Anxiety attack boleh berlaku apabila seseorang takut akan sesuatu yang buruk akan berlaku. Ianya merupakan satu istilah bukan perubatan yang merujuk kepada perasaan takut atau bimbang yang biasanya dikaitkan dengan sesuatu isu atau masalah. Keresahan juga dikaitkan dengan tekanan. Seperti perasaan takut dan bimbang, keresahan biasanya melibatkan simptom-simptom fizikal seperti tegang otot.

Namun begitu, serangan keresahan adalah berbeza dengan serangan panik, yang mana merupakan satu simptom gangguan panik. Keresahan biasanya berkaitan dengan peristiwa atau situasi tertentu, walau bagaimanapun, ianya tidak semestinya berkaitan dengan peristiwa atau situasi tertentu. Sementara itu, serangan panik boleh berlaku tanpa sebarang sebab tertentu, dan simptomnya adalah lebih teruk berbanding simptom-simptom keresahan.

Walau bagaimanapun, sekiranya tahap tekanan dan keresahan ini berterusan untuk satu tempoh masa yang panjang, yang mana mungkin menimbulkan masalah-masalah baru.

Serangan Keresahan VS Serangan Panik

Keresahan boleh menjadi satu simptom untuk panik, namun begitu serangan keresahan adalah berbeza daripada serangan panik. Berikut merupakan antara perbezaan yang membezakan kedua-duanya;

1. Perbezaan istilah

Istilah serangan keresahan atau “anxiety attack” tidak disenaraikan di dalam American Psychological Association’s (APA’s) Diagnostic and Statistical Manual 5th Edition (DSM-V), manakala serangan panik atau “panic attack” merupakan simptom kepada gangguan panik “panic disorder” di dalam DSM-V, yang mana hanya mereka yang mempunyai lesen secara profesional sahaja boleh mendiagnosis gangguan panik.

2. Perbezaan simptom

Serangan panik dan keresahan kedua-duanya boleh melibatkan ketakutan, berdebar-debar atau jantung berdegup kencang, pening kepala, sakit dada, sukar bernafas dan pemikiran tidak rasional.

Namun begitu, di dalam serangan panik, simptom-simptom ini lebih teruk di mana individu yang mengalaminy benar-benar percaya yang dirinya akan mati. Justeru, seseorang itu lebih perlu mendapatkan bantuan perubatan sekiranya mengalami serangan panik berbanding sekiranya seseorang itu mengalami serangan keresahan.

3. Perbezaan punca berlaku serangan

Serangan keresahan boleh menjadi satu tindak balas kepada kebimbangan atau ketakutan tertentu. Ia cenderung untuk berkembang secara berperingkat dan seseorang itu biasanya merasa bimbang atau risau sejak dari awal lagi. Ia boleh menjadi ringan, sederhana atau teruk. Ia juga masih mempunyai perasaan yang sekiranya masalah tersebut boleh diselesaikan, semua perkara ini akan hilang.

Sementara itu, serangan panik boleh terjadi tanpa sebarang amaran, dan tidak terdapat cara untuk menghalangnya. Ia boleh terjadi apabila seseorang itu merasa tenang atau resah, mahupun ketika tidur. Kebiasaannya, tidak mempunyai punca yang jelas, dan tahap ketakutan tidak sesuai dengan penyebab atau pencetus. Malahan, menurut APA, reaksi serangan panik tidak berkaitan dengan situasi.

4. Perbezaan jangka masa

Serangan keresahan biasanya dikaitkan dengan situasi tertentu. Ia cenderung untuk berkembang dan berterusan untuk beberapa ketika. Namun, serangan panik bermula secara tiba-tiba. Simptom-simptom biasanya memuncak selepas 10 minit dan biasanya berkurang selepas 30 minit ataupun lebih, walau bagaimanapun, kesannya mungkin akan kekal lebih lama. Keresahan biasanya tidak memuncak seperti ini, tetapi sesetengah orang yang mempunyai keresahan boleh mengalami serangan panik.

Bolehkah Keresahan Membawa Kepada Serangan Panik?

Seseorang yang mengalami gangguan panik mungkin mengalami keresahan bahawa mereka akan mengalami serangan panik. Ketidakpastian berkenaan perkara tersebut atau bila serangan akan berlaku boleh membawa kepada keresahan.

Bagi seseorang yang mengalami gangguan panik, keresahan boleh mencetuskan serangan panik. Rasa takut akan mengalami serangan panik boleh menjejaskan tingkah laku mereka dan keupayaan untuk berfungsi dalam kehidupan seharian. APA mencadangkan berkemungkinan terdapat faktor biologi yang menyebabkan gangguan panik, namun pakar sains masih belum mengenalpasti penyebab tertentu.

Imej via iLabur

Tanda-Tanda Serangan Keresahan

Ramai orang mengalami keresahan pada suatu ketika di dalam kehidupan mereka. Malahan, keresahan merupakan satu tindak balas yang sangat normal terhadap peristiwa kehidupan yang begitu menekankan seperti berpindah, penukaran pekerjaan atau menghadapi masalah kewangan.

Namun begitu, apabila simptom keresahan menjadi lebih besar daripada peristiwa yang mencetusnya dan mula mengganggu kehidupan anda, ia boleh menjadi tanda-tanda serangan keresahan.

Serangan keresahan boleh melemahkan anda, namun ianya boleh diuruskan dan menyedari tanda-tanda serangan merupakan langkah pertama untuk menguruskannya. Justeru, berikut merupakan antara tanda-tanda serangan keresahan;

1. Kebimbangan berlebihan. Kebimbangan yang berlebihan tentang kehidupan seharian merupakan ciri umum serangan keresahan, terutamanya sekiranya ia cukup teruk untuk mengganggu kehidupan harian dan berterusan hampir setiap hari untuk tempoh enam bulan.

2. Merasa gelisah. Degupan jantung yang kencang. berpeluh-peluh, menggigil dan mulut kering merupakan tanda-tanda biasa keresahan. Individu yang mengalami serangan keresahan mungkin mengalami keadaan ini unutk satu tempoh masa yang panjang.

3. Keletihan. Keletihan boleh menjadi satu tanda serangan keresahan sekiranya ianya diikuti dengan kebimbangan berlebihan. Walau bagaimanapun, ianya juga boleh menunjukkan gangguan perubatan lain.

4. Sukar untuk memberi tumpuan. Kesukaran untuk memberikan tumpuan juga merupakan satu tanda serangan keresahan, dan ianya merupakan simptom-simptom yang dinyatakan di dalam kebanyakan laporan berkenaan serangan keresahan.

5. Cepat marah. Kebanyakan individu yang mengalami serangan keresahan merasa cepat marah, terutamanya apabila keresahan semakin teruk.

6. Otot tegang. Ketegangan otot biasanya dikaitkan dengan keresahan, namun arah perkaitan ini masih tidak difahami dengan jelas. Melegakan ketegangan otot telah terbukti dapat mengurangkan keresahan.

7. Sukar tidur. Masalah untuk tidur merupakan perkara yang sangat biasa bagi individu yang mengalami serangan keresahan. Merawat keresahan biasanya boleh membantu meningkatkan kualiti tidur.

Tips Mengatasi Serangan Keresahan

Antara tips atau cara-cara untuk mengatasi serangan keresahan adalah seperti berikut;

1. Ketahui tanda-tanda serangan. Sekiranya anda mengetahui bila untuk mengenalpasti tanda-tanda yang anda sedang tertekan atau terlebih resah, anda mungkin boleh mengambil beberapa tindakan. Antara tanda-tanda adalah seperti yang dinyatakan di atas.

2. Diet. Gaya hidup yang sibuk boleh menyebabkan terlalu banyak makanan segera dan kurang senaman. Cubalah untuk mengambil makanan yang sihat atau bawalah bekal daripada rumah dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak, daripada membeli burger.

3. Senaman. Duduk terlalu lama di depan skrin komputer atau ketika memandu memberikan kesan. Cubalah sediakan masa rehat 30 minit untuk bersiar-siar dalam sehari untuk meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan anda.

4. Belajar beberapa teknik menenangkan diri. Pernafasan gaya yoga, meditasi dan strategi-strategi yang lain boleh mengurangkan tekanan dan keresahan. Terdapat banyak bukti juga berkenaan dengan penggunaan aromaterapi boleh mengurangkan tekanan, walau bagaimanapun, kajian lanjut masih diperlukan.

5. Bersosial. Luangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan, atau carilah kumpulan atau persatuan yang membolehkan anda berjumpa dengan orang lain, sebagai contoh, menyertai kerja-kerja sukarelawan atau kumpulan sokongan. Anda akan dapati orang di sekeliling anda dapat memberikan sokongan emosi dan praktikal kepada anda.

Kesimpulan

Serangan keresahan merupakan sesuatu yang berbahaya jika dibiarkan berpanjangan. Walaupun serangan keresahan tidak seteruk serangan panik, namun begitu langkah-langkah pencegahan dan penyelesaian harus tetap perlu dijalankan supaya anda dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa dan gembira.

Jemput juga baca tentang strok

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.