Pernah dengar istilah Rat Race? Ia digambarkan bahawa melakukan sesuatu perkara yang tiada kesudahan. Tiada akhirnya. Seperti seekor tikus yang berlari di atas roda di dalam sangkarnya. Berlari, penat, tidur, makan. Esoknya ulang lagi perkara yang sama. Tiada hasil, tiada kesudahan.

Sama juga dengan orang yang bekerja. Pergi kerja untuk dapat gaji, sudah dapat gaji habis bayar liabiliti dan kehendak diri. Tengah bulan habis duit, kerja lagi. Dapat gaji belanja sakan lagi. Tidak sempat menyimpan dan beli aset.

Beli kereta untuk pergi kerja, dapat gaji bayar ansuran kereta. Pergi kerja, balik kerja, tunggu gaji. Tiada matlamat hidup. Hari-hari hanya mengulangi rutin harian yang sama.

Kita rasakan seperti berlumba dalam perlumbaan tikus (rat race), tiada hentinya. Kita berlumba-lumba dan bersaing dengan orang lain dalam perlumbaan yang mengejar kehendak, membina liabiliti, lantas kita juga kerugian.

Anda kena keluar daripada rat race secepatnya. Ramai anak muda yang terkena dengan perangkap rat race ini. Dapat gaji belanja. Dapat gaji beli benda yang tidak penting. Dapat gaji bayar itu bayar ini. Penat kerja tidak berbaloi langsung.

Antara Solusi Untuk Anda Keluar Daripada Perlumbaan Ini

1. Usah Bergaya Hidup Mewah

Gaji baru RM2000, tapi bajet serupa bergaji RM20,000. Kereta ingin yang import. Alergik naik kereta tempatan katanya. Masalah itu ini kalau naik kereta tempatan. Serupa la tak ada waranti. Telefon nak upgrade. Baju nak beli di butik. Jam kena berjenama.

Kawan-kawan ada kad kredit dia nak ada jugak. Guna tapi tak bayar. Kawan-kawan beli kasut berjenama dia pun tak mahu mengalah. Tak nak dipandang selekeh.

2. Kurangkan Hutang Jahat

Kurangkan hutang jahat yang tidak perlu. Hutang yang sudah ada jangan diabaikan. Jangan bila sudah dapat gaji, rasa nak bayar hutang, bayar dan rasa taknak bayar tak bayar. Boleh pula main rasa-rasa ya. Kalau sudah ada banyak hutang, jangan buat hutang lagi. Cukup menternak lemak di perut saja, jangan menternak hutang.

3. Belanja Sakan Pada Hari Istimewa

Setiap kali hari jadi, mesti buat majlis gempak, megah dan meriah. Kemudian panggil kawan- kawan untuk makan. Tak salah kalau mahu belanja orang makan, tapi jangan boros. Ada yang sanggup berhutang untuk buat majlis hari jadi, berhutang masa sambut hari raya dan berhutang untuk majlis perkahwinan.

Ketahuilah itu semua tidak perlu. Buat sekadar kemampuan kewangan kita sahaja. Biarlah tak nampak hebat dan megah di mata manusia. Janji, hidup kita senang bebas daripada hutang, hati pun senang.

4. Membeli Bukan Dengan Emosi

Jiran tukar sofa, dia mahu beli juga. Jiran tukar kereta dia pun paksa suami beli kereta baharu. Ingin menunjuk yang dia pun mampu. Berubahlah! Tak ke mana pun kita kalau masih mempunyai sikap begitu. Berlumba-lumba pergi masjid paling awal tak nak pula.

Tengok Sale 70% terus menggelupur mahu beli. Padahal barang itu dia sudah punya. Bila tudung Freedada keluar design baru, dia berebut nak beli, padahal satu almari dah penuh dengan tudung. Tudung berlambak tapi tak tutup dada, tak ada maknanya juga. Langsung tak boleh kawal emosi semasa membeli. Amalkan sebelum membeli, fikir sejenak 10 saat sama ada anda perlukan barang itu ataupun tidak.

5. Beli Secara Tunai

Jika mampu beli secara tunai belilah secara tunai. Jika anda berhutang ataupun bayar ansuran, harga dia jauh lebih tinggi daripada harga sebenar. Jangan beli televisyen bayar ansuran, beli almari, katil semua bayar ansuran. Kalau tidak mampu tak payah beli. Simpan dan kumpul duit dulu.

Gunakan kad kredit sebaik-baiknya. Jangan naik main swipe saja. Ia boleh merosakkan kewangan anda kalau anda jadi hamba kepadanya.

6. Sediakan Bajet

Bajet amat penting untuk merangka kewangan. Bajet juga dapat membantu anda untuk melihat aliran duit keluar masuk terutamanya setelah dapat gaji. Sekurang-kurangnya anda tahu ke mana duit akan dibelanjakan.

Bila ada bajet, barulah anda tahu banyak hutang yang perlu dibayar rupa-rupanya. Barulah anda sedar diri yang hutang makin meningkat, tapi pendapatan masih sama saja.

7. Tingkatkan Ilmu Pengurusan Kewangan

Ilmu ini tidak diajar di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi. Jadi, anda kena lah belajar sendiri. Kembali kepada perkara yang paling asas iaitu menuntut ilmu.

Jika mahu berjaya di dunia dan di akhirat kena ada ilmu. Pedalami ilmu pengurusan kewangan. Belajar apa itu aset dan apa itu liabiliti. Apa itu kehendak dan apa itu keperluan. Apa itu hutang baik, apa itu hutang jahat. Dengan adanya ilmu di dada, walau datang iklan apa pun, jurujual datang promosi barang, sale sana-sini, anda akan sedar kalau tak diperlukan anda tak akan beli.

***

Kesimpulannya, tak perlu kita berlumba-lumba untuk nampak hebat, cool, bergaya tapi bila tengok duit dalam akaun bank rasa seram, lebih seram daripada filem Munafik.

Semakin cepat anda keluar daripada rat race, semakin cepat anda dapat tumpu untuk menjana pendapatan pasif pula. Ada simpanan untuk buat deposit rumah. Beli rumah dan sewakan. Beli aset, melabur di tempat selamat dan menguntungkan serta sebagainya. Jika mindsetanda masih sama, sampai ke tua akan terperangkap dalam rat race.

Mulalah sekarang, menyimpan lah wahai anak muda. Sedikit tidak mengapa, janji anda amalkan simpan dulu baru belanja ataupun simpan 10% daripada pendapatan. Lagi banyak lagi bagus.

Bersusah payah dahulu untuk 5-6 tahun, hasilnya anda akan senang dengan pendapatan pasif untuk masa depan. Daripada hidup berlagak mewah, beli kereta lebih daripada gaji, bersenang-senang sekarang tetapi merana untuk 30 tahun akan datang. Fikir-fikirkan lah!

Copy

Penulis: Amir Syahir

Rajin berkongsi ilmu hartanah, pengurusan kewangan, tips ASBF dan ilmu yang bermanfaat. Ikuti lagi tips-tips menarik tentang ASBF terutamanya di Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.