Kalau pergi ke Kota Bharu, memang tak sah kalau tak berkunjung ke Pasar Besar Siti Khatijah yang menempatkan jualan pelbagai barangan basah dan kering, dan rata-rata peniaganya adalah wanita!

Budaya berniaga dalam kalangan wanita Kelantan bukanlah satu perkara yang pelik, malah merupakan satu budaya keusahawanan yang unik dan wajar dicontohi.

Ayuh teruskan bacaan artikel ini untuk mendalami budaya keusahawanan ini dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Keusahawanan didefinisikan sebagai proses mengenal pasti peluang dalam pasaran, menyusun sumber-sumber untuk mencapai objektif dan tindakan, seterusnya mengekploitasi keperluan sumber-sumber bagi kepentingan peribadi dalam jangka masa panjang.

Keusahawanan telah bermula semenjak manusia tahu kewujudan dan kepentingan hidup bermasyarakat dan telah berkembang sepanjang zaman bersama-sama dengan teori keusahawanan itu sendiri.

Elemen penting yang membentuk konsep keusahawanan ialah pemerolehan ganjaran atau untung menerusi usaha penciptaan pembaharuan yang bernilai.

Di Malaysia, wanita menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bagi Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan yang semakin penting dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, serta memberi peluang pekerjaan kepada setiap individu sebagai usahawan di Malaysia. Bidang keusahawanan amat bergantung kepada pembentukan keupayaan individu dalam perniagaan yang diusahakan.

Ciri Usahawan Berjaya

Terdapat 11 ciri utama yang perlu ada dalam diri usahawan iaitu:

  1. komitmen keazaman dan ketabahan
  2. dorongan untuk berjaya dan berkembang maju
  3. orientasi kepada peluang dan matlamat
  4. mengambil inisiatif dan tanggungjawab peribadi
  5. penyelesaian masalah secara berterusan
  6. realistik
  7. mencari dan menggunakan maklumat balas
  8. lokus kawalan dalaman
  9. mengambil risiko yang diperhitungkan
  10. dorongan rendah ke atas kuasa dan status
  11. intergriti dan boleh dipercayai

Bantuan Kerajaan dalam Bidang Keusahawanan

Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), keusahawanan dikenal pasti sebagai salah satu bidang keutamaan nasional menjelang Wawasan 2020. Bidang keusahawanan merupakan bidang strategik yang sentiasa menjadi perhatian dari semasa ke semasa dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Kini, Malaysia telah beranjak kepada dunia digital di mana terdapat banyak kemudahan yang disediakan kepada para usahawan untuk terus bergiat dalam bidang keusahawanan seperti kemudahan internet dan kemudahan media sosial.

Pelbagai program telah dilaksanakan oleh agensi Kerajaan dan swasta dalam memastikan perkembangan bidang keusahawanan terus menjadi bidang keutamaan negara. Buktinya dapat dilihat daripada ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Dasar Keusahawan Nasional pada Julai 2019.

Dasar Keusahawanan Nasional memperlihatkan komitmen Kerajaan untuk mempertingkat semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat serta semangat keusahawanan tersebut turut dijadikan satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bidang keusahawanan bukan sahaja diceburi oleh golongan lelaki, malah lebih giat diceburi oleh golongan wanita.

Penglibatan Wanita dalam Perniagaan

Imej via Ibrahim & Dawood (2020)

Usahawan wanita mempunyai motivasi diri yang tinggi untuk membangunkan perniagaan. Di Malaysia, golongan wanita merupakan sebahagian besar daripada populasi masyarakat iaitu sebanyak 15.7 juta pada tahun 2018 orang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Majoriti usahawan wanita bergiat dalam bidang keusahawanan seperti makanan dan minuman, pakaian dan peruncitan. Ramai usahawan wanita yang telah mencipta nama di persada Malaysia mahupun ke peringkat antarabangsa seperti:

  • Che Minah Songket dan Batik
  • Dnars Kosmetik
  • Qu Puteh
  • Kartika Kiara Batik
  • Faiza dan lain-lain

Budaya Berniaga Wanita Kelantan

Dunia perniagaan bukan satu bidang yang asing bagi penduduk negeri Kelantan. Kebanyakan anak kelahiran Kelantan yang merantau ke negeri-negeri lain, mereka juga cenderung untuk berniaga walaupun sebagai sampingan.

Minat yang mendalam dalam dunia perniagaan disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satu daripadanya adalah budaya. Budaya merupakan suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sesebuah kelompok manusia dan diwariskan dari generasi ke generasi akan datang.

Setiap negeri mempunyai keunikan budaya tersendiri, begitu juga dengan Kelantan. Kelantan merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, dianggarkan seramai 1.6 juta penduduk di mana majoriti penduduknya terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu, diikuti oleh Cina, India, Siam dan Orang Asli

Kelantan mempunyai pelbagai kelainan dari segi adat dan budaya termasuklah budaya perniagaan. Budaya perniagaan wanita Kelantan mempunyai keunikan yang tersendiri yang jarang dimiliki oleh peniaga wanita negeri lain.

Keunikan budaya yang berbeza merangkumi sikap, cara berniaga, dan aspek-aspek yang dititik beratkan dalam perniagaan sehingga mampu bertahan walaupun dihimpit pelbagai masalah ekonomi negara.

Keunikan Budaya Berniaga Wanita Kelantan

Imej via MPKBBRI

Pasar Siti Khatijah

Pasar Siti Khatijah menjadi tumpuan utama pelancong tempatan ataupun pelancong antarabangsa. Dari segi keunikan bentuknya, Pasar Siti Khatijah mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan serta merupakan tempat pengumpulan semua barangan keperluan harian masyarakat daripada barangan murah dan sehingga barangan mencecah ribuan ringgit.

Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan yang basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam, daging dan hasil laut lain.

Di tengah-tengah pasar ini merupakan simbolik penting kepada kewujudan pasar ini kerana aktiviti perniagaan disitu mirip dengan perniagaan seperti aktiviti perdagangan dahulu iaitu perniaga duduk secara bersila dan diatur dengan pelbagai jenis barangan jualan dimana pelanggan datang secara berhadapan untuk membeli.

Di Tingkat 1, terdapat kedai aneka kuih tradisional Kelantan seperti kuih tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini di mana tidak terdapat di negeri lain.

Selain itu, terdapat kedai makan yang menjual pelbagai aneka lauk lauk-pauk masakan tradisonal Kelantan yang terkenal seperti ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam yang merupakan antara makanan yang tersohor di negeri Kelantan.

Tingkat 2 adalah kawasan menjual barangan runcit serta barangan makanan seperti serunding, keropok, dodol, asam dan produk-produk yang diimport daripada Thailand.

Tingkat 3 dan 4 pula merupakan tempat menjual pakaian seperti batik, sutera, tudung, telekung yang mempunyai corak dan motif yang tersendiri. Selain itu, terdapat juga barangan seperti barangan kraftangan, periuk dan tembaga yang diperbuat sendiri oleh penduduk Kelantan.

Wanita sebagai Peniaga

Keunikan budaya berniaga wanita Kelantan ini mejadi satu produk yang dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa kerana ia berbeza dengan negeri-negeri lain di samping mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri

Majoriti peniaga adalah wanita iaitu mencatat sebanyak 95% dan selebihnya lelaki iaitu 5% (ditemani isteri).

Wanita Kelantan sememangnya mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang keusahawanan. Keadaan ini bukanlah satu fenomena yang baru tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi dan masih berterusan sehingga kini. Usahawan wanita ini mempunyai motivasi diri yang tinggi untuk membangunkan perniagaan sendiri.

Sikap Tidak Suka Berhutang

Budaya yang unik ditonjolkan oleh peniaga wanita Kelantan iaitu berpegang teguh pada budaya tidak berhutang iaitu 80% yang bermodalkan kewangan sendiri untuk memulakan perniagaan walaupun secara skala kecil pada permulaan.

Perniagaan mereka bermula daripada bawah sehingga berjaya dalam kedua bidang iaitu pekerjaan dan menguruskan rumahtangga. Buktinya, melalui perniagaan secara kecil-kecil, mereka mampu menjana pendapatan serta dapat membesarkan anak sehingga masuk universiti dengan cara tersendiri.

Simpanan Emas sebagai Aset Jangka Masa Panjang

Majoriti peniaga wanita di Kota Bharu memakai barangan kemas iaitu hampir 95%. Bagi peniaga wanita Kelantan, pembelian barangan emas tidak dianggap suatu pembaziran namun merupakan pelaburan jangka panjang untuk kelangsungan perniagaan mereka sekiranya aktiviti perniagaan mereka agak perlahan.

Rata-rata wanita Kelantan sanggup menghabiskan wang puluhan ribu ringgit semata-mata untuk membeli barangan kemas. Wanita Kelantan wajib memakai sekurang-kurangnya sebentuk cincin emas bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri semasa berurusan dengan pelanggan.

Budaya Main Kutu

Budaya bermain kutu sinonim dalam kalangan penduduk Kelantan bagi memudahkan mereka untuk membeli barangan keperluan dengan mudah dan cepat tanpa ada bayaran tambahan. Hampir 70% daripada perniaga wanita di Kelantan menggunakan medium ini untuk mendapatkan modal bagi menampung perniagaan mereka.

Kesimpulan

Keusahawanan merupakan bidang strategik yang perlu diceburi oleh lebih ramai usahawan di Malaysia. Selain daripada objektif ekonomi, keusahawanan mengandungi nilai-nilai budaya dalam perniagaan yang harus dihayati oleh semua usahawan.

Banyak perbezaan dan keunikan yang dapat dikenalpasti melalui budaya perniagaan berniaga wanita Kelantan yang perlu di contohi. Disebabkan keunikan budaya dan cara mereka melestarikan perniagaan, mereka mampu terus bergiat dalam bidang perniagaan walaupun terdapat cabaran dan halangan.

Jemput juga baca artikel usahawan wanita Malaysia dan Biodata Neelofa

Rujukan

  1. Alauddin Sidal. (2014) Taksonomi keupayaan usahawan wanita Melayu. Journal of Human Capital Development 7.
  2. Ibrahim, N., & Dawood, S. R. S. (2020). KEUNIKAN BUDAYA BERNIAGA WANITA KELANTAN DI BANDAR KOTA BHARU. e-Bangi17(1).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.