Sebagai sebuah negara yang kaya dengan tarikan pelancongan semula jadi dan tempat bersejarah, Malaysia merupakan antara negara yang banyak dikunjungi oleh pelancong dari luar, malah penduduk tempatan.

Ada banyak kempen melawat Malaysia dan cuti-cuti Malaysia yang dianjurkan oleh kerajaan. Adakah berbaloi publisiti meluas ini dilakukan untuk mempopularkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan?

Adakah industri pelancongan mampu membantu sesebuah negara menjana ekonomi ke arah lebih baik atau memburukkan lagi ekonomi negara?

Mari baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Perkembangan pesat industri pelancongan berjaya menjadi penyumbang utama (10.3%) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan menjana 234 juta pekerjaan atau 8.2% jumlah keseluruhan guna tenaga.

Dengan unjuran kebanjiran 1.1 billion pelancong pada tahun 2010, keadaan ini tambah merancakkan lagi perkembangan industri pelancongan dunia dan di setiap negara. Melihat kepada ketibaan pelancong ke setiap negara, ketibaan pelancong masih didominasi oleh pasaran konvensional yang kukuh (established market) seperti pasaran Amerika dan Eropah, walaupun terdapat arah aliran peningkatan yang semakin berkurangan.

Kebelakangan ini, pasaran baru seperti Afrika, Asia dan Pasifik serta Timur Tengah mula menunjukkan permintaan pelancongan yang menggalakkan.

Sumbangan sektor pelancongan kepada negara ini telah merangsang negara baru khususnya negara membangun untuk turut memajukan industri pelancongan. Ini menjadikan industri pelancongan semakin berkembang dalam tempoh dua dekad yang lalu dan muncul sebagai antara industri yang penting dan penyumbang utama kepada ekonomi negara membangun, terutama dari segi pendapatan eksport.

Statistik Pelancongan Dunia

Dari segi statistik, pasaran Amerika dan Eropah misalnya, masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3% dan 6.1% berbanding dengan purata pertumbuhan keseluruhan dunia sebanyak 6.4%.

Manakala bagi pasaran pelancongan baru mengalami pertumbuhan yang lebih tinggi khususnya pasaran Asia dan Pasifik dengan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu 12.5% diikuti oleh pasaran Timur Tengah dan Afrika yang masing-masing sejumlah 9.9% dan 8.0%.

Walau apa sekalipun alasan peralihan pasaran ini, namun yang lebih penting peralihan ini perlu dimanfaatkan terutama oleh negara yang menjadi destinasi baru pelancong untuk mengaut limpahan ekonomi yang terjana khususnya sebagai penyumbang pertumbuhan KDNK dan gunatenaga.

Dinamik Hubungan Pelancongan dan Ekonomi di Seluruh Dunia

Imej via iLabur

Beberapa kajian telah dijalankan untuk mengaitkan kesan pembangunan pelancongan ke atas kepesatan ekonomi negara. Berikut merupakan ringkasan terhadap kajian-kajian tersebut:

  • galakan dalam eksport meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara Afrika
  • pembangunan sektor kewangan menyokong kepada pertumbuhan ekonomi di Eropah
  • saiz perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi mempunyai hubungan langsung yang positif di Australia
  • terdapat hubungan dua hala antara pelaburan langsung asing dengan pertumbuhan output di China
  • perkembangan dalam pelancongan menjadi penyebab kepada pembangunan ekonomi dalam satu arah sahaja di Sepanyol
  • terdapat dua arah penyebab antara perkembangan pelancongan dengan pertumbuhan ekonomi di Greece
  • wujudnya hubungan satu arah antara perkembangan pelancongan dengan pertumbuhan ekonomi di Korea
  • hubungan dua hala antara pelancongan dengan pertumbuhan ekonomi iaitu kedua-dua saling menyokong di Taiwan

Hubungan ‘sebab-penyebab’

Hubungan sebab penyebab ini penting bagi pengujian hipotesis sama ada perkembangan industri pelancongan adalah penyebab kepada pertumbuhan ekonomi (tourism led-economic growth) atau sebaliknya pertumbuhan ekonomi sebagai penyebab perkembangan industri pelancongan (growth-led tourism expansion).

Kajian oleh Redzuan Othman & Norlida Hanim Mohd Salleh pada tahun 2010 cuba merungkai persoalan ini, menggunakan kaedah kointegrasi Johansen untuk memahami gelagat atau hubungan jangka panjang antara pemboleh ubah ekonomi ini.

Hubungan penyebab antara perkembangan industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi dilakukan dalam VECM model yang melibatkan lapan negara, iaitu empat negara maju (United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali dan Sepanyol) dan empat negara lagi dari pasaran baru (China, Hong Kong, Malaysia dan Singapura)

Hasil Kajian

Secara keseluruhan dapatan kajian menunjukkan tiada satu kesamaan bentuk hubungan antara pasaran kukuh dan pasaran baru. Bagi pasaran kukuh United Kingdom dan Itali didapati industri pelancongan yang merangsang kepada pertumbuhan ekonomi manakala bagi negara Amerika Syarikat dan Sepanyol pula pertumbuhan ekonomi pula yang mempengaruhi perkembangan industri pelancongan.

Bagi pasaran baru pula didapati di Malaysia dan China pertumbuhan ekonomi adalah signifikan mempengaruhi perkembangan industri pelancongan manakala bagi Hong Kong dan Singapura pula industri pelancongan yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Faktor Perkembangan Pelancongan dan Pertumbuhan Ekonomi

Negara Maju

Di negara maju seperti United Kingdom dan Itali tidak dapat dinafikan bahawa industri pelancongan di negara berkenaan amat penting dan sumbangan industri ini kepada pertumbuhan ekonomi agak ketara. Oleh sebab itu, perkembangan industri ini begitu mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Bagi negara Amerika Syarikat dan Sepanyol yang mempunyai asas ekonomi yang lebih pelbagai turut membantu perkembangan industri pelancongan mereka. Perkembangan dalam sektor lain terutamanya kemudahan infrastruktur dan industri yang berkaitan dengan pelancongan turut membantu mengembangkan industri pelancongan.

Negara Pasaran Baru

Di negara pasaran baru, iaitu China dan Malaysia pula didapati pertumbuhan ekonomi mempengaruhi perkembangan industri pelancongan. Ini mungkin disebabkan ekonomi Malaysia dan China mempunyai asas yang luas dan pelbagai yang membantu perkembangan industri pelancongan negara ini.

Misalnya, pembangunan sektor lain banyak memerlukan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas yang lain yang juga diperlukan oleh industri pelancongan. Oleh itu, pembangunan industri lain secara keseluruhan untuk pembangunan ekonomi turut merangsang perkembangan industri pelancongan di negara ini.

Manakala bagi Hong Kong dan Singapura didapati perkembangan pelancongan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini mungkin benar kerana kedua-dua negara kecil ini begitu bergantung kepada industri pelancongan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, didapati tiada satu kesamaan bentuk hubungan antara pasaran kukuh dan pasaran baru. Bagi pasaran kukuh United Kingdom dan Itali didapati industri pelancongan merupakan penyebab kepada pertumbuhan ekonomi manakala bagi negara Amerika Syarikat dan Sepanyol pertumbuhan ekonomi pula yang mempengaruhi perkembangan industri.

Bagi pasaran baru iaitu Malaysia dan China, pertumbuhan ekonomi adalah signifikan mempengaruhi perkembangan industri pelancongan manakala bagi Hong Kong dan Singapura pula industri pelancongan yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Rujukan

  1. Mariyono, J. (2017). Determinants of demand for foreign tourism in Indonesia. Jurnal Ekonomi Pembangunan: Kajian Masalah Ekonomi dan Pembangunan18(1), 82-92.
  2. Salleh, N. H. M., Othman, R., Idris, S. H. M., Halim, S. A., Shukor, M. S., Yussof, I., … & Omar, M. (2014). Development of tourism industry and its impact on Langkawi island community. J. Ekon. Malaysia48(2), 71-82.
  3. Othman, R., & Salleh, N. H. M. (2010). Analisis hubungan pembangunan industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi: perbandingan pasaran antara bangsa. Jurnal Ekonomy Malaysia44(2010), 93-100.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.