Industri percetakan seperti majalah, surat khabar dan novel mula memperlahankan aktiviti percetakan mereka.

Ini bermaksud, banyak pekerja mereka diberhentikan kerja dan menutup beberapa peluang kerja yang lain seperti staf pentadbiran, pengurusan dan perkilangan cetak.

Artikel ini akan cuba melihat trend industri percetakan di Malaysia dan mengkaji punca-punca yang menyebabkan kelembapan industri ini.

Bagus untuk kita fahami dan mungkin boleh ambil pengajaran. Jom baca!

Pengenalan

Industri percetakan kita telah lama bermula bagi pasaran akhbar tempatan sejak zaman belum merdeka dengan penerbitan karya-karya Utusan.

Kalau dulu, media cetak ini dijadikan sebagai medium penyampai maklumat dan perkongsian ilmu yang utama dalam kalangan masyarakat.

Sejak dua tiga tahun ini, kita dikejutkan dengan penutupan operasi syarikat Utusan yang telah banyak sebenarnya melahirkan generasi yang berilmu melalui pembacaan karyanya.

Industri novel juga mula terjejas dengan penutupan beberapa syarikat penerbitan yang tidak boleh pusing modal.

Bagi sesetengah akhbar, harganya terpaksa dinaikkan seperti akhbar Kosmo! bagi menampung kos pengoperasian.

Situasi ini agak menyedihkan kerana kemeriahan dan kerancakan industri percetakan mencerminkan budaya membaca rakyat Malaysia. Membaca pula ialah jambatan ilmu.

Trend Kemerosotan Dunia Percetakan

Di Malaysia, sejak tahun 2013, jualan akhbar sudah mulai menurun sehingga kini.

Pada masa itu, dilaporkan bahawa New Straits Time dan Harian Metro masing-masing mencatatkan penurunan jualan, masing-masing sebanyak 32.4% dan 25%.

Di Amerika Syarikat pula, akhbar-akhbar ternama mereka seperti The New York Post, The Daily News dan USA Today, masing-masing mengalami kemerosotan jualan sebanyak 20.6%, 14.5% dan 7.5%.

Tambah membimbangkan, lebih daripada 1200 jenis akhbar dan majalah di seluruh Amerika dijangka menghentikan operasi mereka menjelang 2030.

Pengaruh Internet dan Dunia Digital

Imej via iLabur

Kewujudan dan penguasaan internet telah dikenal pasti antara punca kejatuhan bisnes industri percetakan.

Dengan adanya internet, pembaca kini beralih kepada pembacaan bahan digital.

Hal ini dibuktikan dengan peningkatan sebanyak 100% bagi bacaan bahan digital sejak 5 tahun yang lepas.

Mengikut data statistik yang dikeluarkan oleh SKMM, golongan dewasa dan belia (20 – 40 tahun) merupakan pengguna internet yang tertinggi (64.8%) di Malaysia, diikuti remaja 15 – 19 tahun (14.2%) dan mereka berumur 40 – 49 (12.2%).

Perkembangan internet ini juga memberi kesan kepada penulisan dan bahan bacaan digital melalui kewujudan blog, laman web dan media sosial.

Tarif data internet yang berpatutan dan tawaran pakej internet yang menarik oleh syarikat Telco seperti Celcom, Digi dan UMobile telah membantu penguasaan internet yang mencapai liputan bandar dan luar bandar.

Selain itu, industri elektrik dan elektronik yang semakin berkembang telah menghasilkan gajet yang mampu milik oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk mengakses internet.

Jika dulu pada era 90an, telefon bimbit merupakan lambang kemegahan, status atau kekayaan seseorang, kini telefon bimbit boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, dengan harga jualan serendah RM50.

Faktor Kelembapan Bisnes Percetakan

Imej via iLabur

#1 Taraf hidup dan ekonomi

Masyarakat akan sentiasa mencari jalan atau cara untuk menjimatkan perbelanjaan melalui penilaian keperluan dan kehendak.

Surat khabar sudah dianggap tidak relevan walaupun surat khabar itu sendiri mempunyai pelbagai faedah. Penilaian ini boleh digambarkan seperti berikut:

Alternatif surat khabar mudah diperolehi – berita dan informasi boleh didapati di hujung jari menggunakan akses internet atau telefon pintar

Surat khabar sebagai kertas bungkus – terdapat banyak bahan pembungkusan (kertas bungkus, plastik) yang lebih murah dan banyak boleh didapati berbanding kos membeli senaskhah surat khabar

#2 Kepesatan teknologi

Surat khabar mengambil masa untuk dicetak dan hanya boleh diperolehi bermula pada pagi hari.

Sekarang, maklumat perkembangan dunia dan sebarang makluman beredar di dunia internet 24 jam di mana-mana saja kita berada.

#3 Peranan kerajaan

Tahukah anda, Kuala Lumpur telah dijadikan sebagai ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO tetapi masih kurang publisiti berkenaan ini.

Tiada usaha yang signifikan yang memperlihatkan kesungguhan menzahirkan acara ini oleh mana-mana pihak.

Sekitar dekad lepas, kerajaan ada menyediakan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) yang telah membantu memeriahkan pembelian bahan bacaan seperti novel, buku cerita dan buku ilmiah.

Penghapusan BB1M ini sedikit sebanyak telah mengurangkan galakan membeli buku dan bahan bercetak.

#4 Persaingan

Selain persaingan digital, persaingan sesama syarikat percetakan turut memburukkan keadaan apabila wujudnya bekalan melebihi permintaan.

Pernah berlaku kebanjiran media cetak berbahasa Inggeris yang sebenarnya menyekat pertumbuhan bahan berbahasa Melayu.

#5 Pengiklanan

Pengiklanan merupakan antara sumber utama pendapatan bagi bahan bercetak khususnya majalah dan surat khabar.

Kini, syarikat pengiklanan telah menukar teknik pemasaran ke arah yang lebih mesra pengguna dan terarah kepada target pengguna melalui pengiklanan digital.

Berbanding dahulu, media cetak merupakan medium utama yang menjadi bahan bacaan masyarakat, maka pengiklanan menerusi media cetak pada masa itu akan meliputi ramai sasaran yang luas.

Pengurangan dana daripada syarikat pengiklanan ini telah menjejaskan kos pengendalian dan pengoperasian sesebuah syarikat percetakan.

#6 Kualiti penulisan

Antara sebab orang ramai tidak menyokong pembelian bahan bercetak sekarang ialah kualiti penulisan yang dirasakan tidak matang atau tidak berbaloi.

Contohnya, lambakan novel fantasi yang mengetengahkan tema percintaan yang tidak sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Penulisan zaman dahulu lebih mengangkat tema perjuangan, kesedaran, falsafah, ilmu pengetahuan dan pengajaran yang sangat berbaloi untuk dimiliki.

Kesimpulan

Media cetak mungkin sedang mengalami “zaman kegelapan” dengan catatan jualan yang menurun dan tidak menguntungkan.

Namun, masih terdapat penggemar di luar sana yang masih berminat untuk mendapatkan bahan bacaan secara fizikal untuk tujuan koleksi simpanan, dijadikan teman membaca atau sebagai alternatif kepada gajet yang tak semua orang boleh hadap dalam masa yang lama.

Perniagaan media cetak ini boleh sama-sama terlibat dengan percetakan digital untuk menyeimbangkan sambutan dan survival dalam industri bahan bacaan ini.

Rujukan

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/2495/BERITA/Nasional/Industri-percetakan-semakin-tenat
  2. Majumder, D., & Hasan, M. M. (2013). Newspaper reading habits of private university students: A case study on World University of Bangladesh. IOSR Journal of business and management12(1), 87-91.
  3. Sannusi, S. N., & Mustaffa, N. (2015). Akhbar versi digital: Implikasi terhadap trend sirkulasi akhbar bercetak di Malaysia. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication31(2).
  4. Vyas, R. S., Singh, N. P., & Bhabhra, S. (2007). Media displacement effect: Investigating the impact of Internet on newspaper reading habits of consumers. Vision11(2), 29-40.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.