Isu penetapan kadar gaji minimum sememangnya telah banyak diperjuangkan oleh banyak pihak seperti persatuan pekerja, badan bukan kerajaan dan kerajaan sendiri.

Menurut laporan The Star bertarikh 28 Disember 2019, penetapan gaji minimum sebanyak RM 1200 di Malaysia ditangguhkan buat sementara waktu untuk dinilai semula, yang sepatutnya berkuat kuasa pada 01 Januari 2020.

Pada waktu ini, gaji minimum di Malaysia ialah sebanyak  RM 1100 sebulan bersamaan RM 5.29 per jam.

Kadar rata ini diguna pakai bagi seluruh Malaysia berbanding sebelum ini terdapat perbezaan gaji minimum iaitu RM 1000 di Semenanjung dan RM 920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, apa kata kita lihat perbandingan nilai gaji minimum di negara-negara jiran. Mana tahu kan kalau anda ada berhajat untuk cari rezeki di negara luar?

Singapura

Imej via iLabur

Kota Singa ini tidak mewajibkan penetapan gaji minimum bagi kebanyakan pekerjaan di negara ini.

Majikan-majikan diberikan kebebasan untuk menetapkan gaji para pekerja mengikut keperluan dan permintaan pasaran.

Namun begitu, gaji minimum untuk tukang cuci dan pengawal keselamatan wajib dibayar, masing-masing pada kadar lebih kurang RM 3000 dan RM 3300.

Wah, hampir menyamai dengan gaji eksekutif di Malaysia!

Jika gaji tukang cuci dan pengawal keselamatan pun sudah mencecah RM 3k, pasti pekerjaan lain seperti kerani, pegawai, juruteknik dan lain-lain boleh mencapai lebih daripada itu.

Walau bagaimanapun, nilai ini mungkin tinggi bagi kita di Malaysia, tetapi kita jangan lupa bahawa kos sara hidup di Singapura adalah agak tinggi sesuai dengan statusnya sebagai negara yang maju.

Contoh paling mudah, air mineral 500 ml di Singapura dijual sehingga RM 4 sebotol berbanding RM 0.50 di Malaysia.

Brunei Darussalam

Imej via iLabur

Negara ini turut tidak mengamalkan sistem gaji minimum bagi pekerja-pekerja di sini.

Sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi dengan hasil minyak petroleum, adalah tidak menghairankan bahawa purata gaji pekerja di negara ini ialah RM 6k.

Malah direkodkan gaji terendah bagi pekerja di negara Brunei ialah sekitar RM 2500.

Thailand

Imej via iLabur

Negara Gajah Putih ini menetapkan gaji minimum sekitar US$ 357 atau sekitar RM 1400 per bulan.

Nilai ini agak tinggi dan telah menarik minat ramai pendatang dari negara luar untuk bekerja di sini, menjadikannya antara negara yang mempunyai ramai pekerja asing.

Kos sara hidup di Thailand juga lebih kurang dengan Malaysia dengan sosio budaya yang boleh diterima oleh rakyat kita yang selalu melancong ke sana.

Filipina

Imej via iLabur

Sementara itu, di Filipina upah minimum yang ditetapkan di sana ialah dalam purata US$ 256 per bulan atau RM 1050.

Penerima gaji minimum terendah adalah di wilayah Mindanao, sebanyak RM 593 sebulan.

Walau bagaimanapun, gaji minimum di kawasan metropolitan Filipina seperti Manila, Quezon, Makati, Malabon dan Las Pinas boleh mencecah sehingga RM 1186.

Namun, kedudukan ekonomi negara Filipina yang sama-sama sedang membangun tidak menawarkan begitu banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan.

Negara ini turut mempunyai kos bahan mentah makanan yang agak tinggi, jadi tidak hairanlah harga makanan yang dijual di sini agak mahal berbanding negara-negara ASEAN yang lain.

Tetapi negara ini masih menjadi pilihan untuk pekerja asing khususnya mereka yang datang dari Indonesia.

Indonesia

Imej via iLabur

Negara jiran kita ini tidak mempunyai kadar gaji minimum yang tetap kerana mereka menggunakan sistem gaji minimum berdasarkan sistem wilayah.

Sistem ini ditadbir dan ditentukan oleh gabenor pentadbir wilayah masing-masing.

Kadar gaji minimum yang tertinggi direkodkan bagi wilayah Jakarta iaitu sebanyak RM 1070, sesuai dengan status Jakarta sebagai ibu negara Indonesia.

Jumlah ini berbeza-beza mengikut wilayah yang kebanyakannya berada di pedalaman yang menetapkan kadar gaji minimum yang sangat rendah berbanding Jakarta.

Contohnya, gaji minimum di Yogyakarta ialah sebanyak RM 462 sebulan.

Vietnam

Imej via iLabur

Nilai gaji minimum di negara ini dilaporkan sekitar US$ 181 atau RM 743 sebulan.

Kos sara hidup di Vietnam juga didapati lebih tinggi berbanding Indonesia.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat ramai warga Vietnam membanjiri kemasukan ke negara lain sebagai pekerja asing khsuusnya di Malaysia.

Kemboja/Laos

Imej via iLabur

Nilai gaji minimum di negara Kemboja/Cambodia ini hanyalah sebanyak US$ 121 atau RM 497 sebulan. Kadar ini tidak jauh berbeza dengan gaji minimum di negara jirannya, Laos iaitu US$ 118 sebulan.

Faktor pembangunan yang kurang pesat di kedua-dua negara tersebut telah memperlahankan sektor ekonomi dan pekerjaan di sana. Hal ini menyebabkan banyak penduduk mereka terpaksa mencari rezeki di negara luar.

Myanmar

Imej via iLabur

Negara Myamnar merupakan negara ASEAN yang menawarkan gaji minimum yang paling rendah iaitu sebanyak US$ 80 per bulan bersamaan lebih kurang RM 320.

Selain itu, kos hidup di Myanmar juga agak tinggi. Dilaporkan, dengan gaji minimum yang rendah sebegitu, harga hidangan untuk sekali makan di Myanmar secara puratanya pula ialah RM8 berbanding RM 5 di Malaysia yang menawarkan gaji minimum RM 1100.

Kesimpulan

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Sememangnya kita bersyukur dengan kemakmuran ekonomi dan limpahan rezeki yang kita kecapi sebagai rakyat Malaysia. Semoga kedudukan kewangan Malaysia terus stabil dan maju demi kebajikan rakyat.

Tidak salah sekiranya kita mahu mencuba nasib mencari rezeki di negara luar kerana dengan cara itu, kita akan dapat menambah pengalaman dan kemahiran yang akhirnya boleh digunakan untuk manfaat negara kita sendiri, bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.

Jemput baca ringkasan bajet 2020.

Rujukan

  1. https://iluminasi.com/bm/5-negara-asia-tenggara-yang-menawarkan-gaji-minima-tertinggi.html
  2. https://www.moneysmart.id/upah-minimum-negara-asia-tenggara-mana-paling-besar/
  3. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/12/28/group-new-minimum-wage-delayed
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.