Apabila berbicara tentang kejayaan seseorang usahawan ataupun ahli perniagaan, mungkin anda akan merasakan bahawa anda perlu menjadi seseorang atau datang daripada satu kelompok yang hebat untuk berjaya. Pada hakikatnya, anda tidak perlu datang daripada latar belakang yang istimewa atau hebat untuk berjaya. Inilah yang dikatakan keindahan kapitalisme.

Anda pastinya terkejut apabila mengetahui sebahagian besar lelaki atau wanita dalam sejarah perniagaan dunia bermula dengan sangat kecil. Namun begitu, ketua-ketua industri perniagaan ini mempunyai visi, semangat dan tekad untuk berjaya.

Dalam banyak perkara, mereka ini mengatasi beberapa cabaran sehingga mereka menemui jalan menuju kejayaan. Justeru, artikel ini ingin membawa anda mengenali enam usahawan yang memulakan kejayaan mereka dengan jumlah wang yang kecil.

Steve Jobs

Steve Jobs yang merupakan pencipta iPhone, iPod dan iPad memulakan syarikat teknologi terbesar di dunia di dalam garaj ibu bapa beliau. Steve Jobs memulakan Apple Computers pada tahun 1976 bersama-sama dengan rakan beliau, Steve Wolzniak. Kedua-dua individu ini tidak mempunyai modal teroka yang banyak seperti yang dimiliki oleh kebanyakan usahawan pada hari ini.

Namun demikian, Steve Jobs mempunyai visi dan idea inovatif yang membantu untuk membawa Apple ke barisan hadapan dalam industri komputer. Beliau telah menjadi perancang dan tulang belakang kepada Apple untuk tempoh bertahun-tahun dan syarikat tersebut telah mengalami kejatuhan selepas beliau meninggalkannya pada lewat 90-an. Sejurus dengan kembalinya beliau ke syarikat tersebut, beliau telah menaikkan semula Apple, dan pada hari ini, syarikat tersebut telah mempunyai modal pasaran sebesar $320 bilion.

Henry Ford

Henry Ford merupakan seorang individu yang mempunyai idea-idea hebat, namun hanya mempunyai kemampuan kewangan yang amat sedikit. Namun demikian, beliau tidak menjadikan kekurangan beliau dalam sumber kewangan sebagai penghalang untuk beliau mengecapi impian beliau.

Oleh itu, beliau memulakan Ford Motor Company dengan modal hanya sebanyak $28,000, dan modal tersebut bukanlah simpanan beliau. Modal tersebut merupakan wang yang beliau pinjam daripada pelbagai pelabur. Ford telah memanfaatkan dana modal tersebut dengan baik. Selain itu, beliau menggunakan bakat beliau untuk Ford Motor Company dan hasilnya beliau menjadi individu pertama yang menghasilkan kereta dalam jumlah yang banyak. Pada hari ini, Ford Motor Company merupakan sebuah syarikat yang bernilai $56 bilion dengan pendapatan tahunan sebanyak $128 bilion.

Bill Hewlett Dan Dave Packard

Hewlett-Packard merupakan pemula kepada semua permulaan. Kedua-dua pengasas bersama ini, Bill Hewlett dan Dave Packard memulakan industri terbesar, HP, dengan jumlah aset sebanyak $538. Jumlah pelaburan $538 ini adalah termasuk wang tunai dan sebuah gerudi tekan yang lama. Kedua-dua rakan kongsi ini tidak menyangka bahawa penciptaan satu alat “oscillator” audio di dalam sebuah garaj kecil akan menjadi permulaan kepada sebuah syarikat industri komputer yang bernilai jutaan dollar. Hewlett-Packard mempunyai modal pasaran sebanyak $88 bilion. Pada tahun lepas sahaja, syarikat tersebut telah menghasilkan $126 bilion melalui jualan. Jumlah ini boleh dikatakan sangat menakjubkan jika diimbas kembali dengan modal permulaan mereka iaitu $538.

Sam Walton

Pada hari ini, mungkin semua orang sudah mengenali Walmart. Namun demikian, Walmart tidak begitu dikenali ketika Sam Walton, pengasas Walmart, membuka kedai pertama beliau pada tahun 1962.

Sam Walton mendapatkan permulaan pertama beliau dengan membuka kedai serbaneka pertama beliau pada tahun 1945, yang mana beliau membuka kedai tersebut dengan hanya bermodalkan sebanyak $25,000. Tambahan lagi, dalam jumlah modal tersebut, hanya $5,000 merupakan wang Walton, manakala selebihnya merupakan wang hasil pinjaman daripada bapa mertua beliau.

Namun demikian, $20,000 itu ternyata merupakan pelaburan yang besar buat bapa mertua beliau. Ini kerana, Walton telah berjaya meraih kejayaan dalam peruncitan dengan cepat. Kebijaksanaan beliau dalam jualan runcit dan strategi kos rendah telah membuatkan kedai beliau terkenal kepada para pengguna di mana-mana sahaja. Di bawah pimpinan Walton, Walmart telah berkembang menjadi salah sebuah kedai runcit yang paling popular di Amerika Syarikat. Selain daripada itu juga, Walton juga pernah memegang gelaran lelaki paling kaya di Amerika Syarikat pada satu masa.

Imej via iLabur

John Paul DeJoria

John Paul DeJoria mula meningkat atau membangun daripada tahap yang paling rendah untuk menjadi salah seorang individu terkaya di dunia. Beliau pernah bekerja sebagai seorang penghantar surat khabar pada ketika beliau masih sangat muda, iaitu pada waktu usia beliau masih lagi sembilan tahun. Beliau juga pernah mengambil pekerjaan sebagai tukang kebun dan pemandu trak tunda untuk menampung keperluan kehidupan.

Bermula dengan satu keputusan bijak beliau untuk pergi kepada perniagaan Paul Mitchell ketika beliau bekerja untuk sebuah syarikat penjagaan rambut, beliau dan Mitchell telah membuat satu pinjaman yang kecil iaitu $700, dan telah mengubah syarikat tersebut menjadi sebuah konglomerat penjagaan rambut yang menghasilkan jualan sebanyak hampir $1 bilion secara tahunan.

Pada hari ini, DeJoria juga memiliki Patron Tequila, yang mana syarikat tersebut telah menjual lebih daripada 2 juta produk setahun. Dengan satu keputusan yang bijak, beliau telah berjaya keluar daripada lembah gelandangan untuk mengumpulkan aset bersih bernilai $4 bilion.

Kevin Plank

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Under Armor ini menjadi sangat terkenal apabila pesanan-pesanan untuk pakaian-pakaian atletik lembut beliau mula meningkat. Namun begitu, untuk sampai ke tahap sekarang, laluan Plank juga bukannya mudah. Plank memulakan perjalanan keusahawanan beliau dengan modal tunai hanya sebanyak $20,000 dan hutang kad kredit sebanyak $40,000, bagi melancarkan syarikat pakaian sukan beliau.

Plank pernah mengalami saat sukar sehinggakan beliau perlu menumpang rumah ibu beliau untuk mendapatkan makanan. Namun begitu, dengan keazaman dan kerja keras beliau, beliau akhirnya berjaya mewujudkan satu pasaran pakaian sukan untuk Under Armor. Pada hari ini, Kevin Plank mempunyai aset yang mempunyai nilai bersih lebih kurang $500 juta.

Kesimpulan

Kisah-kisah kejayaan dan perjalanan para usahawan di atas ini menuju ke puncak kejayaan yang gilang-gemilang ini menunjukkan bahawa tidak semua yang berjaya pada hari ini datang daripada latar belakang yang hebat-hebat. Kebanyakan di antara mereka bermula daripada tahap yang sangat rendah.

Namun keazaman, visi dan kerja keras mereka telah membawa untuk berada di tempat mereka berada pada hari ini. Diharapkan kisah-kisah mereka ini dapat memberi inspirasi kepada anda dan kepada sesiapa yang berani untuk berusaha untuk membina kejayaan walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang besar.

Jemput juga baca kisah jutawan Malaysia dan kisah usahawan beras Faiza

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.