Tiada yang menyangka, Malaysia memiliki ratu skuasy wanita yang sering mengharumkan negara di peringkat antarabangsa. Beliau bukan sahaja cemerlang dalam sukan skuasy, malah juga cemerlang dalam akademik. Jom kita baca biodata Datuk Nicol Ann David dan selami kejayaan beliau.

Latar Belakang

Datuk Nicol Ann David telah dilahirkan pada tanggal 26 Ogos 1983 dan lahir di Pulau Pinang. Merupakan anak pasangan kacukan India dan Cina, bapanya Desmod David (India) dan ibunya Ann Marie David (Cina) serta beragama Kristiain.

Bapanya bekerja sebagai seorang jurutera dan pernah menjadi pemain bola sepak negeri dan juga olahragawan manakala ibunya pula merupakan seorang pesara guru. Beliau memiliki dua orang adik beradik yang dikenali sebagai Lianne dan Cheryl. Mereka juga turut aktif dan cemerlang dalam sukan skuasy di peringkat kebangsaan.

Imej via rojakdaily

Nicol sememangnya menyerlah sejak di bangku sekolah lagi. Beliau cemerlang di dalam akademik terutamanya subjek matematik dan juga cemerlang dalam sukan. Melihat kerjaya bapanya sebagai seorang jurutera, Nicol turut mempunyai cita – cita untuk menjadi seperti bapanya.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Green Lan dan kemudiannya melanjutkan persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsann Convent Lane di Green Lane, Pulau Pinang.

Sejak usianya 5 tahun, Nicol telah mula menunjukkan minat terhadap permainan skuasy. Beliau mula berlatih bermain skuasy apabila umurnya 8 tahun dan telah mula menyertai pertandingan skuasy.

Anugerah dan Penghormatan

Kejayaannya dalam sukan skuasy telah mengharumkan nama negara. Justeru, beliau telah diberi penghormatan dengan beberapa anugerah sehingga membawa gelaran Datuk.

Semasa Sukan Olimpik Athens 2004, Nicol telah diberi penghormatan membawa obor Olimpik sebagai wakil Malaysia. Malah, beliau juga turut dilantik menjadi Duta Muhibah Kebangsaan Malaysia oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu.

Atas kejayaan yang ditonjolkan dalam sukan skuasy, Nicol telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Sarjana Kesenian Honoris Causa dari Universiti Nottingham. Malah, beliau juga telah menerima anugerah Pemain Terbaik WISPA sebanyak enam kali berturut dari tahun 2005 hingga 2010.

Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah mengurniakan Darjah Bakti (D.B) kepada Nicol pada tanggal 7 Jun 2008 sempena sambutan Hari Keputeraan. Anugerah ini hanya terhad kepada 10 orang penerima sahaja yang telah membuat sumbangan besar terhadap bidang kesenian, sains dan juga kemanusiaan. Malah, Nicol juga merupakan penerima pertama anugerah ini yang diasaskan pada 26 Jun 1975.

Nicol telah dianugerahkan dengan gelaran Dato semasa menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN). Ia dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas ke-70 pada 12 Julai 2008. Nicol antara salah seorang daripada 479 penerima dan beliau merupakan tokoh termuda dikurniakan gelaran Dato.

Pada 19 September 2012, Nicol telah menerima anugerah Tauliah Pegawai Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) dan menyandang pangkat Mejar (Kehormat) PSSTUDM. Majlis Pemakaian Pangkat tersebut telah disempurnakan oleh YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM, Panglima Tentera Udara di Eagle Nest, Markas Tentera Udara.

Imej via rojakdaily

Nicol juga telah dianugerahkan dengan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk pada 9 September 2017. Anugerah ini disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V. Universiti Sains Malaysia (USM) turut menganugerahkan Nicol dengan Ijazah Doktor Kehormat Sains Sukan pada tahun 2019.

Nicol mendapat bimbingan jurulatih Ee Phoeh Hoon semasa berlatih di Pusat Skuasy Bukit Dambar ketika berusia 8 tahun. Pada tahun 1992, seawal usia 11 tahun, Nicol telah menyertai pertandingan skuasy bagi kategori bawah-14 di Kejohanan Junior Pulau Pinang dan berjaya merangkul pingat perak.

Pada tahun yang sama, Nicol telah memenangi pingat perak bagi kategori bawah-16 di Kejohanan Antara Negeri Junior Kebangsaan Milo-Dunlop Sport. Nicol juga telah mendapat pingat emas semasa menyertai pertandingan di temasya Sukan Malaysia pada tahun 1994.

Pengalaman dan Kerjaya

1992 – Memenangi pingat perak bagi kategori bawah-14 Kejohanan Junior Pulau Pinang ketika berusia 11 tahun. Beliau juga telah memenangi pingat perak bawah kategori-16   semasa Kejohanan Antara Negeri Junior Kebangsaan Milo-Dunlop Sport.

1994 –  Memenangi pingat emas semasa temasya Sukan Malaysia. Beliau juga turut mendapat gelarang peringkat antarabangsa buat pertama kalinya di Hong Kong bagi    kategori bawah-13 dan juga Terbuka Junior Scotland Bawah-12.

1998 –  Menjuarai pertandingan peringkat junior dan senior Asia di Sukan Asia.

1999 –  Menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Sedunia Wanita di Antwerp, Belgium malah,  beliau merupakan pemain perempuan termuda yang menjadi juara dunia pada usia 15 tahun dan berjaya mempertahankan gelaran tersebut sehingga tahun 2001.

2000 –  Menyertai WISPA, memenangi kejuaraan WISPA sulung dan menjadi professional di bawah lembaga skuasy tersebut.

2001 –  Menandatangani perjanjian untuk tempoh dua tahun bersama syarikat reket Head dan Mulpha Sports.

2002 –  Nicol telah berjaya menjuarai pertandingan Terbuka Kuala Lumpur yang merupakan kejayaan kali kedua. Bagi Sukan Komanwel 2002, Nicol bersama Ong Beng Hee telah memenangi pingat perak bagi acara beregu campuran. Nicol gagal mempertahankan pingat emas semasa Sukan Asia 2020 di Busan, Korea setelah kecundang kepada pemain Hong Kong.

2003 –  Nicol kurang menyerlah pada tahun 2003 dan telah gagal sebanyak dua kali semasa berlawan di negara sendiri. Nicol juga tewas semasa pertandingan Terbuka Dunia di Hong Kong, Terbuka AS Carol Weymuller, Terbuka British, Terbuka Texas dan Terbuka Qatar Classic.

2004 –  Pada tahun ini, Nicol masih tiada sebarang kejuaraan, tetapi telah berjaya memasuki pusingan akhir pertandingan Terbuka Kuala Lumpur dan Terbuka Malaysia. Nicol berjaya memasuki pusingan akhir bagi Kejohanan WISPA WorldStars di Shanghai dan pusingan separuh akhir bagi pertandingan Terbuka Dunia.

2005 –  Memenangi pingat emas di pertandingan Terbuka Dunia di Jerman dan merupakan juara termuda dunia pada usia 21 tahun. Beliau telah memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB. Malah, menjadi pemain termpatan pertama yang menjuarai.

Beliau turut menjuarai Skuasy Terbuka British dan merupakan wanita Asia pertama yang memenangi pertandingan tersebut. Beliau juga telah diundi oleh ahli WISPA sebagai Pemain Terbaik WISPA 2005.

2006 –  Seawal usia 23 tahun, Nicol telah dinobatkan sebagai pemain skuasy nombor 1 dunia dan sekaligus merupakan wanita Asia pertama yang berada di tangga 1 dunia. Beliau antara orang ke-12 yang memegang gelaran ini sejak tahun 1983.

Pada tahun 2006 juga, Nicol telah mengalami kekalahan dan telah menyebabkannya jatuh ke tangga kedua dalam ranking dunia. Walau bagaimana pun, beliau telah bangkit semula dengan memenangi enam kejuaraan serta merampas kembali kedudukan nombor 1 dunia.

Beliau menjadi juara di pertandingan Terbuka Dunia di Belfast, pertandingan Terbuka Qatar Airways Challenge, Kejohanan Terbuka British Dunlop, Terbuka Hong Kong, Terbuka Pulau Pinang dan Terbuka Malaysia CIMB. beliau turut diundi WISPA sebagai pemain wanita terbaik buat kali kedua.

2007 –  Nicol berjaya memenangi enam kejuaraan sebelum kalah dengan Rachael Grinham dari Australia di perlawanan akhir Terbuka British. Beliau telah dianugerahi dengan anugerah Olahragawati Terbaik Asia setelah berjaya mengalahkan lebih 100 pesaing yang mewakili 25 lembaga kesukanan.

2008 –  Nicol telah memenangai sebanyak sepuluh kejuaraan semasa Jelajah Dunia WISPA tanpa gagal. Beliau juga mempertahankan kejuaraanya semasa pertandingan Terbuka Hong Kong Cathay Pacific buat kali ketiga berturut-turut.

Nicol juga berjaya mengekalkan kedudukan sebagai jaguh nombor satu dunia dalam Ranking Skuasy Dunia Wanita Disember. Kejayaan WISPA Nicol bermula dengan pertandingan Terbuka Apawamis di New York, Terbuka KL di Malaysia, Terbuka British di England, Terbuka Seoul di Korea Selatan, Terbuka Malaysia, Masters Singapura, Terbuka  Belanda, Terbuka Dunia di England, Qatar Classic dan Terbuka Hong Kong.

Nicol juga berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Asia dwitahunan yang kelima berturut-turut, kemudian menerajui pasukan Malaysia untuk menggondol pingat gangsa di Kejohanan Pasukan Dunia Wanita di Kaherah.

2009 –  Nicol telah kalah semasa pertandingan Terbuka Kuala Lumpur tetapi telah bangkit semula dan menjuarai pertandingan Terbuka Kejuaraan Cayman. Beliau turut menjuarai pertandingan Terbuka Texas, Terbuka Bandaraya Seoul serta berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Dunia.

Beliau juga berjaya memenangi pertandingan Terbuka Malaysia dengan mengalahkan pemain dari London. Nicol juga menjadi jaguh pertama yang memenangi lima kejuaraan Terbuka Malaysia berturut-turut sejak pertandingan ini diperkenalkan pada tahun 1975.

Beliau telah memenangi pertandingan Singapore Masters dan telah berjaya mengekalkan ranking nombor satu dunia dalam Ranking Dunia Wanita September. Pada bulan September, Nicol telah kalah semasa pertandingan Terbuka British dan telah bangkit semula di perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Dunia. Walau bagaimana pun, di akhir tahun Nicol telah kembali hambar dan kalah semasa pusingan separuh akhir Qatar Classic dan Terbuka AS.

2010 –  Nicol memulakan tahun 2010 di tangga teratas ranking buat bulan ke-42 berturut-turut. Pertandingan pertama merupakan Terbuka Chennai yang bernilai AS$53,000 dan telah menjuarainya.

Semasa pertandingan Terbuka Kuala Lumpur, Nicol telah sekali lagi memenangi pertandingan dan mendapat kejuaraan WISPA kedua pada tahun tersebut. Ia merupakan kejuaraan Nicol yang keenam di Terbuka Kuala Lumpur selepas dimenanginya pada tahun 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

Nicol telah  menjuarai gelaran Terbuka Dunia dan ia merupakan kemenangan yang kelima buat Nicol. Beliau telah memenangi perlawanan akhir perseorangan wanita Sukan Komanwel di Delhi, dan menjuarai kejohanan Terbuka Mexico WISPA yang julung kali diadakan di Toluca.

Nicol telah melanjutkan rekod kecemerlangannya kepada 50 kejuaraan Jelajah Dunia WISPA keseluruhannya dengan menjuarai Qatar Classic buat kali keempat sekaligus mencatatkan rekod tanpa kalah dengan memiliki koleksi 12 kejuaraan WISPA sepanjang tahun 2010. Beliau kemudiannya telah memenangi pingat emas acara skuasy perseorangan wanita Sukan Asia di Guangzhou, China.

Beliau juga turut membantu pasukan skuasy wanita Malaysia mendapatkan pingat emas dalam acara skuasy berpasukan wanita dengan menumpaskan pasukan Hong Kong juga.

2011 –  Nicol telah dikalahkan oleh pemain dari England semasa Cleveland Classic di Amerika Syarikat. Beliau telah mengetuai pasukan Malaysia ke Piala Dunia WSF di Chennai, India, dan telah direhatkan pada separuh akhir untuk memberi peluang kepada Low Wee Wern mengambil alih tempatnya, namun pasukan Malaysia kalah kepada pasukan England.

Walau bagaimana pun, Nicol tetap memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2010 buat kali kelapan pada 16 Mac 2011. Tuah telah kembali menyebelahi Nicol apabila beliau menjuarai pertandingan Terbuka Kuala Lumpur buat kali ketujuh dengan mengalahkan pemain dari Ireland.

2015 –  Nicol masih mengekalkan kedudukan sebagai juara selama 106 bulan, sekali gus menjadi pemegang juara paling lama bagi sukan skuasy.

Datuk Nicol David telah mengumumkan bahawa beliau akan bersara secara rasminya pada akhir musim 2018 / 2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Kesimpulan

Kesungguhan serta minat yang mendalam sejak dari kecil lagi telah membuahkan kejayaan kepada Datuk Nicol David Ann. Beliau sering menjuarai setiap pertandingan skuasy di peringkat antarabangsa. Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita asia pertama yang sering digeruni oleh pihak lawan.

Pembawaan diri yang unik, berdisiplin serta professional antara sikap yang membawa kejayaan kepada beliau. Biarpun sering menjuarai pertandingan skuasy, namun Datuk Nicol David Ann tidak pernah berasa bangga dengan pencapaiannya.

Jemput baca biodata Rozita Ibrahim dan biodata Tengku Noor Zakiah

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.