Siapa yang tidak kenal dengan Rozita Ibrahim? Sendayu Tinggi adalah bukti kejayaan beliau sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya. Bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan disegani melainkan memiliki semangat yang kental, tabah serta yakin atas usaha yang dilakukan pastinya menemui kejayaan.
Beliau telah dianugerahkan dengan anugerah Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) atas usaha yang dilakukan.
Rozita merupakan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor, namun membesar di Felda Palong 7, Gemas, Negeri Sembilan.
Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, Rozita merupakan anak sulung di kalangan enam orang adik beradik.
Imej via ecentral
Rozita dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana serta serba kekurangan. Apatah lagi yang mencari rezeki hanyalah bapanya yang merupakan seorang guru agama, sedangkan ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa. Oleh kerana keazaman yang tinggi, menjadikan Rozita seorang insan yang lebih matang serta tabah dalam mengharungi onak ranjau kehidupan.
Beliau telah dinikahkan dengan lelaki pilihan keluarga pada usia yang muda, malah lelaki tersebut yang juga bukan dari keluarga senang menjadikan kesusahan hidup yang terbeban berganda. Rozita yang mendirikan rumah tangga pada usia yang agak mentah tidak berpeluang berfikir tentang kerjaya dan masa depan.
Rozita yang sudah berkahwin turut menoreh getah serta menjalankan perniagaan kecil – kecilan di rumah dengan membuka kedai runcit di Felda Kechau 1. Walau bagaimana pun, kehidupan mereka tetap susah. Anaknya sendiri yang ketika itu masih bayi berumur 3 bulan pernah diberikan minum sirap bagi menggantikan susu. Malah, anak keduanya juga turut meninggal dunia akibat sakit serta lumpuh kerana tidak mampu mendapatkan rawatan yang terbaik ketika sakit.
Rozita turut membantu suaminya membuat kontrak perladangan pada pendapatang asing selain menoreh getah dan berniaga kedai runcit. Beliau juga Rozita turut mengambil inisiatif lain untuk berkerja di sektor perladangan bagi menampung kehidupan sekeluarga.
Pelbagai kelompok masyarakat yang berasal dari Acheh, Madura, Lambok, Pattani dan Batak yang bekerja di sektor perladangan adalah mahir dalam perubatan.Ini membantu beliau meluaskan lagi pengetahuan dan minatnya dalam bidang perubatan herba.
Rozita turut menjual rokok keretek, surat khabar, majalah dan nasi lemak dengan menggunakan motosikal. Beliau tidak peduli terhadap pandangan masyarakat sekeliling yang memandang serong terhadap wanita yang melakukan kerja orang lelaki. Menurutnya, mencari rezeki halal adalah perkara yang perlu dibanggakan. Akhirnya beliau berjaya mengumpul modal sebanyak RM 2,000 dan ianya digunakan sebagai bekalan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur secara bersendirian.
Anak – anaknya terpaksa ditinggalkan bersama suami demi seribu impian serta semangat yang membara di dalam jiwa. Semuanya dilakukan bagi mencapai kehidupan yang labih sempurna buat seisi keluarga. Rozita melakukan pelbagai pekerjaan seperti penyambut tetamu, operator kilang, eksekutif promosi dan pemasaran serta melalukan perniagaan jualan langsung.
Kehidupannya semakin baik namun beliau berazam untuk lebih berjaya kerana tidak mahu hidup melarat lagi. Walau bagaimana pun, dugaan demi dugaan datang menimpa dan beliau terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan dan masalah keluarga yang tidak dapat dielakkan.
Setelah beberapa tahun hidup bersama suami, akhirnya kedua – duanya sepakat untuk berpisah kerana jodoh tidak panjang. Keputusan perpisahan ini menyebabkan beliau dipulaukan oleh keluarga.
Beliau mula mengorak langkah dengan bekerja di Publishing Group serta menimba pengalaman dari pelbagai lapisan kakitangan. Semasa bekerja di bahagian hartanah, beliau turut mempelajari serta menguasai bahasa inggeris sebagai persediaan memulakan perniagaan sendiri.
Beliau terus bertekad untuk menghasilkan produk sendiri yang berasaskan tumbuhan hutan atau semulajadi kerana beliau begitu yakin dengan ubat – ubatan dari sumber tersebut.
Dengan bermodalkan RM 400 hasil gadaian barang kemas, Rozita memulakan perniagaan berasaskan herba sebagai sandaran dan beliau sendiri menjadi testimoni produk yang dihasilkan. Beliau memasarkan produk tersebut secara terus dengan menjual dari rumah ke rumah sahaja. Berkat kegigihan beliau, akhirnya Sendayu Tinggi Enterprise telah ditubuhkan pada awal tahun 2000 setelah sambutan yang diterima amat menggalakkan. Bagi memasarkan produk yang dihasilkan, Rozita menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.
Sambutan pelanggan yang kian meningkat menjadikan perniagaannya berkembang maju terutamanya bagi produk pelangsingan badan. Selepas beberapa tahun, Rozita terus meluaskan empayarnya dengan menubuhkan sembilan anak syarikat.
Anak – anak merupakan big why untuk beliau terus berjuang memperbaiki kehidupan serta pencapaian pendapatan dan ekonomi. Bagi diri beliau, kasih sayang antara kunci kebahagiaan dalam sesebuah keluarga buat selamanya.
Imej via nona
Rozita merupakan individu yang tidak pandai duduk diam dan agresif. Beliau sering mencari idea-idea baru dan sering berfikir demi menerokai dunia perniagaan yang semakin mencabar. Gemar membuat kejutan dan suka membuktikan bahawa jika orang lain boleh melakukan sesuatu, beliau juga berbuat demikian. Prinsip beliau adalah setiap perkara itu tidak akan berhasil selagi belum mencuba.
Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. memiliki sembilan (9) buah anak syarikat yang terdiri dari :
Sentiasa jujur dan ikhlas antara pegangan yang menjadi santapan rohani dalam kehidupan dan juga perniagaan. Beliau juga berpegang pada pepatah “hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat” yang menyebabkan beliau sentiasa mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperbaiki kehidupan serta beroleh pendapatan yang lebih selesa. Beliau berpendapat orang yang malas berusaha dan membuang masa adalah orang yang bodoh lagi merugikan. Setiap hari Rozita berdoa dan memohon kepada Tuhan agar tidak lupa diri sekiranya berada di atas, kerana kehidupan manusia adalah umpama roda yang kadang kala berada di atas dan kadang kala berada di bawah.
Jemput baca biodata SM Nasimuddin dan biodata Rafizi Ramli