Kini, dengan penggunaan gajet dan capaian internet yang semakin meluas, kita boleh katakan bahawa periuk nasi karyawan dan pemuzik yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, ahli muzik dan penyanyi mungkin terjejas teruk.

Gaji artis?

Pendapatan mereka dalam bidang ini yang bergantung kepada jualan album dan persembahan langsung sudah kurang mendapat perhatian kerana masyarakat lebih memilih untuk menikmati muzik secara percuma di telefon pintar masing-masing.

Wah, macam serius, bukan? Bagaimana nasib artis-artis ini semua nak cari makan kalau beginilah situasinya?

Artikel ini akan mengupas usaha-usaha untuk menjaga periuk nasi para pemuzik. Bagi mereka yang ingin menceburi bidang muzik, jangan putus asa. Rezeki tak pernah salah alamat!

Pengenalan

Kerjaya dalam bidang muzik seperti komposer lagu, penyanyi, penulis lirik dan ahli muzik merupakan kerjaya yang ada pasang surutnya. Mereka tidak mempunyai gaji tetap sebagaimana pekerjaan lain dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, penerbit muzik merupakan pihak yang terawal terpukul akibat kemunculan gajet.

Terdahulunya, orang ramai perlu memberi album fizikal untuk mendengar lagu-lagu dari penyanyi kegemaran. Daripada penjualan album-album fizikal inilah, penerbit muzik mempunyai modal untuk membayar kos studio, pemuzik dan penyanyi.

Trivia Penjualan Album di Malaysia

Mari kita imbas kembali kegemilangan penjualan album-album kita. Persaingan jualan album pada masa itu hanyalah datang daripada industri cetak rompak, tetapi keuntungan jualan album original ini masih mampu memberi nafas lega dan keuntungan kepada industri untuk terus bertahan.

Berikut adalah senarai album yang meraih jualan album tertinggi mengikut genre:

Pop Ukays – Bisa Berbisa (1994) : 350,000 Unit

Rock Ella – Usa (1994) : 320,000 Unit

Irama Malaysia Siti Nurhaliza – Cindai (1997) : 250,000 Unit

Nasyid Kumpulan Raihan – Puji Pujian (1997) : 800,000 Unit

R&B Sheila Majid – Legenda (1990) : 100,000 Unit

Dance Music Kumpulan Kru – Oh La La (1996) : 150,000 Unit

Rap/Hip Hop Kumpulan Too Phat – 360 (2003) : 100,000 Unit

World Music Zainal Abidin (1991) : 100,000 Unit

Dangdut Amelina, Iwan & Sheeda – Dang Dang Dut (1996) : 350,000 Unit

R&B Kontemporari Ruffedge – Defined (2004) : 40,000 Unit

Alternative Rock Kumpulan  Oag – Old Time Garbage (1994) : 70,000 Unit

Metal/Hard Rock Kumpulan Xpdc – Brutal (1997) : 300,000 Unit

Ska Pop/Rock Kumpulan Spider – Aladdin (2002) : 60,000 Unit

Pop Klasik Kumpulan 2by2 – Rindu (1996) – 100,000 Unit

Inggeris Tempatan Kumpulan Too Phat – 360 (2003) : 100,000 Unit

Komedi Senario (1997) : 100,000 Unit

Jualan Album Lelaki Paling Laris (1 Album) Awie (1994) : 220,000 Unit

Jualan Album Wanita Paling Laris (1 Album) Ella – Usa (1994) : 320,000 Unit

Jualan Album Vokal/Duo Kumpulan Lelaki Paling Laris (1 Album) Kumpulan Raihan – Puji Pujian (1997) : 800,000 Unit 

Jualan Album Vokal Duo/Kumpulan Wanita  Paling Laris (1 Album)
Feminin – Untukmu (1993) : 100,000 Unit

Jualan Album Kumpulan Band Lelaki Paling Laris (1 Album) Ukays – Bisa Berbisa (1994) : 350,000 Unit

Jualan Album Kumpulan Band Wanita Paling Laris (1 Album) Kumpulan Candy  – Candy (1997) : 60,000 Unit

Jualan Album Artis Solo Paling Laris Sepanjang Masa Ella – Usa (1994) : 500,000 Unit

Jualan Album Vokal Duo Atau Berkumpulan Paling Laris Sepanjang Masa Kumpulan Raihan – Puji Pujian (1997) : I Juta Unit 

Jualan Album Berkumpulan Band Paling Laris Sepanjang Masa
Kumpulan Ukays – Bisa Berbisa (1994) : 500,000 Unit

Jualan Debut Album Pertama Paling Laris Sepanjang Masa Kumpulan Raihan – Puji Pujian (1997) : I Juta Unit

Penyanyi Malaysia Paling Laris Jualan Sepanjang Masa Siti Nurhaliza : 2 Juta Unit

Trend Kini

“Sekarang album terjual 1,000 unit pun sudah okey,” kata Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim.

Kenyataan Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU dan Presiden Eksekutif KRU Music ini jelas menunjukkan industri muzik tempatan kini dihimpit masalah pasaran album yang lembap dan dijangkakan terus merudum.

Oleh itu, kebanyakan pengeluar dan penerbit muzik tidak lagi menumpukan penghasilan album fizikal, sebaliknya kepada penghasilan “single” yang boleh dicapai melalui platform digital seperti Spotify, Youtube, Joox dan Itunes.

Setiap aplikasi ini mempunyai kerjasama dengan pengeluar atau penerbit muzik. Jadi, pulangan dalam bentuk pendapatan akan membantu industri muzik untuk terus bernafas walaupun tanpa jualan album fizikal.

Mengambil contoh Youtube, pada tahun 2012, mereka telah memeterai perjanjian pelesenan dengan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) yang akan membolehkan pemuzik dan komposer Malaysia meraih pendapatan di YouTube.

Pengarah pengurusan produk YouTube Asia-Pasifik, Adam Smith berkata, pendapatan akan dikumpulkan apabila iklan dipaparkan di video rakan YouTube.

“Untuk kali pertama di bawah perjanjian ini, pencipta Malaysia akan menerima bayaran daripada persatuan mereka apabila pemegang hak mengagihkannya.”

Kutipan Royalti

Dari segi ekonomi, golongan karyawan memperolehi pendapatan melalui hasil karya yang dikutip daripada royalti mekanikal, persembahan dan penyiaran awam.

Di samping itu, royalti tidak lagi daripada penerbit tetapi daripada platform digital.

Ditambah dengan kesedaran masyarakat Malaysia yang semakin meningkat terhadap hak ciptaan karyawan dan semakin diiktiraf serta diberi penghormatan, maka berlaku peningkatan dari segi kutipan royalti dari hanya berjumlah RM0.435 juta pada tahun 1989 melonjak kepada RM19.159 juta pada tahun 2004 dan terus melonjak sehingga kini.

Sememangnya memberi berita yang baik, bukan?!

Usaha Pemuzik Sendiri untuk Tambah Pendapatan

Para karyawan (pemuzik/penulis lirik/komposer/penyanyi) tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada penerbit untuk promosi dan jualan.

Dalam pasaran baru ini, beberapa usaha atau inisiatif yang boleh dilakukan ialah:

  • Buat pemasaran sendiri (viral/iklan di media sosial/hebahan langsung)
  • Bangunkan peminat sendiri (kumpul peminat melalui media sosial/interaksi)
  • Kenali demografi (sasaran pembeli/latar belakang mereka)
  • Penjenamaan semula yang relevan untuk lebih diterima pendengar/selera pendengar

Kesimpulan

Dengan kepesatan dunia yang semakin berkembang, semua pihak sebenarnya kena sentiasa bersedia untuk beradaptasi bagi mengejar perubahan arus teknologi ini. Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah.

Khusus bagi kerjaya pemuzik, sesuai dengan industri seni kreatif yang mereka berada, mereka perlu sentiasa kreatif dan inovatif untuk kekal relevan dan diterima ramai.

Rujukan

  1. http://galaksiviral.blogspot.com/2017/07/album-malaysia-paling-laris-sepanjang.html
  2. https://www.hmetro.com.my/node/18292
  3. Saari, N., Sarji, A., & Basri, F. K. H. (2010). MUZIK DAN PEMBANGUNAN SOSIAL: PAPARAN DASAR INDUSTRI HIBURAN DALAM AKHBAR-AKHBAR DI MALAYSIA. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication, 26(2).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.