Jom ketahui kepntingan takaful yang utama.
Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia bukanlah bersifat abadi. Sifat manusia yang tidak abadi ini yang mana sememangnya telah ditetapkan oleh Allah S.W.T menyebabkan manusia terdedah kepada kemalangan atau bencana atau dalam erti kata lain, manusia secara semula jadi diancam oleh berbagai risiko.
Risiko-risiko ini mungkin boleh berlaku sekarang atau pada masa hadapan dan tahap ancaman atau risiko ini mungkin berbeza-beza dari masa ke semasa.
Ia sememangnya suatu fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa risiko atau bahaya ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia dan telahpun wujud semenjak kewujudan manusia. Justeru, manusia sentiasa beritkhtiar atau mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko yang dihadapi dan juga melindungi diri mereka.
Perkataan risiko atau ancaman ini seringkali dirujuk sebagai satu perkataan yang negatif di mana ia merujuk kepada kebarangkalian untuk berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Islam juga mengiktiraf risiko dan Allah S.W.T telah berfirman tentang risiko dan bagaimana menguruskannya. Sebagai contoh, Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah Yusuf pada ayat 46-49 yang membawa maksud;
“(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf, dia berseru): “Yusuf, wahai orang yang sangat dipercayai! Terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus, dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh tangkai) lainnya yang kering agar aku kembali kepada mereka itu, supaya mereka mengetahuinya.” -46
“Yusuf berkata: “Supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit yang hendak kamu makan.” -47
“Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit daripada apa (benih gandum) yang kamu simpan.” -48
“Kemudian setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu merea memerah anggur.” -49
Terjemahan ayat-ayat di atas menjelaskan tentang kemungkinan berlakunya risiko di masa hadapan dan memerlukan perancangan atau pengurusan yang rapi untuk menghadapinya. Kisah nabi Yusuf yang diceritakan di dalam surah Yusuf ini wajar diambil iktibar supaya kita sebagai manusia untuk bersiap sedia menghadapi risiko atau musibah. Pepatah melayu juga turut berpesan, sediakan payung sebelum hujan.
Langkah-langkah yang dilakukan oleh manusia dalam menghadapi risiko boleh disebut sebagai pengurusan risiko. Manusia telah mencuba pelbagai langkah dan telah mencipta pelbagai sistem untuk menguruskan risiko dan di antara sistem yang dicipta adalah insurans.
Walaupun Islam menyarankan untuk umatnya bersedia menghadapi risiko, namun aspek tertentu di dalam sistem insurans seperti riba, gharar dan maisir tidak mematuhi undang-undang Islam menyebabkan insurans dikategorikan sebagai haram oleh ulama-ulama Islam. Justeru daripada pengharaman insurans, para cendekiawan Islam mewujudkan suatu sistem yang diberi nama dan sehingga kini dikenali sebagai takaful.
Walaupun takaful telah berkembang pesat bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan di kalangan orang bukan Islam. Walaupun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui tentang kepentingan memiliki takaful sehinggakan mereka menangguh atau menolak untuk memiliki takaful. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang empat kepentingan untuk bertakaful.
Dalam kehidupan ini, kita semua berhadapan risiko atau ancaman. Antara risiko yang utama adalah kematian, ketidakupayaan dan penyakit. Persoalannya, kita tidak dapat mengetahui bila dan bagaimana risiko ini akan tiba kepada kita. Apa yang pasti, kebarangkalian risiko-risiko ini semakin dekat dengat kita meningkat hari ke hari.
Ini kerana, semakin meningkat usia kita semakin dekat kita ke arah kematian yang mana telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Penigkatan usia juga menigkatkan risiko untuk mendapat penyakit. Dan kebanyakkan daripada kita menggunakan kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Semakin banyak kita bergerak dengan kenderaan di atas jalan raya, semakin tinggi kebarangkalian untuk terlibat dalam kemalangan yang bukan sahaja boleh membawa kepada kematian, bahkan menyebabkan ketidakupayaan.
Sebagai manusia biasa kita tidak dapat mengetahui tarikh kematian kita, ataupun kita tidak dapat menduga bila penyakit atau ketidakupayaan akan datang menguji kita. Oleh itu, perlindungan takaful boleh membantu kita menyediakan diri kita dari segi kewangan untuk berhadapan dengan ketiga-tiga risiko utama ini. Allah S.W.T juga telah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat ke-155 yang membawa maksud;
“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T sentiasa menyarankan umat Islam untuk memikirkan masa hadapan dan sentiasa bersedia menghadapi risiko yang datang.
Aset atau harta benda merupakan barangan berharga kepada manusia di mana manusia bergantung kepada aset atau harta ini untuk kelansungan hidup. Di Malaysia, insurans atau takaful telah diwajibkan untuk beberapa jenis aset.
Sebagai contoh apabila kita membeli kereta atau kenderaan baharu ataupun memperbaharui cukai jalan, kita diwajibkan untuk membeli insurans atau takaful kenderaan. Begitu juga apabila kita membeli rumah dengan cara pinjaman atau pembiayaan bank, kita perlu mengambil insurans atau takaful tertentu.
Ini kerana insurans atau takaful ini akan membantu kita dengan melindungi harta-harta tadi sekiranya berlaku sebarang musibah atau sesuatu perkara yang tidak kita ingini. Sebagai contoh, kemalangan, kecurian atau kebakaran. Pembelian insurans atau penyertaan takaful bukan sahaja penting untuk melindungi diri tetapi juga untuk aset bernilai yang kita miliki.
Aset yang dimiliki yang boleh dilindungi tidak hanya terhad kepada aset-aset yang berbentuk fizikal sahaja. Malah yang bukan fizikal seperti perniagaan atau pelaburan juga mesti dilindungi dengan insurans atau takaful dengan secukupnya.
Justeru, perlindungan takaful adalah sangat penting untuk melindungi aset-aset berharga yang kita miliki supaya kerugian yang di alami sewaktu bencana atau musibah dapat dikurangkan dan tidak membebankan kita. Perlindungan ini juga dapat mengelakkan kita daripada mengeluarkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.
Semasa kita hidup, kita bekerja keras untuk menjaga dan menyara pasangan kita, anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga kita yang lain. Oleh itu, ianya amat penting untuk menyediakan satu pelan kewangan yang stabil untuk ditinggalkan sekiranya kita sudah tiada supaya mereka dapat meneruskan kehidupan mereka tanpa perlu bergantung pada orang lain.
Lebih menyedihkan lagi sekiranya ahli keluarga yang kita tinggalkan terpaksa menggadaikan harta peninggalan bahkan lebih teruk perlu meminjam atau berhutang untuk meneruskan kelansungan hidup setelah kita tiada. Oleh sebab itu, Islam sendiri mengajak umatnya untuk sekurang-kurangnya menyediakan legasi atau harta supaya mereka mampu menanggung keperluan kehidupan selepas pemergian kita.
Justeru, pengambilan perlindungan takaful secukupnya dapat membantu ahli keluarga yang kita tinggalkan untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu berhutang atau menggadaikan harta peninggalan yang ada.
Sebelum kewujudan sistem takaful yang patuh syariah, skim perlindungan banyak dikuasai oleh produk-produk insurans konvensional yang ternyata mempunyai unsur-unsur yang haram seperti riba, gharar dan maisir. Kewujudan takaful memberikan alternatif kepada umat Islam mendapatkan perlindungan untuk masa hadapan dalam masa yang sama tidak melanggar syariat Islam.
Oleh itu, sebagai umat Islam amat penting untuk kita menyokong sistem ekonomi yang berteraskan Islam sebagai tanda kita memperjuangkan agama Islam dalam konteks ekonomi. Justeru, bertukarlah daripada insurans konvensional kepada sistem takaful.
Secara ringkasnya, terdapat empat faktor utama yang menunjukkan bahawa takaful itu penting untuk kita sebagai umat Islam iaitu untuk menghadapi risiko yang mungkin mendatang bila-bila masa sahaja, melindungi harta benda kita, melindungi orang-orang yang tersayang yang bergantung hidup kepada kita dan juga untuk memperjuangkan ekonomi Islam di mata dunia.