Azim Premji, salah seorang individu terkaya di India mungkin pada hari ini lebih dikenali disebabkan oleh sikap dermawan beliau berbanding kekayaan dan kemahiran perniagaan beliau. Setakat bulan Oktober 2019, Forbes telah melaporkan Premji memiliki nilai bersih sebanyak $7.2 bilion.

Beliau memacu kekayaan beliau daripada pemilikan Wipro Limited (WIT), sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) yang disenaraikan sebagai pengeluar perkhidmatan IT ketiga terbesar di India. Artikel ini akan membawa anda meneliti kemajuan Premji sebagai seorang pemilik perniagaan keluarga yang kecil kepada usahawan paling berpengaruh di India.

Awal Permulaan Wipro

Wipro telah bermula dengan nama Western Indian Vegetable Products Ltd. pada tahun 1945 bapa beliau, Mohamed Premji, seorang pengeluar lemak masakan yang dihidrogenasikan (hydrogenated cooking fats). Pada masa tersebut juga, bapa beliau merupakan peniaga beras yang sudah dikenali.

Azim Premji menamatkan persekolahan beliau di Mumbai dan pada tahun 1966, semasa beliau sedang menghadiri kursus kejuruteraan elektrik di Universiti Stanford, Amerika Syarikat, beliau terpaksa berhenti dan pulang ke India berikutan kematian mengejut bapa beliau. Beliau kemudiannya menjadi pengerusi Wipro pada usia seawal 21 tahun di tengah-tengah penentangan daripada pemegang-pemegang saham.

Beliau telah mengembangkan produk-produk syarikat untuk memasukkan silinder hidraulik, sabun dan produk-produk pencahayaan, dan menamakan semula syarikat kepada Wipro pada tahun 1977.

Penyertaan Premji Ke Sektor Teknologi

Wipro telah memasuki dunia IT pada tahun 1980 selepas IBM keluar daripada India. Syarikat itu bermula dengan mengeluarkan mikrokomputer di bawah perjanjian perkongsian teknologi dengan Sentinel Computers yang berpusat di Amerika Syarikat. Selepas itu, syarikat tersebut menyediakan penyelesaian perisian (software solutions) untuk melengkapkan operasi perkakasannya (hardware operations).

Tahun 1980-an menyaksikan beberapa siri perusahaan oleh Azim Premji dan Wipro. Beliau memulakan sebuah kilang pengeluaran untuk pembuatan sistem “tipping” hidraulik pada tahun 1983, diikuti dengan satu penyertaan kepada pengilangan silinder industri dan silinder hidraulik.

Pada tahun 1989, Wipro membentuk satu usaha sama yang strategik bersama General Electric (GE) untuk mengeluarkan dan mengagihkan produk-produk pengimejan yang dipanggil “Wipro GE Medical Systems”, yang mana telah menjadi sebuah anak syarikat kepada Wipro pada tahun berikutnya.

Mempelbagai Dan Membangunkan Wipro

Berikutan penyahkawalseliaan (deregulation) ekonomi India pada tahun 1991, Wipro mempelbagaikan pengeluaran dengan pembuatan lampu, serbuk, minyak berasaskan bahan-bahan semulajadi, kelengkapan perubatan dan diagnostik, produk-produk perkakasan IT seperti pencetak (printer) dan pengimbas (scanner). Syarikat itu juga telah memasuki perniagaan perkhidmatan IT pada tahun 1990-an dan merupakan antara yang pertama mencuba dengan perkhidmatan IT dari luar negara.

Pada tahun 1999, Wipro menjadi satu-satunya pengeluar komputer India yang menerima pensijilan patuh Y2K (Y2K-compliant certification) daripada Makmal Ujian Perisian Kebangsaan (National Software Testing Laboratory) di Amerika Syarikat. Syarikat itu juga menyertai satu usaha sama dengan KPN untuk menyediakan perkhidmatan internet di India.

Setahun selepas itu menyaksikan Wipro disenaraikan di Amerika Syarikat dalam American Depositary Receipts dan muncul sebagai salah sebuah pengeksport perisian terbesar di India dan syarikat tersenarai yang kedua terbesar di India.

Sepanjang lewat tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an, Wipro terus menunjukkan prestasi yang baik, dengan IT kekal sebagai teras perniagaannya. Syarikat itu juga membuka unit Penyumberan luar Proses Perniagaan (Business Process Outsourcing / BPO) pada tahun 2002 dan merupakan salah sebuah saham yang cemerlang sepanjang tahun 1998 sehingga tahun 2003 di bursa saham India.

Premji telah mewujudkan satu budaya berusaha untuk kecemerlangan di dalam operasi perniagaan, dan Wipro telah berjaya dalam melaksanakan objektif-objektif tersebut yang merupakan sebahagian daripada budaya ini dan menjadi syarikat perisian pertama yang menerima pensijilan SEI Level 5.

Imej via Forbes India

Struktur Korporat Wipro

Perletakan jawatan Vivek Paul, (individu yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Wipro sebuah perniagaan yang bernilai jutaan dolar), sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) pada tahun 2005, membawa kepada perlantikan Azim Premji sebagai CEO sehingga tahun 2008. Ini juga diikuti dengan perubahan dalam struktur korporat yang membawa kepada pelantikan CEO bersama sehingga tahun 2011 apabila syarikat itu kembali kepada CEO tunggal.

Syarikat tersebut menambahkan jawatan ketua pegawai operasi (COO) untuk membantu CEO dan menjaga operasi setiap hari, penghantaran produk, dan kepuasan pelanggan untuk membolehkan CEO memberi tumpuan kepada operasi global dan strategi masa depan.

Selepas krisi kewangan global pada tahun 2008, pertumbuhan perolehan syarikat itu tidak berubah, memaksa pengurusan untuk menstrukturkan semula model perniagaan untuk mencari perniagaan baru di luar pasaran Amerika Syarikat dan dalam lingkungan pasaran domestiknya sendiri.

Di bawah kepimpinan Azim Premji, hasil Wipro meningkat daripada sekitar $2 juta pada akhir tahun 1960-an kepada lebih kurang $7 bilion pada tahun 2014, dengan IT menyumbangkan sebanyak 75% hasil daripada jumlah keseluruhan. Pada bulan Julai 2019, Azim Premji meletakkan jawatan beliau sebagai pengerusi lembaga Wipro dan telah digantikan oleh anak lelaki beliau, Rishad. Dalam laporan tahunan 2018-2019, hasil tahun syarikat tersebut dilaporkan lebih kurang $8.4 bilion.

Selain itu, Azim Premji memiliki syarikat pengurusan harta keluarga beliau sendiri, Premji Invest yang menguruskan sekitar $1 bilion kekayaan peribadi beliau dan melabur di dalam syarikat-syarikat awam serta swasta.

Azim Premji Menumpukan Tumpuan Kepada Kebajikan

Salah satu sebab dan mungkin yang paling utama yang membuatkan Azim Premji diingati adalah sikap dermawan beliau. Beliau telahpun mendermakan sebanyak $21 bilion daripada kekayaan beliau sebagai sebahagian daripada perjanjian “Giving Pledge” perjanjian oleh individu-individu terkaya di dunia untuk mendermakan kebanyakan daripada kekayaan mereka kepada kerja-kerja kebajikan. Beliau merupakan orang India pertama dan orang bukan Amerika ketiga yang membuat perjanjian ini.

Kekayaan yang dimaksudkan juga termasuk dua pertiga daripada saham Wipro beliau, yang mana telah diletakkan di dalam dana berasingan dan akan digunakan untuk tujuan pendidikan. Yayasan Azim Premji telah dibina sebagai sebuah organisasi bukan keuntungan pada tahun 2001 dengan tujuan untuk meningkatkan pendidikan awal di India.

Yayasan tersebut juga telah membina sebuah universiti di Bengaluru, India dan bekerjasama dengan sekolah-sekolah dan kerajaan-kerajaan di pelbagai daerah di India secara menyeluruh, bukan hanya setakat melalui pembiayaan.

Di samping itu, satu perkara lagi yang istimewa tentang Azim Premji adalah bahawa beliau telah berjaya membina sebuah organisasi yang mempunayi reputasi kerana menjadi sebuah syarikat beretika yang komited kepada nilai-nilai utama yang tertentu, dan beliau amat berminat dalam membentuk kumpulan-kumpulan yang berprestasi tinggi.

Jemput juga baca tentang biodata Elon Musk dan biodata Dato Aliff Syukri

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.