Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah.

Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Situasi ini sangat tepat bagi menggambarkan perjalanan bisnes Farm Fresh iaitu sebuah empayar susu lembu segar yang kini sudah gah di dalam dan di luar negara.

Jom baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut naik turun perniagaan Farm Fresh sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh Ketua Pengarah Operasi, COO Farm Fresh, Encik Azmi Zainal di Youtube Sinar FM. 

Boleh jadikan iktibar dan inspirasi!

Pengenalan

Syarikat Farm Fresh merupakan pengeluar produk tenusu tempatan dari susu lembu yang menawarkan aneka pilihan seperti susu segar, minuman kultur, minuman soya, susu kurma, krimer dan yogurt.

Jualan produk Farm Fresh mencecah RM16 juta bagi pasaran tempatan dan RM7.3 juta bagi pasaran eksport ke Singapura.

Lebih membanggakan, syarikat tempatan ini mempunyai 40% pegangan pengeluaran di pasaran susu negara, setanding dengan jenama antarabangsa seperti Nestle, Dutch Lady dan Goodday.

Bagi menampung pengeluaran yang berterusan, Farm Fresh kini mempunyai 5 ladang ternakan iaitu 4 di dalam negara (Desaru, Muadzam Shah, Kota Tinggi dan UPM Serdang) dan 1 ladang di Melbourne, Australia.

Kejayaan ini tidak datang bergolek bagi syarikat ini dan tentunya, bagi COO Farm Fresh, Encik Azmi Zainal, beliau mempunyai kenangan sentimental yang tersendiri terhadap pembinaan empayar ini.

Ayuh kita korek!

Pengalaman dan Cabaran Awal Memasarkan Produk Farm Fresh

Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Encik Azmi Zainal. Sumber: Farm Fresh

Sebelum menempa nama sebagai syarikat susu segar yang terkenal, 5 tahun sebelum ini, Malaysia masih belum boleh menerima selera susu segar dan lebih gemar kepada susu yang biasa diimport seperti Dutch Lady mahupun susu isian sejat pekat seperti F&N.

Mujurlah apabila semakin banyak rakyat berkemampuan untuk ke luar negara, di sana, mereka menikmati susu segar sebagaimana yang ditawarkan oleh Farm Fresh dan selera ini mula mendapat tempat.

Selain itu, dengan hanya satu ladang ternakan yang beroperasi untuk menghasilkan susu segar, banyak halangan lain dihadapi oleh mereka untuk memasarkannya.

Antaranya ialah:

  • Stok yang sedikit dengan hanya satu ladang ternakan beroperasi dengan 60 ekor
  • Stok tambahan susu segar terpaksa diambil, top up dari Pusat Pengumpulan yang lain, tetapi kebanyakan dari mereka telah mempunyai kontrak dengan agensi lain dan terikat dengan Koperasi
  • Pasaraya tidak menerima bekalan daripada Farm Fresh yang ketika itu masih baru tidak dikenali
  • Kos penghantaran yang tinggi (Encik Azmi menunggu bas ekspres di Sungai Besi yang membawa bekalan susu untuk diproses dan diedarkan menggunakan van kecil)
  • Pusat operasi yang hanya menyewa sebuah rumah di Damansara Utama yang menempatkan bekalan susu tersebut, tanpa peralatan teknologi makanan yang canggih
  • Disebabkan Farm Fresh memasarkan produk susu segar, tempoh luput susu ini adalah lebih singkat berbanding susu jenama lain yang dipasteurkan. Banyak kerugian berlaku apabila jualan tidak memberangsangkan disebabkan sambutan yang tidak menggalakkan
  • Encik Azmi sendiri bertindak sebagai all-in-one demi memastikan kelangsungan jualan dan penjenamaan Farm Fresh. Beliau lah yang jadi driver lori, promoter, pekerja pemprosesan dan sebagainya.

Setelah menerima suntikan dana sebanyak modal 30% daripada Khazanah Nasional, syarikat Farm Fresh di bawah pengurusan COO Encik Azmi dan CEO Loi Tuan Ee, berjaya mengembangkan bisnes ini dengan memajukan pemasaran dan teknologi pengurusan sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Perniagaan Sebelum Farm Fresh

Boleh dikatakan, sebelum Farm Fresh, kedua-dua Encik Azmi dan Encik Lo telah merasai banyak detik kegagalan apabila kesemua perniagaan yang diusahakan mereka kecundang, sebelum berjaya dengan Farm Fresh.

Kerjasama mereka dalam perniagaan bermula dengan tanaman buah naga, tetapi musnah disebabkan serangan kulat dan kepakaran yang kurang dalam ilmu pertanian.

Kemudian, mereka membela ikan sangkar di Kota Tinggi dan apabila suatu banjir besar berlaku, sangkar mereka pecah dan telah merugikan modal mereka.

Mereka kemudiannya beralih ke perniagaan susu kambing. Namun, perniagaan ini tidak menguntungkan kerana pasaran pelanggan yang terhad; tidak semua meminati susu kambing yang mempunyai bau yang kuat.

Semestinya, untuk berjaya seperti sekarang, Farm Fresh perlu mempunyai kualiti yang tinggi untuk terus diterima ramai.

Kawalan Kualiti dan Khidmat Sosial Farm Fresh

Susu kurma antara produk terlaris Farm Fresh. Sumber: Farm Fresh

Encik Azmi turut berkongsi mengenai pendekatan yang diambil oleh Farm Fresh untuk memastikan bahawa produk mereka sentiasa dalam keadaan yang tip top demi memberi kepuasan kepada pelanggan.

  1. Susu lembu yang dihasilkan benar-benar segar (diedarkan dalam tempoh 48 jam)
  2. Persekitaran dan kebajikan lembu yang terjaga bagi memastikan jumlah susu yang berkualiti
  3. Kerjasama dengan pakar di UPM Serdang
  4. Mempunyai lebih 4000 ekor lembu dengan pengeluaran 9 juta liters susu segar setahun bagi menampung permintaan
  5. Melalui Program Pembangunan Usahawan, mereka melantik agen jualan yang kebanyakannya suri rumah atau mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan, yang memanfaatkan sehingga 3000 orang, termasuklah mereka yang berada di luar bandar
  6. Tajaan rancangan hiburan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak secara publisiti dan juga kelangsungan penajaan, selain bantuan kebajikan kepada selebriti yang sudah uzur dan tidak bernasib baik

Pesanan kepada Masyarakat

Di samping itu, Encik Azmi turut menitipkan beberapa pesanan dan nasihat kepada orang ramai, khususnya mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan, seperti:

  • Jangan ada sifat negatif kerana orang yang negatif tidak akan berjaya.
  • Tenangkan diri daripada masalah atau stress dengan mendekatkan diri dengan agama
  • Niat mahukan kejayaan demi membela nasib keluarga
  • Jauhi sikap dengki dan busuk hati kerana semua daripada kita sudah ditetapkan rezeki masing-masing
  • Jangan obses untuk cepat kaya dan mahu riak tayang kekayaan
  • Berdoa untuk dipermudahkan jalan
  • Sentiasa berkongsi rezeki

Kesimpulan

Jatuh bangun Farm Fresh telah menunjukkan kepada kita bahawa gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.

Encik Azmi membuktikan bahawa semangat yang kental amat diperlukan jika ingin berjaya dalam perniagaan. Beliau pernah merasa saat kesusahan, seperti hanya minum air paip di RnR semasa membuat penghantaran susu, dipandang hina oleh orang sekeliling dan sebagainya, tetapi beliau tetap bangkit untuk meneruskan perniagaan ini.

Semoga kita dapat mengambil inspirasi daripada kisah ini dan didoakan empayar Farm Fresh terus berkembang maju dan disegani di mata dunia.

Jemput juga baca kisah biodata Neelofa dan biodata Siti Nurhhaliza

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.