Latar Belakang

Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu dan telah dilahirkan pada tanggal 1 Disember 1958. Berkahwin dengan pasangan tercinta Dr Azmi Jamion serta dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan yang juga bergelar Doktor.

Pendidikan

Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1980 hingga 1985. Pada tahun 1991 pula beliau telah melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Surgeri Oftalmologi UKM pada tahun 1991. Beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana Perubatan di National University of Singapore, NUS. Pada tahun 1998, beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Ocular Immunology di Universiti London.

Imej via suarahatisaya23

Dugaan Hidup Bukan Penghalang Kejayaan

Beberapa bulan sebelum peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), beliau telah dikejutkan dengan berita perkahwinan kali kedua bapanya. Beliau berasa agak kecewa dengan berita tersebut, namun penjelasan dari bapanya sedikit sebanyak telah menjernihkan keadaan.

Sekitar tahun 1976, ibu bapa beliau telah berpisah secara baik. Ia berlaku kira – kira 3 bulan sebelum menjelangnya peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Biarpun tekanan dirasai olehnya, namun beliau tetap mengingati pesanan dan nasihat bapanya. “Jangan menjadikan perpisahan kedua orang tua sebagai penghalang kepada kejayaan”.

Berpegang kepada nasihat bapanya, keretakan rumah tangga ibu bapa bukanlah alasan untuk anak – anak patah semangat dan gagal dalam kehidupan.

Kejayaan dan Kerjaya

Beliau merupakan seorang Profesor Oftalmologi AUCMS, Pakar Inspirasi dan Kolumnis Majalah, Pakar Perunding Mata dan Pengarah Pusat Lasik dan Mata, Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Datuk Prof Dr Muhaya merupakan pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur lasik dengan mesin Vismax Femtosecond. Ia antara kaedah termoden dengan penghasilan ‘flap cornea’ dengan VisuMax tanpa menggunakan pisau sepenuhnya. Kini, beliau sering memberi motivasi secara langsung melalui ruangan Facebook Live miliknya.

Kepakaran

Untuk menjadi seorang pakar dalam sesuatu bidang bukanlah mudah. Namun, Datuk Prof Dr Muhaya telah berjaya menangani masalah ‘uveitis’ radang mata yang kebiasaannya menyerang individu berusia antara 15 hingga 40 tahun. Ia boleh terjadi pada kedua – dua mata atau salah satunya. Sekiranya ia terjadi, berkemungkinan pesakit untuk buta adalah tinggi. Tiada doktor yang berjaya menangani uveitis sebelum ini, namun Datuk Prof Dr Muhaya telah berjaya menangani masalah tersebut selepas melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di London.

Dengan kepakaran yang ada, beliau sendiri dijemput menghadiri persidangan serta melakukan pembentangan kertas kerja dan kerja – kerja penyelidikan di sekitar 57 buah  negara.

Imej via noormunirahaab

Keluarga vs Kerjaya

Bertemu jodoh dengan suaminya, Dr Azmi Jamion dan mendirikan rumah tangga sewaktu masih belajar di tahun kedua peringkat Ijazah Pertama Perubatan, UKM bukanlah suatu halangan untuk terus berjaya. Kerana berada jauh dari keluarga menyebabkan kedua pasangan ini sering bertemu, lantas keputusan bernikah awal yang diambil adalah satu keputusan yang tepat. Ianya juga memudahkan keduanya fokus dalam bidang pengajian masing – masing tanpa perlu ada kerisauan.

Perkahwinan awal di saat sedang berada di Menara gading tidak menghalang Datuk Prof Dr Muhaya terus mencapai kejayaan. Beliau merupakan penerima pertama Anugerah Tun Seri Rahah ketika di kampus dan pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik oftalmologi ketika dalam pengajian.

Pada peringkat antarabangsa, Datuk Prof Dr Muhaya menjadi wanita Islam pertama mendapat pengiktirafan sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) Edinburgh. Pada tahun 2005, Akademi Oftalmologi Asia Pasifik telah menganugerahkannya Hadiah Perkhidmatan Unggul Istimewa (Special Distinguished Service Award).

Biarpun sibuk dengan tugas harian, namun Datuk Prof Dr Muhaya tidak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri jika di rumah. Pastinya keperluan anak – anak dan suami tetap menjadi keutamaan. Beliau sentiasa mencari masa untuk menyediakan hidangan istimewa buat santapan seisi keluarga.

Sering meluangkan masa menelaah buku masakan kegemarannya yang ditulis oleh Permaisuri Agong, Tengku Azizah Maimunah dan Jamie Oliver jika ada masa lapang. Pelbagai resepi masakan telah dicuba untuk dirasai bersama keluarga tersayang. Memasak antara salah satu perkara yang memberi kepuasan kepada dirinya.

Pencapaian

Beliau pernah mendapat pengiktirafan sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) di Edinburgh. Datuk Prof Dr Muhaya berjaya menerbitkan 13 buah buku yang berkonsep inspirasi dengan salah satu tajuknya iaitu Bahagia dan Membahagiakan, Celik Mata Reset Minda dan Peliharalah Matamu. Pencapaian yang paling tinggi pernah diperolehi adalah dengan adanya sebuah klinik sendiri hasil penat lelah yang dikenali sebagai Prof Muhaya Eye & Lasik Centre.

Imej via facebook

Anugerah Yang Pernah Diterima

Datuk Prof Dr Muhaya berjaya menerima empat pingat di peringkat negeri dan juga negara, antaranya :

  • Pingat Jasa Negara ( PJN) (2016)
  • Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dan Selangor (2015)
  • Tokoh Ilmuwan Selangor (2010)
  • Anugerah Dakwah Wanita Negara (2015)

Senarai Program Tv dan Radio

Datuk Prof Dr Muhaya sering dijemput menjadi penceramah undangan di slot tv dan juga radio. Antaranya adalah Refleksi Bersama Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad, Obesiti – Prof Dr Muhaya, Celik Hati Prof Dr Muhaya, Tanyalah Ustaz, Halaqah serta menjadi DJ jemputan di Radio IKIM. Malah, beliau juga turut membuat rancangan menerusi Facebook Live yang dikenali sebagai Telekung Talk bersama – sama selebriti terkenal tanah air dan sering mendapat sambutan ramai.

Kesimpulan

Beliau sering mengingatkan agar melalukan transformasi minda dari negatif kepada positif, sering bersangka baik serta berusaha untuk berubah. Menjadi seorang pakar mata tidak menghalang Datuk Prof Dr Muhaya memberi nasihat dan motivasi kepada orang ramai.

Jemput baca biodata Lee Chong Wei dan biodata Azim Premji

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.