Mencari cara buka francais yang terkenal? Adakah anda berminat untuk memiliki kedai jualan francais seperti Seven Eleven, Cool Blog, Tealive, Uncle Bob dan sebagainya?

Baca dulu artikel ni tau untuk kenali dan fahami mengenai perniagaan francais serta cara-cara untuk membuka cawangan francais.

Semoga bermanfaat.

Pengenalan

Francais adalah kaedah pemasaran dan edaran barangan produk menggunakan kekuatan jenama produk yang telah sedia kukuh.

Hubungan perniagaan ini ialah antara francaisor (pemilik hak perniagaan asal) dan francaisi (penerima hak untuk membuka cawangan francais untuk diuruskan sendiri).

Di Malaysia, cawangan francais yang banyak dibuka ialah kedai yang berkonsepkan hidangan makanan dan pakaian. Pecahan peratus cawangan francais boleh dilihat sebagaimana berikut:

  • Makanan (30%)
  • Pakaian dan aksesori (15%)
  • Pusat pembelajaran dan latihan (12%)
  • Perkhidmatan (10%)
  • Pusat kecantikan/kesihatan (4%)
  • Automotif (3%)
  • Pasar raya/mini (3%)
  • Dekorasi/cenderamata (3%)
  • Perhotelan/pelancongan (3%)
  • Kedai buku/alat tulis (3%)
  • Kosmetik/penjagaan kesihatan (3%)
  • Barang kemas (2%)
  • Optometrist (2%)
  • Pusat telekomunikasi (2%)
  • Farmasi (2%)
  • Pakar runding (1%)
  • Komputer (1%)

Setiap perusahaan francais terlebih dahulu diwajibkan untuk berdaftar dengan Registrar of Franchise (ROF) di bawah Akta Francais 1998. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu jenayah!

Pengurusan Francais di Malaysia

Antara institusi yang membantu pengurusan kewangan bisnes francais ialah Perbadanan Nasional Berhad (PNS). KPDNKK pula merupakan kementerian yang mengendalikan polisi dan peraturan melibatkan francais.

PNS yang di bawah kelolaan KPDNKK bertanggung jawab menguruskan perkembangan agensi francais dan menyalurkan dana kewangan.

Selain itu, Persatuan Francais Malaysia (Malaysian Franchise Association, MFA) adalah badan bukan kerajaan yang membantu urusan francais dan mengumpul maklumat berkaitan francais di Malaysia.

Persatuan Francais Malaysia (MFA)

Objektif penubuhan MFA adalah untuk:

  1. Membantu kebajikan ahli francais yang bernaung di bawah MFA
  2. Menggalakkan amalan perniagaan yang beretika
  3. Mengekalkan imej francais yang baik di mata dunia
  4. Menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan penglibatan aktif lebih ramai Bumiputra dalam bisnes francais
  5. Memastikan hubungan perniagaan yang jelas antara francais dalam negara dan luar negara

Kelebihan Menjadi Ahli MFA

Penyertaan menjadi ahli MFA adalah tidak wajib bagi sesiapa yang ingin membuka francais, tetapi MFA boleh menawarkan banyak kelebihan untuk mengembangkan perniagaan anda sama ada secara dalam negara atau luar negara.

MFA turut mempunyai kumpulan penyelidikan sendiri yang sentiasa akan mencari usaha meningkatkan industri francais negara.

Berikut ialah kelebihan-kelebihan yang boleh diperolehi jika anda berdaftar dengan MFA:

  • Dikenali sebagai ahli persatuan yang disegani di rantau ini
  • Dibenarkan menggunakan semua kemudahan di MFA dan logo korporat untuk tujuan pengiklanan
  • Mendapat promosi pengiklanan dan pemasaran secara intensif bersama program pemasaran yang dianjurkan oleh MFA
  • Mendapat diskaun bagi bengkel-bengkel keusahawanan yang dianjurkan oleh MFA
  • Mengembangkan prospek perniagaan
  • Mendapat nasihat dan bimbingan profesional melalui klinik francais yang disediakan
  • Bertukar-tukar pendapat di forum MFA
  • Menerima info terbaru yang berkaitan dengan industri francais

Pembukaan Perniagaan Francais

Antara syarat untuk memulakan bisnes francais ialah, sesebuah syarikat itu perlulah

  • Telah beroperasi lebih daripada 3 tahun
  • Berdaftar sebagai syarikat Sdn. Bhd. di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  • Melengkapkan manual operasi dan manual latihan
  • Pendaftaran francais perlu dibuat di Bahagian Perkembangan Francais, KPDNKK

Bantuan Kerajaan Buat Syarikat Francais

Program Pembangunan Francais

Program Pembangunan Francais (PPF) adalah satu program pemasaran berteraskan Konsep Persyarikatan Malaysia bertujuan membangunkan usahawan-usahawan kecil dan sederhana (UKS) di sektor perdagangan, perkhidmatan dan perindustrian.

Pelaksanaan Sistem Francais memungkinkan penyertaan UKS ke dalam satu rangkaian perniagaan tempatan dan antarabangsa yang besar tanpa risiko yang tinggi.

“Di bawah PPF, syarikat induk atau francaisor memberikan hak pemasaran/pengedaran yang komprehensif kepada UKS atau syarikat francaisi bagi menjalankan sebuah perniagaan yang berdaya maju dan kompetitif, berdasarkan satu kontrak yang dipersetujui bersama untuk satu tempoh masa tertentu dan dijalankan pada suatu kawasan yang telah dikenal pasti.”

Syarikat Francaisor ialah syarikat induk yang membenarkan Francaisi menggunakan sistem francais dan memasarkan barang-barang keluaran mereka mengikut syarat-syarat tertentu. Francaisi ialah syarikat yang dibenarkan memasarkan barang-barang keluaran menggunakan sistem francais Francaisor termasuk menggunakan nama, logo dan rekabentuk Francaisor.

Antara kebaikan program ini ialah:

Francaisi

  • Risiko perniagaan yang lebih rendah
  • Peluang memasarkan barangan atau perkhidmatan yang diterima ramai
  • Faedah ekonomi bidangan
  • Bimbingan pengurusan perniagaan yang cekap
  • Khidmat sokongan yang berterusan daripada Francaisor, agensi Kerajaan dan institusi kewangan

Francaisor

  • Berpeluang meluaskan perniagaan tanpa penggunaan modal sendiri
  • Faedah ekonomi bidangan
  • Perkongsian risiko
  • Mengurangkan masalah pengurusan sumber manusia
  • Mendapat maklumbalas perniagaan yang lebih luas
  • Lebih tumpuan kepada kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Syarat Penyertaan sebagai Francaisi dalam Skim Ini

  • Bumiputera
  • Individu (Permohonan daripada syarikat boleh dipertimbangkan dengan syarat sekurang-kurangnya 70% ekuiti syarikat hendaklah dipegang oleh pemohon)
  • Sekurang-kurangnya 30% daripada kos projek dibiayai oleh pemohon tanpa melibatkan pinjaman kewangan
  • Mengenalpasti premis atau lokasi yang sesuai dan strategik
  • Mempunyai perancangan perniagaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun

Proses Pemilihan

  • Pemohon mengemukakan permohonan menggunakan Borang Profail Francaisi.
  • Tapisan dibuat ke atas borang permohonan dan pemohon-pemohon yang memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan akan diperakukan kepada syarikat francaisor
  • Syarikat francaisor akan menilai kesesuaian calon dan membuat perlantikan bagi calon-calon yang layak

Syarat-Syarat Penyertaan Sebagai Francaisi Induk

  • Badan korporat Bumiputera atau syarikat bertaraf Bumiputera atau individu Bumiputera
  • Berkeupayaan menyediakan modal yang diperlukan
  • Mematuhi peraturan dan cara pengurusan yang ditetapkan oleh Francaisor
  • Bersedia membimbing bakal-bakal Francaisi di masa hadapan
  • Lain-lain syarat yang ditetapkan di bawah syarat-syarat Penyertaan Sebagai Francaisi

Syarat-Syarat Penyertaan Sebagai Francaisor

  • Pemohon mengemukakan permohonan menggunakan Borang Permohonan Francaisor.
  • Produk yang hendak difrancaiskan telah kukuh dan diterima ramai
  • Mempunyai dokumen penzahiran yang lengkap dan komprehensif
  • Terdapat buku panduan atau manual operasi yang terperinci dan lengkap
  • Program latihan yang lengkap dan berterusan
  • Sistem perakaunan yang seragam
  • Khidmat nasihat teknikal mengenai peralatan dan kesesuaian lokasi
  • Menyediakan khidmat pengawasan bagi memastikan penghasilan produk & perkhidmatan adalah berkualiti dan seragam
  • Mempunyai perancangan perniagaan yang menyeluruh

Usahawan-usahawan yang layak dan berpotensi untuk dilantik sebagai francaisi dan syarikat-syarikat perniagaan atau usahawan yang mempunyai produk yang berpotensi untuk difrancaiskan adalah dipelawa menyertai PPF. Semoga tips cara buka francais ini membantu.

Selamat maju jaya!

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.