Orang kata disebabkan harta-benda, adik-beradik boleh bergaduh dan bermasam muka. Bukan sahaja hart-benda peninggalan ibu ayah yang menjadi rebutan, malah sudah banyak kali tular tentang rebutan harta di antara isteri dan keluarga mertua. Adalah sangat penting untuk kita mempunyai ilmu tentang harta pusaka. Salah satu daripanya ialah harta pusaka kecil. Jom kami kongsikan info tentang harta pusaka kecil: perkara yang perlu kita tahu.

Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka kecil?

Harta pusaka kecil merujuk kepada harta yang ditinggalkan oleh simati dan harta-harta tersebut mempunyai ciri – ciri berikut:

  • Simati tidak meninggalkan wasiat ( bagi simati bukan Islam ).
  • Harta itu terdiri daripada Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, atau ; Harta Tak Alih (Tanah/Rumah )  bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, carumah KWSP/Insuran ( tanpa penama ), ASN/ASB dan  sebagainya.
  • Jumlah  nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM2,000,000.00 ( mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat.

Cara membuat permohonan pembahagian pusaka kecil

Permohonan pembahagian harta pusaka kecil adalah tertakluk kepada ( Seksyen 8) – Akta Harta Pusaka Kecil ( Pembahagian ) 1955 yang menyatakan bahawa setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dengan mengisi Borang A dan disertakan bersama dokumen yang diperlukan iaitu:

Bukti Kematian

Kematian boleh dibuktikan dengan mengemukakan salah satu daripada dokumen berikut:

  • Sijil kematian/permit menguburkan;  atau
  • Surat Akuan Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan, contohnya bagi kematian semasa pendudukan Jepun dan sebelumnya; atau
  • Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh  Mahkamah Tinggi dalam keadaan  seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya  kejadian.

Dokumen Harta Tak Alih

Pemohon perlu mengemukakan salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah  atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati atau surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan. Selain itu perlu disertakan sekalai salinan resit cukai pintu bagi kediaman/bangunan Hak Milik Strata yang belum dikeluarkan dan resit cukai tanah jika ada.

Salinan dokumen harta

Untuk harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan, salinan penyata KWSP dan sebagainya, pemohon perlu menyertakan salinan dokumen harta yang terbaru.

Siapa yang berhak untuk membuat permohonan?

Sumber: Ohmedia

Terdapat beberapa individu yang layak untuk membuat permohonan pembahagian harta pusaka kecil. Di antaranya ialah:

  • Waris – waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam ( Baitulmal ) dan sebagainya
  • Pemiutang dan pengkaveat
  • Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah
  • Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati
  • Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah
  • Amanah Raya Berhad

Di manakah permohonan boleh dihantar?

Permohonan boleh dilakukan di Unit Pembahagian Pusaka atau Pejabat Tanah di mana harta tak alih simati terletak. Sekiranya simati mempunyai harta tak alih ( tanah ) di banyak tempat sama ada di dalam negeri yang sama atau negeri yang berlainan, permohonan pembahagian kesemua harta tak alih itu hendaklah dikemukakan di salah satu daerah sahaja iaitu di mana harta tak alih itu terletak. Tidak perlu membuat permohonan di kesemua negeri dan daerah.

Sesi perbicaraan

Selepas permohonan diterima, Unit Pembahgian Pusaka atau Pejabat Tanah akan menetapkan tarikh perbicaraan di mana:

  • Semua dokumen asal seperti bukti kematian, hakmilik tanah, kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, bukti-bukti harta alih dan lain  dokumen yang perlu hendaklah dibawa semasa pembicaraan.
  • Semua pihak yang diminta  hadir adalah dikehendaki hadir  di hari pembicaraan .
  • Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah atau dengan berikrar.
  • Mana-mana waris yang tidak dapat hadir bolehlah mengemukakan Surat Akuan Persetujuan yang ditandatangani di hadapan Pentadbir Tanah, Majistret , Pesuruhjaya Sumpah atau Notaris Awam Sila nyatakan cara pembahagian yang dikehendaki dengan jelas. Surat Akuan Persetujuan boleh didapati di semua Unit Pembahagian Pusaka, Pejabat Tanah atau boleh juga dimuat turun melalui laman web jabatan iaitu www.jkptg.gov.my

Bagaimanakah harta pusaka kecil dibahagikan?

Bagi simati yang beragama islam, harta pusaka kecil yang ditinggalkan akan dibahagikan mengikut hukum syarak. Sementara bagi simati yang bukan beragama  islam, pembahagian akan dibuat mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300). Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka simati bersetuju.

Info penting tentang harta pusaka kecil

Berikut adalah beberapa info penting tentang harta pusaka kecil yang anda perlu tahu:

  • Borang permohonan ( Borang A ) boleh didapati di Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah daerah.
  • Pembicaraan boleh diadakan di Balai Raya atau Balai Penghulu Dewan Orang Ramai yang berhampiran dengan tanah peninggalan simati.
  • Perkhidmatan peguam tidak diperlukan untuk proses tuntutan.
  • Penyerahan/ penerimaan hak/ bahagian sesama waris boleh dibuat semasa pembicaraan tanpa sebarang bayaran.
  • Pembicaraan boleh diadakan di mana-mana daerah yang terdapatnya harta simati
  • Pembahagian boleh dibuat secara terus kepada waris simati dan suratkuasa tadbir hanya diberikan dalam situasi tertentu.

Itulah dia info tentang harta pusaka kecil: perkara yang perlu kita tahu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang hukum makan harta pusaka dan pembahagian harta pusaka.

Rujukan:

1. Permohonan Pusaka. https://www.jkptg.gov.my/index.php/my/permohonan-pusaka

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.