Selalu kan kalau kita pergi makan ke tempat makanan yang ala have have sikit ni, pada resit nanti akan dimasukkan sekali caj perkhidmatan. Jadi kita bayar lebih atau macam dalam budaya mat salleh, kita bagi tips kepada staf kedai makan tersebut yang ‘berkhidmat’ melayan kita semasa kita menjamu selera.

Jadi, mari ketahui, kesan pelaksanaan cukai dan caj perkhidmatan ini ke atas pengoperasian kedai makanan.

Pengenalan

Industri perkhidmatan makanan dan minuman (Food and Beverage, F&B) di Malaysia semakin meningkat di Malaysia dengan bertambahnya banyak tempat membeli-belah dan pembangunan negara.

Mengikut laporan Banci Ekonomi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, perkhidmatan makanan dan minuman, didapati nilai output kasar telah melonjak sebanyak 22.7% daripada RM6,062 juta pada tahun 2001 kepada RM38,251 pada tahun 2010.

Di samping itu, daripada 145,320 pertubuhan yang telah beroperasi dalam perkhidmatan makanan dan minuman pada tahun 2010, 81. 4% adalah merupakan perkhidmatan makanan diikuti 10.1%  pertubuhan dalam perkhidmatan minuman dan 8.5% pertubuhan dalam perkhidmatan katering.

Komponen utama dalam perbelanjaan pertubuhan bagi industri ini pula adalah pembelian barangan, bahan dan perkhidmatan serta pembayaran gaji dan upah. Kedua-dua kos ini menyumbang hampir 70% daripada keseluruhan perbelanjaan industri perkhidmatan makanan dan minuman.

Prestasi F&B di Malaysia

Imej via iLabur

Dari segi bilangan pertubuhan, Selangor mempunyai bilangan yang tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Johor dan Perak.

Keempat-empat negeri ini juga telah menyumbang separuh daripada bilangan pertubuhan dalam sektor F&B ini.

Dari segi prestasi perkhidmatan makanan, walaupun gerai makanan mempunyai bilangan pertubuhan tertinggi diikuti restoran dan restoran yang juga kelab malam, kafeteria/kantin serta restoran makanan segera, tetapi restoran dan restoran yang juga kelab malam menyumbang nilai output kasar tertinggi diikuti gerai makanan, restoran makanan segera dan kafeteria/kantin.

Seterusnya, bagi perkhidmatan katering, didapati perkhidmatan makanan lain seperti kantin di sekolah, hospital dan kilang mendahului aktiviti katering makanan dari sudut bilangan pertubuhan dan sumbangan output kasar.

Manakala perkhidmatan minuman menunjukkan bilangan pertubuhan paling banyak bagi kedai kopi, diikuti tempat minuman lain seperti kiosk, serta pub, bar, disko, coffee house, ruang koktel dan karaoke.

Dari aspek output kasar, kedai kopi masih menyumbang nilai output kasar tertinggi diikuti pub, bar, disko, coffee house, ruang koktel dan karaoke, serta tempat minuman lain seperti kiosk.

Cukai Perkhidmatan Terhadap F&B di Malaysia

Seiring dengan perkembangan sektor perkhidmatan makanan dan minuman tersebut, kerajaan juga dilihat telah mengenakan cukai perkhidmatan terhadap makanan dan minuman.

Perlu dijelaskan bahawa cukai perkhidmatan seperti yang termaktub mengikut Akta Cukai Perkhidmatan 1975 dikenakan ke atas apa-apa perkhidmatan yang kena dibayar cukai yang disediakan oleh mana-mana orang yang kena membayar cukai.

Ia adalah terpakai di seluruh Malaysia kecuali

  • Langkawi
  • Labuan
  • Zon Bebas
  • Kawasan Pembangunan Bersama

Pelaksanaan Cukai F&B

Terdapat ahli ekonomi yang menyokong pelaksanaan cukai berasaskan penggunaan ini disebabkan pencukaian terhadap pendapatan modal mengakibatkan kejatuhan kecekapan berikutan daripada diskriminasi cukai pendapatan modal terhadap penabung.

Justeru, cukai penggunaan juga dikatakan merupakan indeks kemampuan membayar yang lebih baik daripada pendapatan.

Walaupun begitu, cukai perkhidmatan biasanya dikenakan dalam bentuk ad valorem, iaitu cukai yang dikenakan sebagai peratus dari harga jualan. Tetapi ia juga bersifat cukai eksais terpilih, yang bererti kerajaan hanya mengenakan cukai perkhidmatan terhadap industri tertentu sahaja termasuk sektor perkhidmatan makanan dan minuman.

Trend Cukai F&B

Cukai perkhidmatan pada awalnya dikenakan pada kadar 5% dari nilai perkhidmatan yang diberikan. Namun pada tahun 2011, kadar cukai perkhidmatan telah meningkat kepada 6% dari nilai perkhidmatan yang diberikan.

Pindaan kadar cukai perkhidmatan baru ini dikuatkuasakan melalui Perintah Cukai Perkhidmatan (Kadar Cukai) (Pindaan) 2010. Dalam masa yang sama, kebanyakan pihak peniaga terutama restoran bersaiz besar kini mula mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna.

Perkara yang paling memeranjatkan adalah pada amalannya, didapati pihak pengurusan restoran
mengenakan kadar caj perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan.

Trend Caj Perkhidmatan

Imej via iLabur

Pada peringkat awal, kebanyakan pengendali restoran di negara maju mengenakan tips kepada pelanggan untuk memberi motivasi kepada pekerja agar memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan, mengukur prestasi pekerja, dan mengenalpasti tahap ketakpuashatian pelanggan.

Implikasinya, jumlah tips yang diberi adalah tidak tetap dan bergantung pada kepuasan pelanggan tersebut. Namun, kebanyakan restoran kini mula dilihat mengenakan caj perkhidmatan pada kadar yang tetap terutama sekali bagi majlis makan yang melibatkan ramai peserta.

Ini menunjukkan keputusan pihak pengurusan restoran untuk mengenakan tips atau caj perkhidmatan adalah bergantung kepada objektif mereka untuk menggalakkan penyediaan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

Sebahagian negara Eropah yang selama ini menggunakan sistem pemberian tip sudah mula menggantikannya dengan sistem caj perkhidmatan kerana berpandangan bahawa ini akan memudahkan pelanggan memandangkan caj perkhidmatan telah dimasukkan terus ke dalam senarai harga yang perlu dibayar oleh pelanggan.

Impak Cukai dan Caj Perkhidmatan Terhadap Pengguna

Pengguna berada pada tingkat utiliti sosial yang lebih rendah serta mewujudkan beban berlebihan (lebihan pengguna yang hilang dan tidak dapat dikembalikan semula apabila hasil cukai yang diperoleh dikembalikan semula kepada awam).

Jika pengguna menyedari bahawa mereka terpaksa menanggung beban cukai perkhidmatan atas pembelian sesuatu barangan, maka mereka boleh membuat keputusan untuk tidak membeli barangan tersebut bagi mengelak dari dikenakan cukai perkhidmatan dan hanya membeli barangan yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

Jelas sekali bahawa pelaksanaan cukai perkhidmatan telah menjejaskan kecekapan pilihan antara perkhidmatan yang dikenakan cukai dan tidak dikenakan cukai.

Apabila harga makanan dan cukai perkhidmatan dikenakan secara bersama dalam satu harga, maka harga makanan yang dijual menjadi mahal dan bakal mengurangkan permintaan pelanggan terhadap makanan di restoran tersebut.

Kesimpulan

Bagi menjamin kerancakan industri makanan yang kian berkembang dan kompleks, maka pihak kerajaan harus menetapkan kadar cukai perkhidmatan yang lebih berdaya saing serta mampu menjaga kebajikan pengguna. Di samping itu, kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang bagi memantau caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak restoran.

Manakala pihak restoran pula harus memastikan kadar caj perkhidmatan yang dikenakan sepadan dengan perkhidmatan yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai pengguna berbelanja secara konsisten di restoran mereka.

Rujukan

  1. Asri, N. M., Endut, W., Bulis, S., & Azmi, A. (2014). Impak cukai dan caj perkhidmatan terhadap permintaan makanan di restoran. Jurnal Ekonomi Malaysia48(1), 99-116.
  2. Lin, I. Y., & Namasivayam, K. (2011). Understanding restaurant tipping systems: a human resources perspective. International Journal of Contemporary Hospitality Management.
  3. Lynn, M. (2001). Restaurant tipping and service quality: A tenuous relationship. Cornell Hotel and Restaurant Administration Quarterly42(1), 14-20.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.