Menabung bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi jika kita termasuk dalam kategori mereka yang mempunyai gaji yang kecil dan cukup-cukup makan sahaja. Menabung juga tidak mudah bagi golongan yang boros berbelanja. Ia juga tidak mudah bagi mereka yang mempunyai masalah disiplin untuk menyimpan dan tidak mengorek simpanan dalam tabung. Jom lihat tips dan cara menabung di rumah yang anda boleh cuba.

Sumber: Twitter

1. Paksa rela

Tips pertama untuk anda ialah paksa diri untuk menabung walau pun sedikit. Jika anda tidak mampu untuk menyimpan dalam jumlah yang banyak, anda boleh bermula dengan nilai yang sedikit walau pun sekadar duit siling atau pun not RM1. Kata orang tua, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

2. Letak dan lupa

Apabila anda dah masukkan duit ke dalam tabung, lupakan duit tersebut. Konsep yang perlu diamalkan ialah letak dan lupa. Ia akan mengelakkan anda daripada mengorek tabung dan menggunakan wang yang sepatutnya disimpan untuk masa depan atau kegunaan dikala berlakunya kecemasan.

3. Simpan dalam tabung yang tak mudah untuk dibuka

Jika anda seorang yang suka mengorek tabung, ini adalah tips yang sangat berguna untuk anda. Gunakan tabung yang tidak mudah untuk dibuka. Dengan cara ini, ia akan menghalang anda daripada mengambil wang tabungan. Pada hari ini terdapat banyak tabung tidak boleh dibuka yang dijual di pasaran dengan harga yang murah. Dengan tabung jenis ini, ia hanya dipecahkan apabila ia penuh, jika tidak ia akan rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

4. Simpan  tabung di tempat yang tidak selalu dipandang mata

Elakkan daripada meletakkan tabung di tempat yang anda selalu pandang. Lagi kerap anda melihatb tabung, keinginan anda untuk mengorek tabung akan meningkat. Seeloknya simpan tabung di tempat yang tidak selalu dipandang mata. Mungkin anda boleh simpan di dalam laci, di dalam almari. Atau di bawah katil.

5. Tuliskan objektif anda menabung dan baca semula setiap kali rasa ingin mengorek tabung

Bagi meningkatkan motivasi anda untuk menabung dan mengelakkan berlakunya peristiwa mengorek tabung, kami cadangkan anda tulis objektif anda menabung. Senaraikan sebab-sebab anda menabung, apa yang anda ingin beli dan bila. Sebagai contoh, anda menabung untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan shopping coklat sepuasnya semasa cuti sekolah bulan 12.

Sumber: Kashoorga

6. Simpanan emas

Jika anda menabung dalam bentuk duit, ada kemungkinan yang anda mungkin akan menggunakan duit tersebut. Jika anda sejenis yang tidak berdisiplin dalam menabung, kami cadangkan anda menabung dalam bentuk emas. Simpanan emas lebih selamat bagi anda dan sebagai bonus, nilai emas akan sentiasa naik dari semasa ke semasa.

7. Simpan duit siling yang diperolehi semasa berbelanja

Ramai yang tidak menganggap duit siling sebagai sesuatu yang berharga. Hari ini kami ingin mengajak anda untuk menyimpan duit siling yang diperolehi semasa berbelanja. Simpan semua suit siling yang diperolehi dan masukkan kedalam tabung sebaik sahaja sampai di rumah. Apabila cukup setahun, bawa duit siling tadi ke bank untuk ditukar kepada duit kertas atau dimasukkan ke dalam akaun.

Anda pasti tidak akan percaya berapa banyak wang yang anda perolehi hasil dari menabung duit siling yang selama ini sering dipandang sebelah mata. Namun, elakkan daripada mengutip duit siling yang anda temui di atas lantai atau jalanan kerana ada sihir yang dihantar dengan menggunakan duit siling. Jika anda bercuti ke Bali, Indonesia jangan sesekali mengutip duit siling yang bertaburan di atas tanah kerana itu adalah suit siling yang digunakan untuk sembahyang dan berdoa bagi agama mereka.

8. Asingkan gaji untuk dimasukkan kedalam tabung

Cara menabung di rumah yang seterusnya ialah dengan cara mengasingkan duit gaji untuk dimasukkan kedalam tabung setiap kali anda mendapat gaji. Bahasa mudahnya, setiap kali dapat gaji pastikan anda terus asingkan jumlah yang akan disimpan didalam tabung. Dengan cara ini, nak tak nak anda akan mempunyai duit tabungan setiap bulan. Tips dari kami, asingkan jumlah yang memadai dan tidak membebankan. Jika anda mempunyai lebihan wang dalam minggu atau bulan tersebut, boleh dimasukkan kedalam tabung tadi.

9. Didik amalan menabung sejak kecil

Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dah menjadi buluh, sudah tidak dapat dilentur. Begitu juga dengan tabiat menabung, ianya perlu disemai dalam diri sejak kita kecil. Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggung jawab anda untuk mendidik anak untuk menabung sejak kecil. Ajar anak untuk menyimpan duit raya ke dalam tabung dan sama-sama pergi ke bank untuk memasukkan ke dalam akaun bank anak-anak. Pastinya anak anda akan bersemangat untuk menabung.

10. Namakan tabung untuk setiap tujuan tertentu

Cara menabung di rumah yang terakhir ialah dengan cara menamakan setiap tabung untuk tujuan tertentu. Dengan cara ini, anda akan berasa seronok melihat tabung tersebut semakin penuh dari hari ke hari. Sebagai contoh, sediakan satu tabung yang bernama “Pulau Langkawi Disember 2020”untuk percutian akhir tahun bersama anak-anak. Dengan mewujudkan tabung khas sebegini, ahli keluarga yang lain juga boleh sama-sama menyumbang. Lagi ramai yang menyumbang, lagi cepat tabung akan penuh.

Sumber: Marketwatch

Itulah dia info  tentang tips menabung di rumah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara didik anak suka menabung dan tips latih diri suka menabung.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.