Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah perdana Menteri Malaysia yang pertama dan merupakan bapa kemerdekaan Malaysia. Setiap kali tibanya 31 Augus setiap tahun, pastinya kita akan mendengar laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”semasa Malaysia diisyhtiharkan sebagai sebuah negara merdeka dari penjajahan British. Istimewa untuk mengingati semula perjuangan dan sumbangan beliau kepada tanah air tercinta, hari ini kami akan kongsikan biodata dan sejarah Tunku Abdul rahman untuk merdeka.

Sumber: Iluminasi

Biodata ringkas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Menurut catatan sejarah, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Anak kelahiran Kedah ini merupakan putera kepada Sultan Abdul Hamid Halimshah iaitu Sultan Kedah yang ke-24 dan bonda beliau bernama Nearng atau lebih dikenali sebagai Makche Menjalara iaitu seorang wanita cantik berketurunan Thailand. Beliau adalah putera ke20 bagi pasangan diraja tersebut.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Alor Star dan Sekolah Inggeris sebelum di hantar ke Bangkok dan dimasukkan ke Sekolah Debsurin. Tidak lama kemudian beliau pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu sebelum memasuki Penang Free School. Akhirnya beliau dihantar untuk melanjutakan pelajaran ke St. Catherine’s College, Universiti Cambridge, England.

Tunku Abdul Rahman merupakan  anak melayu pertama yang memasuki  universiti inggeris dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Sejarah dari Universiti Cambridge. Pada tahun 1933, beliau berkahwin dengan Meriam, seorang gadis cina yang memeluk agama islam. Mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Tunku Khadijah dan Tunku Nerang.

Kerjaya Tunku Abdul Rahman

Tunku memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Daerah dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah di beberapa Daerah di Kedah termasuk Kuala Nerang dan Pulau Langkawi.  Semasa bertugas di Kuala Nerang, daerah tersebut mengalami wabak demam malaria dan isterinya meninggal dunia akibat demam malaria di sana. Kemudian Tunku Abdul Rahman berkahwin dengan Sharifah Rodziah Binti Syed Alwi Barakhah dan perkahwinan ini kekal sehingga ke akhir hayat beliau.

Pada tahun 1940 Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Kedah Selatan. Apabila Jepun menyerahkan Kedah kepada negara Thai pada tahun 1941, Tunku dilantik menjadi Penyelia Pelajaran dan beliau menyandang jawatan tersebut hingga British menjajah Tanah Melayu semula.

Sumber: Thesundaily

Setelah tamat perang dunia kedua, Tunku Abdul Rahman menyertai politik menentang Malayan Union dan membangkitkan kesedaran kemerdekaan di kalangan rakyat Tanah Melayu. Bersama pemimpin UMNO, beliau berusaha mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjadi Timbalan Pendakwa Raya di bawah Jabatan Undang-Undang Persekutuan dan kemudiannya menjadi Presiden Session Court.  Setelah Dato On Jaafar meletak jawatan, Tunku Abdul Rahman dilantuk sebagai Dipertua UMNO yang ke-2 .

Sumbangan dan perjuangan Tunku Abdul Rahman untuk kemerdekaan Malaysia

Sumbangan pertama beliau ialah untuk memupuk kerjasama di antara kaum dan dalam masa yang sama menjaga keutuhan bangsa Melayu seperti hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu, penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas dasar pelajaran kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi. UMNO berkerjasama dengan MCA dan MIC dan membentuk konsensus dalam Perikatan dan pemimpin-pemimpin Perikatan mengadakan rombongan pertama Perikatan ke London pada  tahun 1954 tetapi tidak beroleh kejayaan.

Pada Julai tahun 1955, pilihanraya umum pertama diadakan di Malaysia dan Perikatan mencapai kejayaan cemerlang dengan mendapat 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Dengan majoriti yang diperolehi, Perikatan melakukan rombongan kali ke dua ke London dan ia diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Dalam rombongan ini Tunku Abdul Rahman berusaha untuk menamatkan keganasan komunis secara damai.

Pada 9 September 1955, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan pengampunan bagi  komunis yang menyerah diri. Rundingan Baling telah diadakan pada 28 hingga 29 Disember 1955 di antara Parti Komunis Tanah Melayu dengan kerajaan. Parti Komunis Tanah Melayu telah diwakili oleh Chin Peng, Chin Tien dan Rashid Maidin sementara Kerajaan pula diwakili oleh Tunku Abdul Rahman danTun Tan Cheng Lock. Namun rundingan ini gagal apabila Chin Peng menolak cadangan Tunku agar komunis meletakkan senjata tanpa syarat. Tunku Abdul Rahman berjaya mengalahkan komunis lima tahun kemudian.

Pada tahun 1956, Tunku mengetuai rombongan ke London untuk berbincang dengan Kerajaan British mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu. Kali ini beliau membawa empat orang wakil Raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan. Akhirnya beliau berjaya mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu dan tarikh Kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Akhirnya pada 30 Ogos 1957, tepat pukul 12 tengah malam bendera Tanah Melayu pun dinaikkan bagi menggantikan bendera Union Jack. Keesokan harinya  di Stadium Merdeka, Tunku membaca Pengisytiharaan Kemerdekaan dan  kedengaran pekikan “Merdeka!” sebanyak tiga kali oleh Tunku Abdul Rahman. Setelah kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Di antara usaha pertama beliau sebagai Perdana Menteri ialah untuk menyatu-padukan rakyat dan meningkatkan kemajuan ekonomi. Tunku Abdul Rahman memperkenalkan Rancangan Malaya yang pertama  pada tahun 1956 dengan fokus untuk membangunkan Tanah Malaya. Pada tahun 1960, darurat selama 12 bulan diisytiharkan tamat apabila komunis berjaya dihentikan.

Jom juga baca tentang biodata ringkas Tun Dr Mahathir.

Rujukan:

1. Tuanku Abdul Rahman. UMNO Online

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.