Untuk memiliki sebuah rumah pertama tidak susah jika kita tahu bagaimana mahu menguruskan kewangan kita. Bagi sesetengah pihak, mereka memberi alasan kenapa sehingga kita tidak dapat membeli rumah. Antara alasannya, wang tidak mencukupi, pihak kerajaan tidak menaikkan gaji maka gaji yang dimiliki tidak cukup untuk membeli rumah, pihak bank terlalu susah untuk meluluskan pinjaman dan pelbagai lagi.
Semua itu adalah alasan yang biasa kita dengar daripada mulut orang yang mahu membeli rumah tetapi tidak dapat. Kenapa semua itu berlaku? Hal ini kerana, mereka sering melakukan kesilapan ketika mereka masih berusia muda lagi. Apakah kesilapan itu?
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 7 kesilapan yang sering dilakukan mengakibatkan tidak dapat membeli rumah. Info ini dikongsikan oleh Encik Amir Syahir. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai ilmu hartanah dan pengurusan wang. Selain itu, beliau juga berkongsikan tentang tips ASBF.
Pernah tak kau dapat gaji, lepastu tak tahu duit pergi ke mana. Tiga minggu lepas gaji, tengok dompet serupa tumbuk bawang. Kau kena bijak mengawal aliran wang, bukan wang yang mengawal kau. Nak tahu kemana wang kau pergi, buatlah bajet. Sekarang banyak aplikasi dekat Google Store tu.
Paling banyak yang buat benda ni adalah mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan terutamanya sektor awam. Dah ada slip gaji, senang la kan nak buat pinjaman peribadi. Tak fikir dah kesan baik buruknya.
Bila ditanya kenapa buat pembiayaan peribadi, jawapannya sebab nak kahwin. Nak buat majlis gilang-gemilang. Takut apa pula orang kata. Keluar universiti, tapi majlis tak grand langsung. Susahla kalau macamtu. Buat je lah majlis ikut kemampuan kau. Kau yang kena tanggung, bukan mulut-mulut yang bercakap tu.
Kad kredit adalah pembunuh senyap pengurusan kewangan. Jika kau tak pandai kawal dan main swap je, bayar pun separuh-separuh memang kau akan merana serta menderita lah nanti. Kau kena ingat kadar faedah kad kredit merupakan kadar faedah yang paling tinggi. Boleh mencapai 18%. Tak salah guna kad kredit jika kau pandai mengawalnya.
Tak salah mempunyai impian untuk memiliki kereta mewah. Yang salahnya apabila kau membeli kereta di luar kemampuan sendiri. Dah tahu gaji sebulan RM2000 tapi masih meneruskan impian membeli kereta Honda City. Alasannya tu lah kereta idaman, kereta impian sejak zaman belajar lagi. Kos petrol, servis, tol, kena ambil kira juga.
Takkan setiap bulan nak bayar ansuran kereta Honda City tapi malam-malam makan megi je. Agak-agaklah kan. Hold dulu impian tu. Kumpul duit dulu. Biar stabil. Nanti dah stabil belilah kereta impian tu. Tak lari gunung dikejar.
Baru dapat gaji sendiri, dah mula rasa kaya. Lepak kedai mewah dan hipster je. Tidak salah mencuba sekali dua tetapi janganlah sampai setiap minggu nak makan di luar. Pakaian pula nak yang berjenama je. Telefon pintar kena up to date. Beli secara hutang pun tak jadi masalah. Janji yang terkini.
Masa muda ni buat apa nak menyimpan kan. Tunggu tua sedikit la baru nak menyimpan. Itu sikap kau. Kalau mula awal, hasilnya juga nampak awal. Cuba mulakan menyimpan 10% daripada pendapatan sejak mula bekerja. Tak seharusnya kena menyimpan 10%. Mulakan dengan menyimpan 2%. Lepas tu naikkan 5% daripada pendapatan. Asasnya, simpan dulu baru berbelanja. Simple.
Jauh perjalanan, luas pengalaman. Ya, pergi travel bagus. Kau boleh jumpa ramai orang. Pemikiran jadi hebat. Tapi kalau pergi travel sampai tak bayar PTPTN, duit kutu, duit member pun tak habis bayar lagi, baik tak payah. Hutang dah keliling pinggang. Orang bank telefon tak nak jawab. Member mintak balik hutang, kau maki member pulak. Baik kau travel ke Port Dickson je, guna Myvi zero downpayment kau tu. Lagi jimat. Tak payah travel luar negara.
*Berikut adalah 7 kesilapan yang sering dilakukan ketika usia masih muda. Oleh sebab kesilapan-kesilapan ini, masih ramai lagi yang belum memiliki sebuah rumah sendiri apabila mencecah umur 35 tahun dan ke atas. Jadi, bagi yang masih muda, menyimpanlah untuk masa depan. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.