Isu lambakan graduan menganggur semakin banyak diperkatakan di mana-mana.
Jom baca artikel ini untuk ketahui mengenai #MalaysiaKerja, suatu usaha kerajaan mengatasi kemelut yang melanda rakyat Malaysia yang sedang diuji untuk mencari kerjaya yang stabil.
Antara kelebihan menyertai Malaysia Kerja ini adalah mendapat imbuhan duit tambahan bulanan dari kerajaan tau!
Ada banyak pendapat yang mengaitkan isu pengangguran ini seperti graduan memilih kerja, skop kerja tidak meluas di Malaysia dan persaingan sengit sesama graduan malah bersama pekerja asing.
Siapa saja yang memilih untuk tidak bekerja selepas habis belajar? Kerjaya selepas tamat belajar amat penting bagi banyak tujuan seperti membina hidup baru, melunaskan hutang pengajian, komitmen peribadi dan membalas jasa ibu bapa.
Oleh itu, pada Oktober 2019, kerajaan ada melancarkan satu perancangan mengatasi isu ini dengan sebuah inisiatif Malaysia Kerja; #MalaysiaKerja atau Malaysians@Work.
Dengan pelancaran inisiatif Malaysia Kerja, kerajaan berhasrat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, khususnya untuk belia dan wanita.
Hal ini sekali gus akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Secara tidak langsung, isu kebanjiran warga asing dan pendatang asing tanpa izin dapat dibendung.
Perkara ini telah dibentangkan di Belanjawan 2020 pada tahun lepas dengan objektif untuk menjaga kebajikan rakyat dan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun yang akan datang untuk melaksanakan inisiatif ini.
Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat dalam masa lima tahun yang merupakan usaha berperingkat.
Terdapat 4 program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif. Setiap program ini melibatkan 4 golongan sasaran. Program-program sasaran yang terlibat merangkumi:
Program ini direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan.
Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima manakala majikan pula menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama;
Program ini bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.
Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam bagi tempoh yang sama.
Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023.
Ini adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.
Program ini pula adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET.
Inisiatif #MalaysiaKerja ini akan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana insentif gaji itu akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP, kecuali bagi program #PerantisKerja.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, KWSP diberi tanggungjawab penuh untuk menguruskan agihan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion bagi menjayakan program ini.
Katanya, ketika ini persiapan sedang giat dilakukan oleh pelbagai agensi terbabit termasuk penyediaan mekanisme dalam memastikan matlamat mewujudkan tambahan 350,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dapat dicapai seperti yang dirancang.
Kerajaan menjangkakan untuk melancarkan inisiatif ini pada pertengahan tahun ini (Jun 2020).
Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain.
Inisiatif ini khusus untuk mereka yang tidak memperoleh pekerjaan khususnya belia, graduan dan wanita kerana kita sedia maklum bahawa kadar pengangguran dalam kalangan belia dan orang muda adalah sangat tinggi.
Justeru itu, dengan adanya perancangan inisiatif #MalaysiaKerja menerusi pemberian imbuhan ini, kerajaan berharap dapat turunkan separuh daripada kadar pengangguran dalam kalangan orang muda yang kini hampir 11 peratus.
Marilah sama-sama kita merebut peluang ini bagi mendapatkan kerjaya yang boleh mengubah masa depan kita sendiri. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya dan yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.