Yang di-Pertuan Agong adalah gelaran rasmi bagi Ketua Negara Malaysia dengan gelaran rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sebagai negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong adalah meluas tetapi dalam masa yang masa masih lagi tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Hari ini kami akan kongsikan tugas YDPA Yang di-Pertuan Agong serta kuasa dan budi bicara baginda.

Sumber: Thestar

Pemilihan Yang di-Pertuan Agung

Jawatan Yang di-Pertuan agung digilirkan setiap lima tahun di antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu iaitu sultan-sultan bagi negeri di Malaysia. Apabila sultan sesebuah negeri menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut sepanjang tenpoh perlantikan. PemilihanYang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja haruslah mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Tugas, kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong mempunyai pelbagai kuasa yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Di antara kuasa YDPA ialah:

  • Kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain.
  • Ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan.
  •  Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga berkuasa untuk melakukan tugas-tugas berikut:

  • Melantik Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai keyakinan majoriti Dewan Rakyat Parlimen yang dipilih.
  • Menangguhkan pembubaran parlimen.
  • Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja di Malaysia.

Yang Di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk membubarkan parlimen sekiranya Perdana Menteri  tidak lagi diterima oleh orang ramai. Dalam keadaan ini, Perdana Menteri boleh dipaksa turun oleh undi tidak percaya. Setelah mendapat undi tidak percaya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sama ada untuk membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri atau menolak untuk membubarkan Parlimen dan melantik orang lain sebagai Perdana Menteri yang baru.

Yang di-Pertuan Agong juga berkuasa untuk memperbaharui lantikan seorang Perdana Menteri setiap kali selepas pilihan raya sehinggalah Perdana Menteri  tersebut memutuskan untuk meletak jawatan atau kehilangan majoriti dalam pilihan raya. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melantik pemegang jawatan tinggi Persekutuan di bawah terma Perlembagaan dan pelbagai Akta yang diluluskan oleh Parlimen seperti:

  • Ketua Hakim Negara Malaysia, dengan nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.
  • Hakim Besar Malaya, dengan nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.
  • Hakim Besar Sabah dan Sarawak, dengan nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.
  • Senator.
  • 44 orang ahli Dewan Negara.
  • Gabenor negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak mengikut budi bicara baginda, setelah mempertimbangkan nasihat Ketua Menteri negeri.
  • Datuk Bandar dan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur, yang merupakan Wilayah Persekutuan.
  • Majlis Menteri-menteri (Kabinet). Perdana Menteri sebagai Pengerusi Kabinet akan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Majlis Menteri-menteri daripada kalangan anggota yang dipilih Dewan Rakyat dan memiliki sokongan majoriti Dewan. Kebiasannya mereka yang terpilih adalahpemimpin dari parti atau gabungan.
  • Timbalan Perdana Menteri, Yang di_Peruan Agong juga berkuasa untuk memilih Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri, dengan nasihat Perdana Menteri.
  • Ketua Setiausaha Negara sebagai Setiausaha Kabinet, dengan nasihat Perdana Menteri.
  • Suruhanjaya dan jawatankuasa.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya, atas nasihat Majlis Raja-Raja.
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengikut budi bicara baginda selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai tugas sebagai Ketua Islam di empat buah negeri yang diperintah oleh Yang di-Pertua Negeri yang dilantik, di tiga buah Wilayah Persekutuan, serta di negeri sendiri. Bagi menjalankan tugas tersebut, baginda dinasihatkan oleh Majlis Hal Ehwal Islam Negari di setiap Negeri. Yang di-Pertuan Agong juga bertanggung jawab untul melantik:

  • Pengerusi Majlis.
  • Ahli-ahli setiap majlis.
  • Mufti Negeri di setiap negeri tersebut.
  • Majlis Hal Ehwal Islam yang mempunyai bidang kuasa untuk ketiga-tiga Wilayah Persekutuan juga dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam masa yang sama, Yang di-Pertuan Agung juga memgang tugas sebagai Pemerintah Tertinggi Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia selaras dengan Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong adalah pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia dan bertanggung jawab untuk melantik:

  • Panglima Angkatan Tentera dengan nasihat Majlis Angkatan Tentera.
  • Ketua-ketua perkhidmatan bagi ketiga-tiga cabang tentera.

Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong

Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong adalah termaktub dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjelaskan had-had bagi Yang di-Pertuan Agong seperti:

  • Tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya selain fungsinya sebagai Ketua agama Islam.
  • Tidak boleh memegang apa-apa jawatan lain yang mempunyai saraan.
  • Tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
  • Tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolument atau gaji yang dibayar kepada baginda sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.
  • Tidak boleh tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja untuk meninggalkan Malaysia lebih daripada lima belas hari kecuali untuk lawatan rasmi.

Itulah dia info tentang tugas Yang di-Pertuan Agong (kuasa budi bicara ydpa) yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang biodata dan sejarah Tunku Abdul Rahman

Rujukan:

1. Inilah Tugas Sebenar Yang Dipertuan Agong. Iluminasi

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.