Ya, kita sudah berada di tahun 2020 yang menjadi penanda akhir impian Wawasan 2020 yang nampaknya, agak gagal dicapai?

Mentaliti sesetengah kita menganggap Wawasan 2020 sebagai wujudnya kereta terbang, lebuh raya merentasi bangunan dan dunia penuh robot yang bergerak, sedangkan hakikatnya, misi Wawasan 2020 untuk Malaysia mencapai status negara maju.

Jadi, satu visi atau target baru telah digubal oleh kerajaan untuk mencapai Dasar Kemakmuran Bersama 2030.

Apakah itu? Kereta terbang lagi kah? Bersediakah kita rakyat Malaysia?

Ayuh baca artikel ini untuk lebih memahami mengenai konsep Dasar Kemakmuran Bersama 2030.

Pengenalan

Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 telah dilancarkan oleh kerajaan pada Oktober 2019 dengan merancang pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan negara kepada semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira etnik, pendapatan dan rantaian bekalan.

WKB bukanlah dasar ekonomi baharu sebaliknya merupakan kesinambungan dan kelangsungan dasar-dasar negara yang lepas.

Wawasan yang dijangka tercapai bermula tahun 2021 sehingga 2030 ini bertujuan mengukuhkan keseimbangan politik, sosial dan ekonomi negara Malaysia.

Rangka Wawasan

Pada September 2018, sekumpulan penyelidik di Institut Masa Depan Malaysia (MASA) telah menyediakan dan membangunkan Wawasan Kemakmuran Bersama yang kemudiannya dikemas kini oleh kerajaan, sesuai untuk dibangunkan

Kemudian, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi melengkapkan dan menyediakan pembentangan WKB ini di parlimen untuk persetujuan pelaksanaannya.

Hasilnya, wawasan ini dijadikan hala tuju negara pada tempoh 2021-2030 dengan strategi dan tindakan ekonomi yang lebih terperinci akan digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.

Cetusan Idea/Justifikasi WKB2030

Kenapa agaknya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ini diperkenalkan?

Garis panduan WKB adalah berdasarkan permasalahan-permasalahan berikut:

  1. Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lemah dan ketinggalan berbanding negara-negara Asia Timur
  2. Kebergantungan ekonomi Malaysia terhadap hasil eksport yang tidak mempunyai harga yang stabil
  3. Penguasaan teknologi yang lemah
  4. Penyertaan golongan Bumiputera yang rendah dalam pelbagai sektor maju
  5. Perubahan pola ekonomi dunia yang drastik
  6. Peratusan pengagihan pendapatan dari GDP negara yang rendah (35%) sedangkan negara maju lain pada kadar 45-55%
  7. Lebih 60% pekerjaan yang wujud sejak sedekad yang lalu menawarkan pendapatan bulanan RM2000 dan ke bawah
  8. Perbezaan pendapatan antara wilayah yang agak luas dengan 40% GDP tertumpu hanya di Kuala Lumpur
  9. Jurang ekonomi yang lebar antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak
  10. Pertambahan kes monopoli dan pencatutan dalam pelbagai sektor perusahaan
  11. Ekuiti korporat Bumiputera dilaporkan telah jatuh kepada 16.2%, sedangkan sasaran ekuiti ialah 30% ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Ekuiti asing pula telah meningkat kepada 45.3%.

Prinsip dan Matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama

  • Pembangunan dan kemakmuran untuk semua
  • Merapatkan jurang kekayaan
  • Pertumbuhan ekonomi melalui konsep “kesaksamaan keberhasilan”
  • Peralihan negara dari negara perindustrian ke negara berteknologi, digital dan data
  • Mengembalikan kepercayaan pelabur luar dan pasaran melalui nilai tinggi yang bakal dicapai oleh Malaysia secara kompetitif, intergriti dan bermaruah
  • Menjadikan Malaysia negara yang terus-menerus membangun
  • Menyediakan taraf hidup yang wajar bagi semua rakyat

Teras Strategik

Bagi memastikan WKB ini berjaya dicapai, terdapat 7 teras strategik yang telah digariskan, iaitu:

Penerokaan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Baharu – menjadikan Malaysia turut berdaya saing sebagai negara pengeluar selain negara pengguna

Strategi Transformasi Modal Insan – memberi fokus kepada kepada penyediaan sumber tenaga yang bersedia dengan sebarang perubahan arus ekonomi

Teras Strategik Pengukuhan Pasaran Buruh dan Peningkatan Pampasan Pekerja – bertujuan menilai semula dan memperkukuh polisi pekerjaan, kesatuan sekerja, gaji dan menangani diskriminasi gender, umur, etnik dan agama di tempat kerja bagi meningkat produktiviti dan mengurangkan penggunaan pekerja asing

Teras Strategik Kesejahteraan Sosial – menekankan persoalan kesejahteraan terutama kepada golongan B40, miskin tegar, rentan ekonomi, masyarakat terpinggir dan terpencil dan mereka dalam transisi ekonomi. Polisi kebajikan harus bertukar dari amalan dan penumpuan kepada pemberian tunai kepada program pembangunan dan latihan untuk mengeluarkan kelompok ini dari kemiskinan.

Teras Strategik Keterangkuman Wilayah – menekankan pembangunan titik panas ekonomi khususnya di luar Lembah Klang dan bandar-bandar ekonomi utama.

Teras Strategik Pembangunan Modal Sosial – memperkukuh jati diri, perpaduan, budaya tinggi, sivik dan patriotisme dalam kalangan rakyat.

Sasaran Warisan Kemakmuran Bersama

Imej via iLabur

Pelaksanaan WKB meliputi seluruh rakyat Malaysia tetapi terdapat beberapa kumpulan sasaran yang menjadi keutamaan bagi memastikan kumpulan ini tidak terus ketinggalan, iaitu:

  1. Kumpulan B40, miskin tegar dan rentan ekonomi
  2. Masyarakat dalam transisi ekonomi
  3. Masyarakat Orang Asli
  4. Bumiputera Sabah dan Sarawak
  5. Orang Kurang Upaya
  6. Belia
  7. Wanita
  8. Kanak-kanak
  9. Warga emas

Persoalan Utama dalam Pelaksanaan WKB

#1 Apa bezanya WKB dengan dasar-dasar terdahulu

WKB ini dilihat sebagai penjenamaan semula dasar-dasar terdahulu dengan agenda “Pertumbuhan dengan Pengagihan” (PDP), satu konsep yang diperkenalkan semasa Dasar Ekonomi Baru.

Selepas DEB, Malaysia sebenarnya beralih kepada konsep “Pertumbuhan Dahulu, Pengagihan Kemudian” (PDPK).

RMK-9 kembali kepada PDP, namun RMK-10 dan RMK-11 menggunakan PDPK.

Kini dengan WKB, kita kembali semula kepada PDP.

Setiap dasar ini dan rancangan ini perlu diteliti dengan lebih lanjut implikasinya terhadap pengagihan ekonomi.

#2 Adakah WKB mampu “menyelamatkan” ekonomi Malaysia?

Garis panduan dan teras strategi WKB diyakini mampu menjadikan Malaysia berdaya saing dengan ekonomi dunia.

Berdasarkan dasar-dasar terdahulu yang gagal mencapai objektif secara maksimal, adalah disebabkan kelemahan pelaksanaan. Retoriknya, bagaimana pula dengan pendekatan dan kekuatan pelaksanaan WKB ini?

#3 Mampukah WKB dicapai menjelang tahun 2030?

Terdapat beberapa perancangan WKB yang dianggap realistik untuk dicapai, tidak kurang juga yang sukar dicapai disebabkan impak yang besar melibatkan perubahan struktur ekonomi dan pengagihan.

Kesimpulan

Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan usaha kerajaan untuk membantu secara langsung dan tidak langsung membangunkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat ke peringkat lebih baik, dan perlu disambut dengan tangan dan minda yang terbuka.

Sistem dan trend antara perniagaan dan industri perlu menjalani penstrukturan semula untuk membolehkan adaptasi dengan perubahan ekonomii pada masa depan, selain meningkatkan penghasilan mereka. Hal ini menunjukkan kepentingan adaptasi dan cakna akan perubahan yang sebenarnya perlu disedari oleh ramai pihak.

Semoga wawasan ini berjaya dicapai demi kebajikan dan kemakmuran bersama.

Rujukan

  1. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/memahami-teras-dan-potensi-wawasan-kemakmuran-bersama-219305
  2. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30901?language=my
  3. https://www.pmo.gov.my/2019/10/ucapan-di-majlis-pelancaran-wawasan-kemakmuran-bersama-2030/
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.