Industri fesyen Muslimah semakin mendapat perhatian dan permintaan dari orang ramai berbanding suatu tika dahulu. Justeru itu, tidak hairanlah semakin ramai usahawan yang menghasilkan pakaian Muslimah yang bermutu tinggi kerana terdapat permintaan dalam pasaran. Selain itu, urusan jual beli produk dalam talian yang lebih mudah membolehkan orang ramai membeli tanpa perlu datang ke kedai.

Para peminat fesyen di tanah air ini pastinya mengenali jenama Leeyanarahman yang begitu popular. Jenama ini telah tercipta pada tahun 2012 oleh pereka fesyen yang agak muda iaitu gandingan Nur Liyana Abdul Rahman dan juga Muhammad Hafiz Abd Hamid yang ketika itu sedang menuntut di IPTA.

Memulakan perniagaan secara atas talian untuk tempoh dua tahun, akhirnya dua sahabat ini telah berjaya memiliki sebuah Menara terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor setelah sama – sama disatukan. Menara ini dilengkapi dengan butik fizikal, pejabat urusan serta tempat jahitan yang menghasilkan produk jenama Leeyanarahman sejak Mei 2016.

Imej via hijabista

Latar Belakang

Produk Leeyanarahman adalah milik Nur Liyana Abdul Rahman bersama Muhammad Hafiz Abd Hamid yang merupakan pasangan hidupnya. Pasangan ini telah menjalankan perniagaan pakaian sejak di menara gading lagi dan telah berkahwin pada tahun 2014. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel.  

Pengalaman perniagaan

Leeyanarahman dan pasangannya merupakan sahabat semasa menyambung pengajian di UiTM tahun 2012. Kedua pasangan in merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kewangan. Idea merekacipta fesyen ini tercetus sewaktu Liyana sendiri mencipta busana hari rayanya dan memuat naik rekaan tersebut di laman social. Bertitik tolak dari gambar rekaan tersebut, ramai yang bertanya kepadanya tentang di mana kedai yang menjual baju tersebut. Dari situlah Liyana mendapat ilham untuk menjual busana rekaannya sendiri.

Masing – masing yang ketika itu belum berumah tangga telah sama – sama mengeluarkan modal sebanyak RM 1,500 iaitu Liyana menyumbang sebanyak RM 600, manakala Hafiz menyumbang sebanyak RM 900 menggunakan wang pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebanyak 14 helai pakaian telah berjaya dihasilkan dan ianya habis dijual dalam tempoh satu jam sahaja. Hasil keuntungan yang diperolehi membolehkan mereka menggandakan jumlah busana bermula dari 14 menjadi 28, kemudian 36 sehinggalah ke skala yang lebih besar pada hari ini.

Cabaran dan Dugaan

Setiap perniagaan pastinya ada dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh para usahawan. Cabaran dan dugaan yang datang mungkin juga kecil dan boleh jadi juga ianya agak besar. Mereka juga pernah berhadapan dengan situasi tidak dapat menyiapkan tempahan para pelanggan tepat pada waktunya. Situasi ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pelanggan yang ketika itu Liyana bersama suaminya sedang menuntut di Menara gading.

Imej via nona

Pada  ketika itu, Liyana dan Hafiz mengambil tempahan secara pra-tempahan. Pelanggan membuat bayaran berdasarkan rekaan yang dipilih dan pakaian tersebut dijahit mengikut saiz pelanggan. Tiada siapa menduga, pakaian yang dijahit oleh pihak kilang tidak menepati piawaian dan kualiti jahitan adalah sangat mengecewakan. Hanya beberapa pakaian yang dijahit dengan sempurna sahaja diserahkan kepada pelanggan dan selebihnya tidak dapat diserahkan kerana kualiti yang teruk. Pasangan ini telah dikecam teruk oleh pelanggan dan wang tempahan baju juga tidak dapat dipulangkan semula kepada pelanggan kerana ianya telah digunakan sebagai kos membeli kain dan juga upah menjahit. Mereka juga terpaksa merayu kepada pelanggan untuk menangguhkan pemulangan wang tempahan disebabkan masalah ini. Walau bagaimana pun, masalah ini berjaya diselesaikan dengan baik.

Peristiwa yang berlaku memberi impak yang mendalam dan ianya menjadi pengajaran buat Liyana dan Hafiz agar terus cekal dalam meneruskan perniagaan. Bagi mengelakkan insiden tersebut terjadi lagi, pra-tempahan tidak dilaksanakan lagi bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Kualiti sangat dititikberatkan agar produk yang dibeli pelanggan lebih sempurna.

Menjalankan perniagaan semasa masih menuntut adalah agak mencabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai isu. Walau bagaimanapun, setiap dugaan itu pastinya akan membuahkan hasil di penghujungnya. Begitulah yang dihadapi oleh Liyana dan pasangannya, kini telah berjaya mencipta kejayaan yang tersendiri.

Variasi produk

Leeyanarahman bukan sahaja mengeluarkan produk baju dan tudung, malah kini turut mengeluarkan koleksi beg dan produk kosmetik sesuai untuk para wanita yang inginkan tampak anggun dan menawan. Biarpun kedudukan ekonomi semakin mencabar, namun kedua pasangan ini tidak gentar untuk memperkenalkan produk baru mereka di pasaran. Dengan adanya produk baru ini, Leeyanarahman berharap para pelanggan mereka akan terus menyokong dan kekal setia bersama produk mereka.

Selain itu, setiap koleksi pakaian dan tudung adalah rekaan sendiri dengan corak atau motif mengikut lakaran pemilik butik agar ianya lebih eksklusif. Kelainan rekaan yang terhasil adalah bagi memberi keunikan yang tersendiri memandangkan begitu banyak koleksi di pasaran yang hampir sama. Rekaan yang dihasilkan juga adalah seiring dengan permintaan pelanggan yang lebih menggemari pakaian Muslimah berkonsep moden.

Penutup

Bagi pemilik jenama dan butik pakaian muslimah, Leeyanarahman, persaingan dalam perniagaan adalah persaingan secara sihat kerana setiap produk yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menarik perhatian para peminat. Persaingan dari syarikat lain dijadikan sebagai pemangkin untuk terus mengeluarkan produk – produk yang lebih berkualiti mengikut aliran semasa. Justeru, setiap bulan Leeyanarahman akan mengeluarkan lebih kurang empat rekaan baru bagi memberi kelainan kepada permintaan pelanggan dan berbaloi untuk dimiliki.

Bukan itu sahaja, produk Leeyanarahman juga telah mendapat tempat di beberapa negara Nusantara yang berhampiran membolehkan para peminat fesyen Muslimah dan pakaian sederhana memiliki produk mereka di seluruh dunia. Biarpun Leeyanarahman antara yang terawal memperkenalkan industri fesyen Muslimah, namun mereka tidak sesekali berasa begitu selesa dengan kejayaan yang telah diperolehi kerana keadaan ekonomi semasa turut memberi sedikit kesan secara tidak langsung.

Jemput baca biodata Saiful Nang dan biodata Abdullah Ariff

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.