Jom baca dan kenali sejarah penubuhan Tabung Haji dan konsepnya yang sangat bagus dalam merancang kewangan!

Pengenalan

Tabung Haji (TH) ialah sebuah badan berkanun di bawah kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963 yang menyediakan dan menguruskan kemudahan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji melalui simpanan wang dalam akaun Tabung Haji.

Pentadbiran TH ialah di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Dengan lebih 60 tahun pengalaman sebagai pengurusan perkhidmatan bagi simpanan wang, urusan mengerjakan haji dan pelaburan, TH telah dikenali ramai dan disegani sebagai institusi haji yang cekap di dunia.

TH di Mata Dunia

Komitmen TH yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan menjalankan pengurusan pelaburan telah mendapat pengiktirafan dunia apabila ditabalkan sebagai model pengurusan haji inovatif.

Sehingga kini, TH mempunyai lebih daripada 9 juta pemegang akaun atau pendeposit dengan 125 cawangan dan 10k ‘touch-points‘ di seluruh Malaysia.

Bagi melicinkan operasi di tanah suci, TH turut mempunyai sebuah ibu pejabat yang terletak di Jeddah, Arab Saudi, di bawah Konsulat Malaysia.

Sejarah Pengangkutan ke Tanah Suci

Pengangkutan dengan kapal laut untuk ke tanah suci. Imej via Youtube

Tahukah anda, sebelum tahun 1977, umat Islam di kebanyakan dunia, termasuklah di Malaysia, menggunakan kapal laut untuk menunaikan ibadah haji.

Perjalanannya mengambil masa 2 minggu untuk pergi dan 2 minggu untuk kembali.

Tambah menyedihkan, ada diceritakan, bagi penumpang yang sakit dan meninggal dunia, mereka akan dikebumikan di laut sahaja.

Sungguh kental semangat orang dulu demi menunaikan rukun Islam ke-5 ini!

Bermula tahun 1977, sistem penerbangan kapal terbang sudah mula berkembang dan menjadikannya pilihan utama untuk ke tanah suci.

Jarak perjalanan yang mengambil masa 2 minggu kini telah dipendekkan menjadi beberapa jam sahaja.

Namun, ada juga segelintir Jemaah yang sukakan pengembaraan memilih untuk backpacking atau bergerak sendiri melalui jalan darat ke Mekah, yang memerlukan perancangan berbulan-bulan lebih awal.

Pengurusan Kewangan Jemaah Haji Sebelum TH

Pengorbanan jemaah haji zaman dahulu. Imej via Youtube

Pada zaman 70an, setiap individu perlu memperuntukkan lebih kurang RM1000 untuk kos mengerjakan ibadah haji.

Dengan kadar matawang dan inflasi pada masa itu, kos ini dianggap tinggi sebagaimana sekarang.

Jadi, tidak ramai yang dapat mengerjakan ibadah haji ini kecuali mereka mempunyai simpanan wang yang mencukupi atau menggadaikan harta dan tanah masing-masing.

Perancangan selepas mengerjakan ibadah haji juga tidak dilakukan dengan rapi apabila ramai yang tidak mampu pulang ke Malaysia selepas tiba di sana dan memilih untuk menetap dan menunggu kematian di sana (majoriti yang pergi sudah berusia lanjut dan uzur).

Bank Konvensional untuk Ibadah Haji

Sebelum wujudnya TH, umat Islam hanya berharap kepada aset dan pemilikan harta benda sendiri untuk mengumpul wang ke tanah suci.

Mereka meragui institusi kewangan sedia ada yang mengamalkan konsep perbankan barat yang tidak patuh syariah.

Permasalahan bank sedia ada yang banyak mengamalkan konsep riba telah membataskan umat Islam untuk menabung dalam bank-bank tersebut kerana dikhuatiri menghalang mereka mendapat haji yang mabrur.

Cetusan Idea Tabung Haji

Imej Prof Diraja Ungku Aziz. Imej via Awani

Pemerhatian terhadap pengurusan kewangan umat Islam untuk mengerjakan haji ini telah menarik minat dan mencetuskan idea ahli akademik ketika itu khususnya, pakar ekonomi luar bandar dari Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Ahmad.

Beliau mencadangkan penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) yang akan berperanan sebagai badan yang menguruskan simpanan dan kewangan Jemaah haji secara patuh syariah, di samping memastikan kebajikan mereka terjaga untuk sebelum dan selepas mengerjakan haji.

Hal ini berikutan tindakan sesetengah para Jemaah yang menjual tanah dan harta benda yang disifatkan akan melemahkan lagi ekonomi penduduk luar bandar.

Beliau merangka kertas kerja cadangan ini pada tahun 1962 dan diserahkan kepada Rektor Universiti Al-Azhar pada waktu itu, Sheikh Mahmout al-Shaltout yang meluluskannya dan menggesa pelaksanaan idea ini dengan kadar yang segera.

Penubuhan TH

TH telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 1969 selepas melalui beberapa siri penambahbaikan.

TH telah menjadi pelopor dalam institusi kewangan Islam terutamanya dari segi perbankan Islam, khususnya bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji.

Kerajaan mempercayai kewibawaan TH sebagai agensi yang mengurus pelbagai kemudahan dan kebajikan Jemaah haji secara menyeluruh.

Pengurusan simpanan yang patuh syariah dilaksanakan, di samping aktiviti pelaburan yang bertujuan menambah dana pengurusan dan pembayaran hibah kepada pendeposit TH.

Direkodkan, TH menguruskan nilai deposit melebihi RM73 billion pada tahun 2017.

Pemilikan Aset TH

Pengurusan TH bukan hanya melibatkan pengurusan ibadah haji, tetapi turut menceburi bidang pelaburan di dalam dan luar negara.

Antara pemilikan aset TH adalah seperti berikut:

  • Bangunan-bangunan komersil di sekitar Lembah Klang.
    Bangunan ibu pejabat di Menara TH Tun Razak
  • Menara TH Platinum, Menara TH Selborn, Menara TH Uptown, Menara TH Perdana, Menara TH Plaza Sentral, Menara TH Damansara dan Menara Bank Islam.
  • Sektor perladangan di Indonesia, UK dan Australia
  • Pelaburan hartanah di UK, Australia dan Arab Saudi.

Penubuhan Yayasan Tabung Haji

Dari segi kebajikan dan khidmat sosial korporat, TH telah melancarkan Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2016 untuk menjalankan bantuan kemanusiaan dan menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan, orang miskin dan yang memerlukan.

Sehingga kini, sebanyak RM7 juta telah digunakan untuk tujuan ini.

Antara objektif utama YTH ini adalah

  • Untuk menyediakan bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa, meringankan penderitaan dan mengekalkan maruah manusia sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan semasa bencana alam, bencana buatan manusia, termasuk perang, kebuluran dengan menyediakan dana, derma, sumbangan kepada yang kurang berkemampuan, miskin dan memerlukan, seperti bantuan makanan, penjagaan kesihatan atau perlindungan dan penubuhan pusat kebajikan.
  • Untuk meningkatkan asas pendidikan dengan mengunjurkan pembiayaan, menguruskan dan memberi biasiswa kepada rakyat Malaysia.
  • Untuk menggalakkan dan menjalankan kajian dalam bidang Pendidikan Islam, Perbankan Islam, Perubatan dan lain-lain cabang Perundangan Syariah yang akan memberikan faedah kepada rakyat Malaysia dan masyarakat global.

Kesimpulan

Penubuhan TH merupakan idea yang bernas dalam merancang pengurusan kewangan yang lebih cekap dan menyeluruh. Pendekatan ini telah menguntungkan banyak pihak khususnya umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji melalui skim simpanan.

Semangat menabung ini perlu disemai sejak dari kecil lagi bagi memastikan impian kita sebagai umat Islam untuk menjejakkan kaki ke tanah suci tercapai.

Selain itu, sejarah penubuhan TH ini menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa kreatif dalam mencari jalan keluar sesuatu permasalahan sambil menjaga kebajikan bersama.

Rujukan

  1. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sejarah-penubuhan-lembaga-tabung-haji-dan-yayasan-tabung-haji-193174
  2. https://www.sejarah.my/sejarah-penubuhan-tabung-haji-di-malaysia/
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.