Keluaran dalam negara kasar. Kita biasa dengar perkataan ini namun sejauh mana kita faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut? Jom baca info tentang keluaran dalam negara kasar termasuk definisi, kaedah mengukur, dan kaedah penyusunan yang diamalkan di Malaysia.

Definisi keluaran dalam negara kasar

Sumber: MIDA

Keluaran dalam negara kasar  atau singkatannya KDNK merujuk kepada satu cara untuk mengukur ekonomi nasional sesebuah negara. Secara amnya, jika kadar dalam negara kasar sesebuah negara adalah tinggi, bolehlah dikatakan bahawa ekonomi negara tersebut berada dalam keadaan baik bagi tahun tersebut.  

Keluaran dalam negara kasar bermaksud jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu dan biasanya ia akan dikira dalam tahun kalendar, iaitu dikira setiap tahun. Penentuan keluaran dalam negara kasar akan mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang.

Untuk anda lebih mudah faham, untuk mengetahui keluaran dalam negara kasar, cara kiraannya ialah dengan mencampurkan perkara-perkara berikut:

  • Perbelanjaan pengguna
  • Perbelanjaan pelaburan
  • Perbelanjaan kerajaan
  • Nilai eksport

Setelah kesemua perkara tersebut ditambah, total yang diperolehi akan ditolak dengan nilai import. Maka anda akan mendapat nilai keluaran dalam negara kasar  untuk tahun tersebut.

Kepentingan mengetahui keluaran dalam negara kasar

Keluaran dalam negara kasar adalah sangat penting kerana ia akan menunjukkan keadaan ekonomi sesebuah negara. Negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar yang tinggi kebiasaannya adalah negara kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Jerman, Nigeria dan China. Salah satu daripada matlamat pengurusan ekonomi sesebuah negara ialah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dalam memperolehi pertumbuhan ekonomi yang mampan, keluaran dalam negara kasar  salah satu komponen dalam Perakaunan Negara yang digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai tanda aras pengukuran saiz dan kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Di Malaysia, Jabatan Perangkaan adalah agensi rasmi kerajaan yang menyusun dan menerbitkan statistik rasmi keluaran dalam negara kasar Malaysia.

Cara mengira keluaran dalam negara kasar 

Sumber: Kebijakankesihatanindonesia

Secara umumnya, keluaran dalam negara kasar boleh dikira menerusi tiga pendekatan utama iaitu pengeluaran, perbelanjaan dan pendapatan. Keluaran dalam negara kasar pengeluaran adalah jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tahun tersebut setelah ditolak kos barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Keluaran dalam negara kasar berasaskan kaedah perbelanjaan pula adalah jumlah bagi semua komponen perbelanjaan akhir ke atas barangan dan perkhidmatan dalam tempoh kalendar tahun tersebut dan ditolak dengan import barangan dan perkhidmatan. Akhir sekali, keluaran dalam negara kasar berasaskan kaedah pendapatan ialah hasil jumlah semua pendapatan terakru bagi pengeluaran dalam ekonomi merangkumi komponen pendapatan kepada faktor pengeluaran.

Kaedah penyusunan keluaran dalam negara kasar

Kaedah penyusunan keluaran dalam negara kasar adalah berbalik semula kepada cara mengira keluaran dalam negara kasar yang kami nyatakan di atas tadi iaitu pendekatan pengeluaran, perbelanjaan, dan pendapatan.

  1. Kaedah Pengeluaran. Keluaran dalam negara kasar pengeluaran adalah jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tahun tersebut setelah ditolak kos barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran. Keluaran dalam negara kasar  ialah jumlah nilai ditambah bagi semua pengeluar dalam ekonomi di Malaysia. Cara mengira kaedah pengeluaran ialah dengan sifir berikut:

             Output Kasar – Input Perantaraan = Nilai Ditambah

  • Kaedah Perbelanjaan. Keluaran dalam negara kasar berasaskan kaedah perbelanjaan pula adalah jumlah bagi semua komponen perbelanjaan akhir ke atas barangan dan perkhidmatan dalam tempoh calendar tahun tersebut dan ditolak dengan import barangan dan perkhidmatan. Cara kiraannya ialah:

Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta + Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan + Pembentukan Modal Tetap Kasar + Perubahan Inventori + Eksport – Import

  • Kaedah Pendapatan. Akhir sekali, keluaran dalam negara kasar berasaskan kaedah pendapatan ialah hasil jumlah semua pendapatan terakru bagi pengeluaran dalam ekonomi merangkumi komponen pendapatan kepada faktor pengeluaran. Cara kiraan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

Pampasan Pekerja + Lebihan Kendalian dan Pendapatan Campuran + Perbelanjaan Modal Tetap + Cukai tolak Subsidi ke atas Pengeluaran dan Import

Keluaran dalam negara kasar pada suku pertama 2020

Seluruh dunia menghadapi cabaran dari segi pertumbuhan ekonomi, penguncupan permintaan serta gangguan rantaian bekalan pada suku pertama tahun 2020 dan ianya bertambah buruk disebabkan oleh pandemic Covid-19. Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya. Seuhubungan itu, usaha pemulihan ekonomi telah diambil oleh pihak kerajaan dengan melaksanakan strategi yang terdiri daripada 6 pendekatan atau “6R”  iaitu:

  1. Ketegasan (resolve) dalam mengawal Covid-19 melalui pelaksanaan PKP
  2. Membina ketahanan atau (resilience) melalui pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN bernilai RM260 bilion demi kelangsungan rakyat dan ekonomi
  3. Menjana semula (restart) ekonomi secara teratur dan terkawal
  4. Melaksanakan strategi pemulihan ekonomi (recovery) melalui pelan jangka masa pendek dan sederhana
  5. Memperkasa (revitalize) ekonomi secara menyeluruh
  6. Menyusun semula (reform) struktur ekonomi untuk kita melangkah ke era norma baharu (new normal)

Itulah dia info tentang apa itu keluaran dalam negara kasar yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang langkah beli rumah semasa ekonomi gawat dan indeks hadapan.

Rujukan:

1.DOSM

2. Wikipedia

3. Treasury

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.