dibuat dalam tempoh jangka masa yang ditetapkan selepas tarikh kemalangan, pengendali atau syarikat takaful anda akan membayar pampasan untuk manfaat di bawah pelan takaful kepada anda.

2. Tuntutan kematian

Sekiranya berlaku kematian, perkara yang perlu dibuat secepat mungkin adalah membuat laporan polis dan memaklumkan pengendali atau syarikat takaful berkenaan berita tersebut.

Selepas itu, pihak penuntut akan diberikan borang tuntutan yang perlu diserahkan semula bersama-sama dengan dokumen-dokumen sokongan yang dikehendaki oleh pengendali atau syarikat takaful. Dokumen-dokumen tersebut adalah seperti sijil kematian dan permit pegebumian.

Sekiranya anda tidak melantik penama atau pewaris, tanggungan anda atau pentadbir harta pusaka anda perlu mengemukakan bukti tanggungan atau hubungan dengan anda atau mengemukakan surat kuasa mentadbir.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sekiranya anda berminat untuk menyertai pelan takaful kemalangan diri, seharusnya anda memeriksa skop-skop perlindungan yang ditawarkan oleh pengendali atau syarikat takaful. Ini kerana, skop perlindungan yang ditawarkan mungkin berbeza-beza di antara pengendali takaful termasuklah pengecualian dan manfaat.

Yang paling penting adalah anda mempertimbangkan keperluan dan kemampuan anda dalam memilih pelan takaful supaya anda dapat memilih pelan takaful yang paling bersesuaian dengan keperluan anda.

Jemput juga abca artikel perbezaan takaful dan insurans kelebihan takaful berbanding insurans dan kepentingan takaful

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.