Setiap perniagaan perlu mempunyai pasukan pemasaran yang mantap bagi memastikan produk jualan mereka mendapat sambutan di pasaran.
Namun, pemasaran bukan sekadar hanya mengiklankan, ada beberapa faktor lain yang perlu diambil kira, supaya matlamat untuk memasarkan produk anda tercapai dengan jayanya!
Dalam artikel ini, persekitaran makro dibincangkan secara terperinci supaya dapat difahami oleh semua pembaca, terutamanya bagi para peniaga dan ahli pemasaran. Juga menarik untuk menambah ilmu orang awam tentang bagaimana operasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh persekitaran makro ini.
Jom baca.
Terdapat dua jenis persekitaran pemasaran luaran; mikro dan makro. Kedua-dua faktor persekitaran ini adalah di luar kawalan sesebuah organisasi tetapi mempengaruhi keputusan syarikat dan strategi pemasaran.
Elemen-elemen persekitaran mikro kebiasaannya adalah spesifik terhadap sesebuah organisasi seperti pembekal, orang awam, pesaing, pelanggan dan pengedar.
Sementara itu, faktor-faktor persekitaran makro melibatkan pengaruh pada skala yang lebih besar dan umum. Elemen-elemen ini perlu diambil kira oleh organisasi terutamanya untuk menghasilkan strategi komersial.
Analisis persekitaran makro adalah bermanfaat untuk lebih memahami dan beradaptasi dengan persekitaran dan perubahan sosial melalui usaha pemasaran untuk mencapai matlamat perniagaan.
Persekitaran makro terdiri daripada keadaan-keadaan umum yang wujud dalam ekonomi secara menyeluruh berbanding sektor tertentu.
Itani, Connell, & Mason (2014) meringkaskan elemen-elemen persekitaran makro yang berkaitan dalam satu jaringan dengan sebuah akronim iaitu jaringan PESTEL yang bermaksud Politic, Economy, Social, Technology, Environment dan Legal.
Secara umumnya, perancang strategik mengambil kira jaringan PESTEL ini untuk lebih memahami ancaman dan peluang yang ditawarkan oleh faktor-faktor tersebut dan bagaimana pelan strategik perlu diubah suai untuk mengekalkan dan mengukuhkan persaingan.
Segmen pasaran yang berbeza secara umumnya dipengaruhi oleh daya demografik yang sama seperti kawasan/negara, umur, etnik, tahap pendidikan, gaya hidup dan ciri-ciri budaya.
Pengkelasan demografik dilakukan bagi mengecilkan lagi skop sasaran pemasaran.
Sebagai contoh, pengkelasan demografik usia dilakukan berdasarkan tahun kelahiran.
Maka, istilah Baby Boomer, Generasi X dan Generasi Y diperkenalkan, masing-masing bagi mereka yang lahir pada julat tahun 1946-1964, 1965-1975 dan 1977-1994.
Unsur demografi ini merangkumi pelbagai aspek termasuklah dinamik keluarga, perubahan geografi, dan tahap diversiti.
Pendekatan pemasaran akan mengambil kira faktor demografik bagi sesebuah populasi untuk memenuhi permintaan pasaran daripada populasi tersebut.
Persekitaran ekonomi yang biasa dikenal pasti adalah seperti berikut:
Setiap komponen ini memainkan peranan yang penting dalam penghasilan produk oleh organisasi dan proses membuat keputusan para pelanggan.
Corak perbelanjaan oleh masyarakat memainkan peranan yang penting bagi ahli pemasaran untuk menilai taburan ekonomi masyarakat setempat.
Keadaan ekonomi dunia khususnya harga minyak sentiasa diperhatikan kerana hal tersebut bakal mempengaruhi harga barangan melalui konsep teori domino dalam ekonomi.
Sumber alam perlu diteliti dalam perancangan organisasi seperti sumber yang boleh diperbaharui (hutan, hasilan pertanian, produk marin) dan sumber yang tidak boleh diperbaharui (minyak, mineral).
Sumber perolehan ini memberi kesan ke atas perjalanan organisasi.
Sebagai contoh, organisasi yang menggunakan sumber alam sebagai bahan mentah bakal berhadapan dengan masalah penghasilan produk apabila sumber tersebut semakin berkurangan.
Selain itu, isu pencemaran boleh menjejaskan reputasi syarikat sekiranya sesebuah syarikat didapati bertanggungjawab menyebabkan pencemaran tersebut secara langsung.
Kemahiran, ilmu, teknologi dan bahan adalah sangat penting dari aspek penghasilan produk dan perkhidmatan yang seterusnya akan melancarkan perjalanan urus niaga.
Perkembangan teknologi perlu sentiasa diikuti supaya sesebuah organisasi tidak terlepas daripada arus kemodenan. Tambahan pula, perkembangan teknologi digital terbukti memberi kesan ke atas pertumbuhan pasaran.
Kecekapan sesebuah organisasi menguasai sesebuah teknologi akan membantu kelangsungan ekonomi organisasi tersebut.
Hal ini dapat dilihat dengan kejatuhan empayar Nokia yang enggan mengikuti perkembangan telefon pintar sebagaimana jenama lain seperti Apple, Samsung dan Sony.
Setiap keputusan yang diambil oleh organisasi perlulah mengambil kira keadaan politik setempat dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan sebarang konflik yang merugikan organisasi.
Ahli pemasaran perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan saranan atau larangan oleh pihak berkuasa kerana pelaksanaannya boleh menjadi sangat kompleks sekiranya tidak dipelajari dan dilaksanakan dengan baik.
Dasar pemerintah juga akan membantu menaikkan atau menjatuhkan sesebuah organisasi.
Impak produk dan perkhidmatan terhadap masyarakat setempat perlu diambil kira.
Sebarang unsur bahaya atau negatif dalam proses penghasilan produk terhadap masyarakat perlu dielakkan untuk menunjukkan tanggungjawab sosial organisasi.
Selain itu, latar belakang sosial seperti kebudayaan dan etnik perlu didalami bagi mengetahui isu-isu sensitif yang boleh timbul sekiranya perlaksanaan perniagaan tidak diperhalusi.
Sebagai contoh, Malaysia merupakan negara yang menggunakan bahasa Malaysia secara bahasa rasmi, jadi, perkhidmatan yang ditawarkan perlulah mengutamakan bahasa Malaysia bagi memudahkan komunikasi antara pelanggan dan pekerja.
Setiap organisasi perlu beroperasi mengikut pasaran yang disasarkan. Pengenalpastian persekitaran pemasaran seperti persekitaran makro adalah sangat penting kerana hal tersebut akan mempengaruhi pengurusan dan kejayaan transaksi dengan para pelanggan.
Persekitaran makro ini melibatkan daya sosial yang luas dan membentuk peluang dan ancaman terhadap organisasi. Elemen-elemen persekitaran makro termasuklah demografik, ekonomik, alam semulajadi/fizikal, teknologi, politik/perundangan dan sosiobudaya yang berada di luar bidang kuasa sesebuah organisasi.
Pengurusan persekitaran mikro sesebuah syarikat boleh merujuk kepada cara pengurusan syarikat pesaing yang lain.
Hal ini akan memberikan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak pengguna dan organisasi. Apabila berhadapan dengan persekitaran pemasaran, sesebuah organisasi perlulah menjadi proaktif bagi melahirkan persekitaran yang harmoni, baik untuk persekitaran makro mahupun mikro.