Jom ketahui biodata pengasas Google.

Larry Page, pengasas salah sebuah syarikat teknologi paling terkenal di dunia, Alphabet Inc. (GOOGL, GOOG), yang dahulunya dikenali sebagai “Google”, merupakan salah seorang daripada individu terkaya di dunia, yang mana kekayaan beliau dianggarkan sebanyak $66 bilion pada tahun 2020.

Kekayaan beliau ini terhasil melalui kesungguhan, penemuan dan penggunaan bakat beliau untuk memberi manfaat kepada orang lain. Artikel kali ini akan menceritakan sedikit sebanyak tentang perjalanan beliau mencipta kejayaan dan juga kekayaan beliau.

Tahun 1990-an

Masa depan Page bermula ketika beliau berada di Universiti Stanford, tempat di mana beliau bertemu dengan Sergey Brin. Pada waktu itu, rangkaian (web) baru berusia lima tahun. Page bekerjasama dengan Sergey untuk melakukan kajian (dissertation) tentang bagaimana laman web dihubungkan bersama. Mereka berdua kemudiannya mencipta “PageRank”, yang menyenaraikan laman web berdasarkan kepada jumlah pautan halaman mereka.

Hasil ciptaan mereka berdua ini akhirnya menjadi enjin carian (search engine), yang mereka gelar sebagai Google yang diambil daripada istilah matematik, “googol”, yang mewakili jumlah data yang tidak berpenghujung di dalam web. Versi pertama Google berkisar sekitar laman web Stanford pada tahun 1996, dan kemudian ia mula tersebar dari sana.

Pada tahun 1998, Page dan Sergey melancarkan Google Inc. di dalam sebuah garaj rakan mereka di Menlo Park, California dan setahun selepas itu, mereka berpindah ke Mountain View, California, di mana mereka berdua bekerja di beberapa buah bangunan yang dipanggil Googleplex. Dalam tempoh lima tahun pertama syarikat tersebut, Google telah menjadi salah sebuah syarikat yang paling pesat berkembang dengan hampir lebih daripada 18 juta carian dilakukan dalam tempoh sehari. Tambahan lagi, syarikat tersebut telah dipaparkan di dalam USA Today dan telah disenaraikan di dalam PC Magazines sebagai salah satu “Top 100 Web Sites and Search Engines” untuk tahun 1998.

Imej via CNBC.com

Tahun 2000-an

Page bermula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk syarikat beliau, namun kemudian beralih kepada jawatan presiden produk pada tahun 2001, sebelum beliau kembali memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2011. Menjelang tahun 2000 juga, Google telah menjadi enjin carian internet paling teratas, walau bagaimanapun, syarikat tersebut memerlukan Eric Schmidt untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2001 untuk memperoleh keuntungan.

Dalam tempoh 10 tahun berikutnya, syarikat tersebut telah menghasilkan emel, terjemahan, pengiklanan, pencarian akademik dan perkhidmatan peta serta banyak lagi perkhidmatan-perkhidmatan lain. Pada tahun 2002, syarikat Google menandatangani perjanjian dengan AOL yang membantu syarikat tersebut menguasai internet. Pada tahun 2005 pula, Google memperkenalkan satu sistem operasi yang terkenal untuk telefon bimbit yang dinamakan Android. Seterusnya, pada tahun 2006, syarikat tersebut membeli laman web hiburan video, YouTube, dengan harga sebanyak $1.65 bilion.

Menjelang tahun 2010, Google telah tersedia dalam 130 jenis bahasa dengan 20,000 orang pekerja, dan memiliki pejabat-pejabat di seluruh dunia. Pada tahun-tahun berikutnya, Page membawa Google ke dalam industri maya dengan melancarkan kereta pandu sendiri Google (Google self-driving cars), automasi rumah pintar (smart-home automation) melalui Nest Labs, Google Glass dan beberapa siri pelaburan yang bijak yang mana termasuk ladang angin untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Sehingga ke hari ini, Page masih mengutamakan manfaat berbanding keuntungan dan potensi jangka panjang berbanding keuntungan segera. Beliau telah melancarkan Chromebook pada tahun 2012. Pada tahun 2013, Page melancarkan sebuah syarikat Google yang dipanggil Calico, yang menggunakan bioteknologi untuk meningkatkan kesihatan manusia. Pada tahun 2014 pula, beliau menghasilkan Google X, yang kini dikenali sebagai X, yang berfungsi dalam kenderaan terbang dan merupakan sebuah rangkaian belon (network of balloon) yang akan menyediakan rangkaian internet kepada mereka yang tidak dapat mencapainya.

Projek ini dikenali sebagai “Project Loon”, dan selepas kejadian Taufan Maria pada 20 September 2017, Google berada di kedudukan pertama dalam penggunaan WIFI udara (airborne WIFI). Pada tarikh 20 Oktober 2017, Google berjaya menyediakan capaian internet percuma ke Puerto Rico.

Page juga mempunyai syarikat-syarikat yang beliau biayai sendiri. Salah sebuah syarikat yang dibiayai sendiri oleh Page, iaitu Kitty Hawk, sebuah syarikat pengeluar pesawat udara bagi kenderaan udara peribadi. Syarikat ini bermula dengan prototaip yang mempunyai harapan cerah, namun telah menghadapi masalah berkenaan dengan keselamatan dan isu-isu teknikal. Akhirnya, Kitty Hawk dan Boening mewujudkan satu usaha sama yang dikenali sebagai Wisk Aero pada Disember 2019. Matlamat usaha sama tersebut adalah untuk meneruskan program “Cora” yang dimulakan oleh Kitty Hawk. Program tersebut adalah untuk melancarkan teksi terbang sendiri (self-flying taxi).

Kesimpulan

Larry Page yang telah menjadi jutawan pada usia beliau 35 tahun telah menyatakan 10 peraturan untuk berjaya. Salah satu daripadanya adalah kepentingan memberi tumpuan kepada pengguna. Moto beliau, “Don’t Be Evil”, menunjukkan tujuan beliau adalah untuk menyelidik, bukan untuk menjual.

Selain daripada itu, beliau juga menyatakan keperluan memberi tumpuan yang baik dalam melakukan sesuatu perkara yang anda amat baik apabila melakukannya. Dalam kes beliau, beliau memberi tumpuan yang baik dalam mencipta satu enjin carian yang pantas, bijak dan tepat. Satu perkara yang beliau laksanakan dengan sangat baik.

Di samping itu juga, anda perlu sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan perkhidmatan atau produk anda dan perlu menetapkan matlamat yang tinggi, walaupun matlamat tersebut kadang-kadang tidak mampu untuk dicapai. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh cepat merasa selesa atau puas. Sebagai contoh, beliau sendiri tidak merasa selesa walaupun syarikat beliau, Google telah menjana pendapatan yang besar. Beliau sentiasa mencuba dan mencipta sesuatu yang baru untuk menambah baik produk beliau.

Selain itu juga, anda harus sanggup berkorban untuk mencapai kejayaan. Sebagai contoh, beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk membolehkan Google mengaut keuntungan. Beliau juga menyatakan, anda perlu melatih diri anda untuk bermotivasi diri dan melakukan perkara dengan cara sendiri. Dalam wawancara bersama Barbara Walters pada tahun 2004, Page mengiktiraf kejayaan beliau kepada pendidikan beliau di Montessori, yang telah melatih beliau untuk bermotivasi diri dan melakukan setiap perkara dengan cara sendiri. Akhir sekali, Page menyatakan bahawa matlamat utama beliau adalah untuk berbuat baik, bukannya mencipta kekayaan semata-mata.

Harap anda menyukai artikel tentang biodata pengasas Google ini. Jemput juga baca tentang biodata Yusuf Taiyoob dan biodata Elon Musk

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.