‘Jika takut dengan risiko perniagaan, sebaiknya tinggalkan sahaja’. Itulah yang sering diungkapkan oleh Robert Kuok sebagai peringatan kepada yang takut memulakan perniagaan.

Jika ada yang tidak mengenali siapakah Robert Kuok ini, beliau sebenarnya dikenali sebagai Raja Gula dan merupakan seorang usahawan yang berjaya di Malaysia. Beliau seorang yang bercita – cita tinggi, pendiam tetapi mudah didekati.

Keberaniannya telah menjadikan beliau seorang yang usahawan yang berjaya. Jom kita kenali biodata Robert Kuok dengan lebih terperinci.

Latar Belakang 

Robert Kuok Hock Nien telah dilahirkan pada 6 Oktober 1923 di Johor Bahru dan merupakan anak bongsu dari tiga adik – beradik. Kuok pernah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan dengan lapan orang anak.

Pada tahun 1955, Kuok telah menimang cahaya matanya yang pertama iaitu Kuok Khoon Ean dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari University of Nottingham, England. Beliau telah berkahwin dengan Chen Kuok Sui. Antara lain yang turut berjaya menjadi Pengerusi Kuok Brothers adalah Kuok Khoon Ho yang memegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, dari McGill University, Kanada.

Imej via asiaone

Jeffrey Ong Teng Buey yang merupakan anak keempat dari perkahwinan pertama pula adalah pemegang saham utama Hotel Shangri-La. Salah seorang anaknya, Kuok Khoon Ean pula menguruskan sebahagian besar daripada operasi Kumpulan Kerry setelah Robert Kuok bersara secara rasmi pada tahun 1993.

Sikap dan Jati Diri

Robert Kuok merupakan seorang yang agak pendiam, mudah didampingi, teliti serta memiliki impian dan cita – cita yang tinggi. Bertutur dengan begitu lemah lembut, sopan serta tertib membuatkan ramai yang menyenangi sikap beliau.

Setiap keputusan yang dilontarkan pastinya dipersetujui oleh orang di sekelilingnya. Beliau sangat berani mencuba terutamanya dalam bidang perniagaan. Memiliki tenaga pekerja yang jujur dan setia antara bonus di dalam perniagaannya.

Sikapnya yang sering bekerja keras untuk mencapai sesuatu membolehkan beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya dan terkenal di seluruh dunia. Baginya, tiada jalan singkat untuk memperoleh kejayaan dalam sesuatu bidang.

Kejayaan

Beliau merupakan anak kepada seorang pendatang dari wilayah Fujian, China iaitu Kuok Keng Kang. Bapanya telah membuka sebuah syarikat bernama Tong Seng & Company setelah mendapat lesen perniagaan dari Sultan Johor.

Syarikat ini menjalankan perniagaan pengedaran beras, tepung dan juga gula disamping perdagangan am serta barangan sejuk yang masyhur di Johor.

Kuok Keng Kang telah mendapat kontrak untuk membekal bahan mentah kepada 50,000 orang tahanan perang Jepun di Johor setelah perang tamat. Melalui perniagaan bapanya, Robert Kuok telah berpeluang belajar di sekolah aliran Cina dan juga Inggeris termasuk Raffles College sebelum berlakunya pencerobohan tentera Jepun.

Beliau pernah menjadi budak pejabat sebelum memulakan perniagaan. Selepas menamatkan pengajiannya, pada tahun 1942 hingga 1945 Kuok pernah bekerja di syarikat konglomerat Jepun iaitu Mitsubishi Dhoji Kaisha yang menjalankan perniagaan garam, gula serta beras. Kuok juga telah menjalinkan hubungan yang baik dengan pemimpin Melayu Johor seperti mana yang dilakukan oleh bapanya untuk memperluaskan perniagaan keluarganya.

Pada tahun 1949, Kuok bersama dua orang adik – beradiknya telah mengasaskan Kuok Brothers Sdn Bhd yang merupakan syarikat perdagangan komoditi pertanian. Semasa pasca-kolonial, Kuok telah memulakan perniagaan gulanya bersama kerajaan.

Imej via thextraordinary

Beliau juga telah membeli gula murah dari India sebelum harganya menaik pada tahun 1961. Malah, Kuok juga telah mula melabur di kilang gula dengan mengawal sebanyak 80% daripada pasaran gula di Malaysia. Hasilnya, sebanyak 1.5 juta tan metric bersamaan dengan 10% pengeluaran gula telah berjaya dihasilkan dan kejayaan ini telah memberi gelaran kepada beliau sebagai Raja Gula Asia.

Segalanya bermula selepas negara merdeka. Pada tahun 1958, syarikat yang diusahakan Kuok telah menjalin kerjasama iaitu antara Malaysia Sugar Manufacturing Company, Mitsui Bussan Kaisha Ltd dan Sugar Nissin Manufacturing. Kuok telah membina kilang gula pertama di Malaysia pada tahun 1964 yang dikenali sebagai Malayan Sugar Manufacturing. Syarikat ini juga telah mendapat kuasa monopoli di Malaysia.

Selain itu, ladang tebu pertama juga telah dibuka di Perlis dengan bantuan FELDA dan ianya dilakukan di tanah milik kerajaan.

Ladang tebu ini telah diperluaskan ke Indonesia pada tahun 1970. Hal ini telah menjadikannya salah seorang pedagang utama gula di dunia. Kuok juga telah mendapat bantuan dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Amanah Saham Nasional dalam urusannya di Indonesia yang membolehkan hubungan peringkat tertinggi dengan kerajaan Indonesia dikekalkan.

Melalui kerjasama dagangan ini juga, pihak kerajaan turut meminta Kuok membantu menubuhkan Malaysia-Singapore Airlines (MSA) pada hujung tahun 1960an dan juga syarikat perkapalan negara iaitu Malaysia Shipping Line Corporation (MISC) pada tahun 1968. Selain itu juga, Kuok turut terbabit semasa penubuhan Perbadanan Nasional Bhd dan juga Bank Bumiputra Bhd. Ini bagi menarik penyertaan dari orang Melayu untuk turut terlibat dalam bidang ekonomi.

Hotel Shangri-La pertama telah ditubuhkan di Singapura iaitu pada tahun 1971 di mana beliau telah mula membina empayar Shangri-La. Pada tahun 1977 pula, Kuok telah memasuki pasaran Hong Kong dengan mengambil alih sebidang tanah yang baru di tambak iaitu di kawasan pantai Tsim Sha Tsui East.

Imej via denaihati

Beliau telah membina hotel kedua di sini yang dikenali sebagai Kowloon Shangri-La. Setelah berjaya di Hong Kong, Kuok mula melabur di tanah besar China pula. Ia mula melibatkan diri dalam bidang hotel, hartanah, komoditi, dagangan, khidmat gudang dan juga Coca Cola.

Keberanian Kuok dalam perniagaan membolehkan beliau menjalinkan hubungan baik di peringkat antarabangsa dengan negara luar seperti Indonesia, China dan Filipina. Malah, Kuok turut mempunyai hubungan baik dengan ahli perniagaan Cina Asia seperti Oei Hong Leong, Tan Sri Khoo Kay Peng, Lim Sioe Liong, Run Run Shaw, Datuk Tan Chin Nam, Li Ka Shing, TT Tsui, Roberto Ongpin dan Chatri Sophonpanich yang juga dikenali sebagai Rangkaian Bamboo.

Kuok pada tahun 1974 telah memindahkan operasi syarikatnya dari Malaysia dan Singapura ke Hong Kong kerana cukai. Sebuah syarikat bernama Kerry Trading Company telah ditubuhkan di Hong Kong oleh Kuok. Kerry Trading Company terbabit dalam bidang media dan juga hartanah.

Syarikat ini telah menguasai hingga 10 syarikat terbitan awam Hong Kong termasuk South China Morning Post (SCMP), serta Rupert Murdoch yang merupakan akhbar berbahasa Inggeris yang popular. Malah, syarikat  ini juga mempunyai kepentingan dalam The Bangkok Post.

Pada tahun 1993 pula, Kuok telah mengambil alih kepentingan dalam South China Morning Post sebanyak 34.9% daripada News Corporation Murdoch melalui Kumpulan Kerry.

Kuok juga telah mengambil alih TVE Holdings pada tahun 1996 melalui SCMP dengan harga RM 570 juta. TVE Holdings terlibat dengan bidang peruncitan, hartanah, hiburan serta penerbitan.

Robert Kuok juga merupakan ahli perniagaan Asia yang pertama membina rangkaian hotel lima bintang iaitu Shangri-La.

Senarai Produk Keluaran Syarikat Milik Robert Kuok

  • CSR  – Gula
  • Wilmar International –  Minyak Sawit
  • Seri Murni – Minyak Masak berasaskan sawit
  • FFM Berhad – Makanan Haiwan
  • Cap Sauh – Tepung gandum
  • Marina – Makanan dalam tin
  • Massimo – Roti
  • Shangri-La – Hotel
  • Golden Screen Cinema – Panggung Wayang
  • Hexagon – Carigali Minyak
  • MBC – Kargo Laut
  • Transmile – Kargo Udara

Kesimpulan

Biarpun digelar sebagai Raja Gula, namun Tan Sri Robert Kuok merasakan gelaran itu tidak sesuai dan tidak tepat baginya. Beliau lebih selesa jika dikenali sebagai Raja Hotel kerana memiliki rangkaian perhotelan yang begitu besar di seluruh dunia.

Beliau sangat berani menceburi bidang perniagaan biarpun memahami risiko yang bakal dihadapinya dan ternyata ianya membuahkan hasil kejayaan kepada semangat gigihnya. Robert Kuok juga pernah dinobatkan sebagai antara orang paling kaya di Malaysia pada tahun 2012 dengan jumlah kekayaan sebanyak $ 147 bilion dan kedua terkaya di Asia Tenggara.

Kini, rangkaian perniagaannya diuruskan oleh ahli keluarganya pula.

Jemput juga baca biodata Larry Page dan biodata Charlie Lee

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.