Anda berminat untuk memulakan perniagaan? Berniaga adalah salah satu cabang pendapatan yang menguntungkan dan selamat yang boleh anda pilih. Namun sebelum  menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah sangat penting untuk anda menggali ilmu yang berkaitan dan mengetahui selok-belok dunia perniagaan di Malaysia agar anda lebih bersedia.

Salah satu ilmu yang perlu anda tahu ialah jenis-jenis perniagaan yanga da di Malaysia serta syarikat. Malah adalah sangat penting untuk anda mengetahui cara untuk mendaftarkan perniagaan anda supaya perniagaan yang dijalankan adalah sah di sisi undang-undang dan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan?

Sumber: Topciderac

Secara amnya, perniagaan ialah aktiviti yang melibatkan urusniaga jual beli barangan atau perkhidmatan yang membabitkan dua pihak iaitu di antara penjual dan pembeli bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna dan melibatkan pertukaran nilai bagi mendapatkan keuntungan. Maksudnya, sebagai peniaga anda akan dibayar oleh pelanggan yang membeli barang atau mendapatkan khidmat dari anda. Kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan daripada urus niaga yang dijalankan.

Apakah jenis perniagaan yang ada?

Terdapat dua jenis perniagaan iaitu menjual barangan dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan. Jika anda memilih untuk menjual barang, anda akan menawarkan barang untuk dibeli oleh pelanggan. Akan berlaku aktiviti jual beli di antara anda dan pelanggan di mana pelanggan akan membayar duit untuk barang yang anda jual.  Contoh aktiviti perniagaan menjual barang ialah kedai emas, kedai kasut, dan kedai runcit.

Jika anda memilih perniagaan yang menawarkan perkhidmatan, anda akan dibayar untuk perkhidmatan yang anda sediakan kepada pelanggan. Di antara contoh perniagaan yang menawarkan perkhidmatan ialah kedai dobi, kedai gunting rambut, spa, dan sebagainya.

Adalah sangat penting untuk anda memilih barang atau perkkhidmatan yang betul sebelum memulakan perniagaan agar ia mendapat permintaan daripada para pelanggan.

Bagaimana cara untuk memulakan perniagaan di Malaysia?

Sumber: Sterrific

Setiap peniaga di Malaysia wajib mendaftarkan  perniagaan mereka di SSM iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berfungsi untuk:

  • Mengawal selia perkara yang berhubungan dengan perbadanan, syarikat dan perniagaan berhubung dengan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama
  • Mengawalselia syarikat-syarikat di Semenanjung Malaysia supaya mengikut perundangan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif
  •  Mempunyai bidang kuasa untuk mengawal segala jenis perniagaan, perindustrian, koprat dan lain-lain di Malaysia

Jenis-jenis syarikat di Malaysia

Di Malaysia terdapat lima jenis syarikat iaitu:

  • Milikan tunggal/enterprise iaitu perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Nama syarikat atau perniagaan yang didaftarkan ialah atas nama persendirian atau pemilik itu sendiri.  Kebiasaannya modal yang digunakan oleh perniagaan ini adalah kecil, hampir sama konsepnya dengan melabur dalam pasaran saham dengan modal kecil dan diperolehi daripada harta pemilik sendiri, pinjam daripada keluarga, rakan-rakan yang dipercayai dan juga bank yang menawarkan pinjaman mikro.  Contoh perniagaan milikan tunggal ialah kedai runcit, taska, tadika, restoran, dan sebagainya.
  • Perkongsian pula ialah perniagaan yang dimiliki oleh lebih daripada 1 orang pemilik   dan tidak lebih 20 orang pemilik. Kebiasannya untuk perniagaan jenis ini, modal yang diperoleh adalah tidak besar. Ia mungkin dikumpul oleh ahli perkongsian atau mendapat pinjaman bank.  Bagi perniagaan jenis ini, keuntungan dan kerugian syarikat akan dibahagikan mengikut modal, kerja dan persetujuan bersama. Contoh perniagaan perkongsian ialah firma perakaunan, firma guaman, firma arktitek dan sebagainya.
  • Koperasi juga adalah salah satu jenis perniagaan. Koperasi biasanya ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan ekonomi ahli-ahli koperasi tersebut. Syarat utama penubuhan koperasi ialah ia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 50 orang ahli yang aktif. Keuntungan koperasi akan diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen.
  • Sendirian Berhad atau Sdn Bhd adalah satu lagi jenis perniagaan yang ada di Malaysia. Sangat mudah untuk mengenal pasti syarikat sendirian berhad kerana ia akan mempunyai perkataan Sdn Bhd pada namanya. Pemilikan syarikat sendirian berhad adalahdi antara 2-50 orang pemilik sahaja. Sementara modal yang digunakan diperlehi daripada penjualan syer. Apa yang paling penting, bagi perniagaan jenis ini liabiliti syarikat tidak melibatkan harta peribadi pemilik kerana liabiliti syarikat sendirian berhad adalah terhad.  Jika berlaku sebarang kerugian kepada syarikat atau bankrapsi, ia tidak akan melibatkan harta pemilik.
  • Berhad atau awam berhad merujuk kepada syarikat  yang tersenarai di Bursa Malaysia. Saham syarikat ini boleh dijual beli oleh orang awam. Bilangan minimum pemilik syarikat berhad adalah 2 orang dan maksimum adalah tidak terhad. Maksudnya tiada had untuk sesiapa sahaja membeli saham atau syer syarikat ini. Seperti syarikat sendirian berhad, liabiliti atau hutang bagi syarikat berhad adalah terhad. Ia tidak akan melibatkan harta peribadi. Modal syarikat berhad diperoleh daripada penjualan syer kepada orang ramai. Bagi orang awam yang berminat untuk membeli, jumlah minimum untuk membeli syer syarikat awam berhad adalah sebanyak 100 unit. Harga syer adalah bergantung kepada harga syarikat pada hari tersebut. Ada hari harga akan naik, dan ada harinya harga saham akan turun. Di situlah caranya para pemegang share mendapat keuntungan atau kerugian.

Itulah dia info tentang jenis-jenis perniagaan dan syarikat di Malaysia yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang faktor pemasara dan cerita motivasi bisnes

Rujukan:

  1. Jenis Perniagaan Dan Syarikat. Mahersaham

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.