Usahawan merupakan individu yang berani mengambil risiko dalam mengusahakan sesuatu perniagaan. Malah, turut berani membuat keputusan bagi mencapai matlamat perniagaan yang diceburi. Mereka juga turut dikenali sebagai individu yang berfikiran inovatif dalam menjalankan perniagaan serta sentiasa positif dalam mencapai keuntungan. Jom kita semak biodata 5 usahawan berjaya di Malaysia.

1. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary – Pengasas Yayasan AlBukhary

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary atau nama sebenarnya Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan anak jati negeri Kedah. Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tanggal 12 Disember 1951. Merupakan anak pasangan Syed Nor AlBukhary dan Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat yang berasal dari Hadhramaut, Yemen.

Mendapat pendidikan formal namun terhenti di peringkat menengah kerana kekurangan wang untuk membayar yuran peperiksaan. Walau bagaimana pun, sejak muda lagi beliau telah mendapat Latihan keusahawanan secara praktikal.

Imej via hmetro

Merupakan usahawan konglomerat yang menjalankan pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai sektor. Antaranya adalah beras, gula, media, pelabuhan dan automatif (DRB-Hicom, Bernas,MMC, Pos Malaysia, Proton). Beliau juga merupakan Pengerusi Yayasan Albukhary, pemilik utama syarikat logistik, pelabuhan, tenaga serta automotif.

Beliau turut mempelbagaikan strategi dari sudut model penswastaan strategik, beliau telah membeli Johor Port dan membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Turut menjalin kerjasama dengan pihak DRB-Hicom/Proton dalam bidang automotif dan MMC dalam bidang infrastruktur.

Selain itu, dalam pengurusan logistik serta sumber asas, beliau telah memperluaskan lagi Bernas, Perkebunan, tenaga serta pengangkutan. Malah, MMC juga turut merancang pelaburan RM 26 bilion. Beliau juga turut aktif membuat kerja-kerja amal serta turut menyumbang US$500 juta melalui AlBukhary Foundation sejak tahun 1996. Antaranya sumbangan yang diberikan adalah kepada pihak universiti, hospital dan muzium. Malah turut memberi biasiswa kepada pelajar yang layak, membina masjid serta institusi pendidikan.

Tan Sri Syed Mokhtar turut diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008 sempena Sambutan Maal Hijrah 1429H peringkat kebangsaan. Pernah dinobatkanb sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009 dan menurut Forbes, beliau antara 10 individu terkaya di Malaysia. Beliau merupakan seorang insan yang suka berahsia. Namun sangat dikenali kerana sering membuat sumbangan amal besar sehingga lebih RM2 bilion secara peribadi.

2. Tan Sri Anthony Fernandes – Pengasas AirAsia

Tan Sri Anthony Francis Fernandes atau lebih dikenali dengan Tony Fernandes dilahirkan pada 30 April 1964 Kuala Lumpur. Beliau merupakan usahawan Malaysia berbangsa India, berketurunan Malayalam dan Goa dengan kacukan darah Portugis Melaka. Tan Sri Tony merupakan anak kepada pasangan Dr Stephen Edward Fernandes dan Ena Dorothy Fernandes.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur dari tahun 1977 hingga 1983. Menyambung pelajaran di Kolej Epsom, England dan menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan di London School of Economics (LSE).

Imej via malaymail

Memulakan karier dalam industri muzik dan kewangan (eksekutif Warner Music Malaysia) sebelum membuat keputusan membeli syarikat penerbangan AirAsia pada tahun 2001 daripada kerajaan dengan beban hutang US$11 juta. Beliau sanggup memajak rumah sendiri sebagai jaminan pinjaman ketika membeli AirAsia ketika itu.

Tan Sri Tony berjaya menjadikan AirAsia sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah bertaraf dunia sejak tahun 2001. Beliau juga turut menubuhkan Tune Group yang merangkumi Tune Hotel dan Tune Talk. Malah, turut pernah memiliki kelab bola speak Queens Park Rangers.

Tan Sri Tony memperkenalkan slogan AirAsia, ‘kini sesiapa pun boleh terbang’ membolehkan ramai mampu menaiki penerbangan dengan harga yang murah. Melalui Persetujuan-persetujuan Langit Terbuka dengan negara-negara Asia seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, negara Asia tersebut telah bersetuju memberi hak pendaratan kepada AirAsia serta syarikat penerbangan tambang rendah yang lain.

Tambang serendah RM10 juga berjaya diperkenalkan dan hasilnya, AirAsia mencatat keuntungan tinggi dalam tahun pertama. Strategi pengiklanan kreatif, pemasaran agresif, media sosial yang aktif serta kempen emel telah membentuk ÁirAsia Community’.

Aplikasi mudah alih, tiket elektronik, program lindung nilai bahan api serta penstrukturan semula fleet antara penyumbang kepada kedudukan kos rendah membolehkan tambang dijual murah. Tan Sri Tony juga berjaya menubuhkan subsidiary (Indo, Thai, Filipina, X long-haul), membentuk perkongsian (codeshare), menstruktur semula Capital A serta menjual perniagaan kargo (Teleport) semasa krisis Covid.

Antara kejayaan besar yang dikecapi AirAsia adalah berjaya memiliki sebanyak 255 pesawat (permulaan 2 kapal) dan beroperasi ke 166 destinasi serta diiktiraf sebagai syarikat tambang rendah terbaik dunia untuk beberapa kali.

Pada tahun 2011, Tan Sri Tony telah terpilih sebagai Commander of the Order of the British Empire (CBE). Malah, beliau turut mendapat pengiktirafan sebagai Asia Businessman of the Year (Forbes Asia), Ikon transformasi dan keberanian usahawan Malaysia dan Tokoh Usahawan Negara di pentas global.

3. Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin –  Pasaraya MYDIN

Pengarah Urusan Mydin iaitu Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin dilahirkan pada 4 Jun 1956 di Pulau Pinang. Beliau dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan merupakan anak kedua daripada tujuh adik-beradik. Pasaraya Mydin merupakan rangkaian pemborong serta peruncit terbesar di Malaysia. Pengasas pasaraya ini merupakan Tuan Mydin Mohamed Ghulam Hussein iaitu bapa kandung beliau.

Datuk Wira Ameer berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kimia dan Pengurusan dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat pada tahun 1979 dengan tajaan biasiswa MARA. Beliau turut menyambung pengajian pada tahun 1981 dan berkelulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Sonoma State.

Setelah berjaya menamatkan pengajian, beliau telah memulakan karier sebagai pegawai bank di Bank Arab Malaysian Merchant untuk tempoh 8 tahun. Akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk membina legasi perniagaan yang merupakan Impian dan cita-cita beliau selama ini.

Imej via Facebook

Justeru, pada tahun 1989 beliau telah menyertai perniagaan keluarga dengan memperluaskan operasi termasuklah cawangan di Jalan Masjid India dan hypermarket di Subang Jaya. Supaya pasaraya Mydin ini sentiasa relevan, beliau telah memperkenalkan konsep harga berpatutan buat para pelanggan.

Usaha keras beliau serta minat yang mendalam dalam bidang ini membolehkan pasaraya Mydin diangkat ke seluruh Malaysia sehingga berjaya memiliki ratusan cawangan termasuklah mini-market, emporium, hypermarkets, MyMart dan SAM’s Groceries yang merupakan antara rangkaian runcit terbesar di Malaysia. Kejayaan ini membuktikan bahawa Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin berjaya memperluaskan empayar perniagaan yang telah dibina oleh Allahyarham bapanya Tuan Mydin Mohamed.

Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin sangat mementingkan nilai disiplin dan integriti di mana beliau sering menerapkan budaya “jika tiba tepat pada waktunya, anda sudah terlambat”. Beliau turut mengamalkan kesederhanaan dan menjadi contoh kepada kakitangan bawahan. Turut menekankan bahawa setiap orang perlu menghormati proses dan tidak mengambil kelebihan jawatan tanpa perlu berlagak seperti seorang ketua/bos.

Beliau juga sangat aktif dalam program-program kebajikan seperti memperkenalkan Menu Rahmah serta memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Beliau yang juga dilantik menjadi Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera pernah menyuarakan pandangan dalam isu kawalan harga, AP import dan subsidi.

Pernah mendapat beberapa pengiktirafan seperti :

  • Master CEO of the Year – Malaysia Business Leadership Awards (2009)
  • Asia Pacific Entrepreneurship Award – Outstanding Entrepreneur (2007)
  • Anugerah sosial korporat 2012 oleh Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia
  • Diiktiraf sebagai “Asia’s Most Influential MY” oleh Tatler Asia (2023)

4. Dato’Dr. Haji Ramly Mokni – Burger Ramly

Sebut sahaja burger Ramly, pasti ramai peminatnya. Syarikat Ramly Food Processing Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang memperkenalkan patti burger halal kepada para pelanggan terutamanya yang beragama Islam. Usahawan yang telah berjaya memperkenalkan burger Ramly ini merupakan insan bernama Dato’ Dr. Hj Ramly bin Mokni. Beliau merupakan anak kelahiran Tanjung Piandang, Perak dan mempunyai 16 orang adik beradik.

Beliau telah menyertai salah seorang abang yang merantau ke Sekinchan Selangor dan bekerja sebagai buruh sebelum ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pemotong daging di pasar raya. Cita-cita dan Impian beliau sebenarnya adalah untuk menjadi seorang doctor, namun impian tersebut terpaksa dilupakan kerana masalah kewangan keluarga.

Imej via orangperak

Idea untuk menghasilkan daging burger halal tercetus tatkala seorang pelanggan ketika itu (1978) bertanyakan tentang burger halal tempatan. Bermodalkan RM2000 serta tiada sebarang peralatan khusus mahupun mesin, beliau telah mula menghasilkan 200 keping patty sehari di rumah bersama isterinya, Datin Hjh Shala Siah Abdul Manap. Beliau turut membuat permohonan pinjaman daripada pihak MARA namun gagal kerana mereka beranggapan bahawa rang melayu belum minat burger’.

Sektar tahun 1979 hingga 1980, isteri yang merupakan tulang belakang beliau telah sama-sama membantu membuka gerai jualan burger. Lokasi gerai adalah di Kampung Baru dan Chow Kit, Kuala Lumpur. Jualan tertumpu kepada patty mentah dan patty siap dimasak. Burger Ramly mulai mendapat tempat di hati para pelanggan terutamanya yang beragama Islam. Permintaan ketika itu mencecah sehingga 3,000 keping sehari sehingga tidak dapat menampung permintaan pelanggan.

Kini, burger Ramly dikenali sebagai Ramly Food Processing Sdn Bhd di mana pada peringkat awal ia didaftarkan atas nama Burger Ramly Mokni Sdn Bhd. Kilang pertama telah dibangunkan di Bandar Tun Razak dan berjaya menghasilkan sebanyak 10,000 keping patty sehari. Kilang kedua dibuka pada tahun 1990 di Batu Caves seluas 3 ekar dan berjaya mengeluarkan sebanyak 1 juta patty sehari. Pada tahun 2018 pula, kilang ketiga dibuka di Pulau Indah dengan keluasan 5.6 ekar dan dibina menggunakan dana pinjaman sebanyak RM 27 juta. Kilang ini berjaya mencapai jualan sebanyak RM1 bilion dan sebanyak 30 ribu gerai mikro berjaya ditubuhkan.

Cabaran Yang Dihadapi

Cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Dato’Ramly adalah ketika pinjaman perniagaannya ditolak oleh pihak MARA dan beberapa bank lain. Namun, kegigihannya untuk meneruskan perniagaan patty burger ini membuahkan hasil apabila akhirnya Bank Pembangunan Malaysia mula menyalurkan bantuan apabila melihat semangat bekerja Dato’Ramly. Malah, Bank Pembangunan Malaysia turut mengiktiraf Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pembangunan Pelanggan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya (1992) kepada Burger Ramly.

Bertitik tolak dari situ, HSBC Bank Malaysia Berhad pula mula menawarkan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan Burger Ramly terus berkembang dan popular di kalangan masyarakat terutamanya di kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Produk berjenama Ramly berjaya memecah pasaran antarabangsa seperti di Brunei, Myanmar, Indonesia, dan juga Bangladesh melalui franchais Ramly. Malah, Dato’Dr. Hj Ramly juga bercadang untuk memperluaskan pasaran hingga Asia Timur dan Benua Asia dan menjadikan jenama Ramly ini bertaraf antarabangsa. Antara produk yang dihasilkan adalah hamburger berasaskan daging ayam, lembu, hasil laut, frankfurter, drummet, nugget dan bermacam lagi.

Turut memiliki makmal mikrobiologi bagi mengawal kualiti produk. Selain itu, ia bagi memastikan produknya adalah suci, bersih dan selamat dimakan. Makmal ini turut berfungsi sebagai tempat penyelidikan dan pembinaan produk yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi.

Rangkaian Ramly terus menerapkan misi ‘Halal, bersih dan berkualiti’ yang mampu mengatasi keraguan masyarakat terhadap status halal daging barat.

5. Faiza – Beras Faiza

Beras Faiza antara beras yang begitu popular di Malaysia dan sering mendapat perhatian ramai. Ia sering menjadi pilihan orang ramai tidak mengira bangsa. Nama sebenar pemilik jenama Faiza ini adalah Faiza Bawumi Syed Ahmad, seorang usahawan dan ahli perniagaan yang lahir di Mesir.Beliau bukan sahaja Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, malah merupakan pengasas syarikat pengeluar beras di Malaysia.

Merupakan anak sulung daripada 7 orang adik beradik dan lahir pada 9 Mac 1942. Beliau mula menunjukkan minat berniaga semenjak berumur 14 tahun dalam rekaan fesyen.

Imej via wikiimpact

Berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 dengan mengikuti suaminya serta turut membawa anak sulung, iaitu Dr Salwa yang berumur 4 tahun ketika itu. Menetap di Batu Pahat, Johor dan suaminya ketika itu merupakan seorang kadi dan seterusnya bertugas sebagai hakim Mahkamah Syariah.

Kerjaya

Bermodalkan RM4 serta ilmu sulaman yang dimiliki, beliau mula menerima tempahan menjahit serta menjual sarung bantal. Beliau juga turut menjual rempah buatan sendiri pada tahun 1968 yang berjenama Bunga Raya.

Syarikat Faiza yang memulakan aktiviti peruncitan pada tahun 1982 mendapati pemborong beras kebanyakan dari kaum lain, nekad untuk mula mengenali pelbagai jenis beras yang terdapat di pasaran.

Pada peringkat awal, beliau sendiri turun padang dan bergerak ke setiap kedai , membuat kajian samada para pekedai akan membeli berasnya jika dipasarkan. Maklumbalas dari orang ramai yang diterima adalah sangat positif. Justeru, beliau mula memohon lesen pemborong beras dan mula memasarkan pelbagai jenis beras termasuklah beras basmathi, beras siam dan beras wangi dengan jenama Bunga Raya.

Beliau telah berjaya memperluaskan perniagaannya ke beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor dan Melaka dalam tempoh Sembilan tahun. Beliau juga turut membuat pelaburan ke atas produk Taj Mahal yang merupakan beras ponni yang baik untuk Kesihatan terutama pesakit diabetis. Produk ini mendapat sambutan hangat terutamanya di kalangan yang ingin menjaga Kesihatan. Beliau turut menanam impian untuk menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.

Anugerah dan Pengiktirafan

  • Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010/1431 H (2010)
  • Tokoh Ibu Mithali PERKIM

Beberapa produk lain selain beras yang dihasilkan oleh Syarikat Faiza adalah kicap, bihun, sos cili, air mineral, mee segera serta rempah ratus. Jenama beras Faiza antara jenama yang terkenal di Malaysia dan tiada tolok bandingnya. Semangat juang yang tinggi sehingga usia begini wajar dijadikan contoh untuk anak muda pada masa kini dan akan datang.

Kesimpulan

Inilah antara 5 usahawan Malaysia yang berjaya sehingga menjadikan mereka antara ikon usahawan yang wajar dicontohi oleh anak muda masa kini. Mereka bukan sahaja diiktiraf dari segi kekayaan yang dikecapi namun impak yang diberikan pada masyarakat hari ini dalam pelbagai sektor.

Jemput baca biodata Rozita Ibrahim dan biodata SM Nasimuddin

Rujukan

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.