Agak-agaknya, apakah jenis-jenis kerjaya jurutera yang boleh didapati?

Kursus kejuruteraan merupakan bidang yang sangat popular di kebanyakan universiti di Malaysia. Bukan sesuatu perkara yang unik jika kebanyakan pelajar zaman kini memilih kursus tersebut.

Bukan sahaja atas dasar minat, malah pendapatan yang tinggi serta peluang pekerjaan yang luas merupakan antara punca kursus itu menerima sambutan yang hangat di kalangan pelajar.

engineer

Imej via Stencil

Jadi, apakah kerjaya jurutera yang menarik yang boleh diceburi? Kami ada sediakan senarainya buat anda. Jadi, teruskan membaca!

#1 Jurutera Awam

Jurutera awam merupakan salah satu kerjaya yang penting dalam membina dan mereka bangunan. Bangunan-bangunan yang berdiri megah yang kita lihat pada masa kini merupakan hasil kebijaksanaan jurutera awam.

Jurutera awam juga bertanggungjawab dalam memastikan tapak bangunan yang dibina dinilai dengan terperinci bagi memastikan keberkesanan pembangunannya.

Penyiasatan tapak bangunan merupakan aspek yang sangat penting bagi memastikan keselamatan struktur bangunan tersebut. Ini juga termasuk dalam tanggungjawab utama seseorang jurutera awam.

#2 Jurutera Perisian

Bagi yang mengambil kursus sains komputer, semestinya nama kerjaya ini sudah tidak asing lagi buat anda. Ianya juga merupakan antara kerjaya popular bagi kursus tersebut.

Jurutera perisian menerapkan prinsip-prinsip kejuruteraan bagi reka bentuk, pembangunan, penyelenggaraan, pengujian, dan penilaian perisian dan sistem yang membolehkan peralatan yang mengandungi perisian berfungsi.

Tugas utama jurutera perisian ialah  mereka atau mengubah perisian bagi menjamin kualiti yang terbaik untuk perisian tersebut. Mencipta sistem yang menepati kehendak pelanggan merupakan satu aspek terpenting dalam kerjaya jurutera perisian ini.

#3 Jurutera Elektronik

Telefon pintar dan gajet canggih yang berada di tangan anda sekarang ini merupakan hasil inovasi jurutera elektronik. Mereka merupakan antara pihak yang bertanggungjawab merekanya.

Kerjaya ini di bawah kursus kejuruteraan elektronik, yang merupakan salah satu cabang kejuruteraan elektrik. Bezanya, kejuruteraan elektronik lebih memfokuskan kepada litar elektronik.

Ditambah pula dengan teknologi yang semakin membangun, jelas yang kerjaya jurutera elektronik ini sangat diperlukan di negara kita.

#4 Jurutera Mekanikal

Satu lagi kerjaya jurutera yang cukup ‘panas’ di negara kita ialah jurutera mekanikal. Kerjaya ini merupakan satu bidang yang berkaitan dengan  pembangunan dan pembuatan sesuatu produk.

Salah satu tugas utama bagi bidang kerjaya ini ialah mereka bentuk mesin-mesin pengeluaran serta peralatan perindustrian yang banyak digunakan pada masa kini.

#5 Jurutera Kimia

Kejuruteraan kimia adalah cabang kejuruteraan yang menggunakan prinsip-prinsip kimia, fizik, matematik, biologi, dan ekonomi untuk menggunakan, menghasilkan, mengangkut dan mengubah tenaga dan bahan dengan efisien.

Selain daripada bidang cari gali, jurutera kimia juga boleh menceburkan diri dalam industri lain. Contohnya, baja, bahan api, dadah, farmaseutikal dan makanan.

Bukan sahaja menghasilkan produk-produk yang besar sumbangannya kepada manusia sejagat, sumber bahan mentah yang memajukan ekonomi juga turut disumbangkan oleh cabang kejuruteraan ini.

#6 Jurutera Mekatronik

Kejuruteraan mekatronik merupakan gabungan tiga cabang bidang kejuruteraan iaitu kejuruteraan mekanik, elektronik dan perisian. Jurutera mekanik merupakan profesion bagi cabang ini.

Mereka bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian kepada masalah perindustrian dengan menggunakan teknologi mekanikal / elektronik / sains komputer yang merupakan kemahiran utama mereka.

Jurutera mekatronik akan menggabungkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tersebut untuk menghasilkan produk seperti dron, robot dan barangan elektronik.

#7 Jurutera Alam Sekitar

Kejuruteraan alam sekitar merupakan penggunaan ilmu sains dan kejuruteraan untuk membaiki alam sekitar. Ianya  untuk menyediakan air, udara dan tanah yang bersih untuk penghabitatan manusia dan organisma lain serta pemulihan kawasan tercemar.

Walaupun jarang didengari, jurutera alam sekitar memainkan peranan yang penting dala penjagaan kualiti alam sekitar di negara kita.

Mereka mempraktikkan ilmu sains dan kejuruteraan untuk membaiki alam sekitar. Contohnya,menyediakan air, udara dan tanah yang bersih untuk penghabitatan manusia dan organisma lain serta pemulihan kawasan tercemar.

#8 Jurutera Elektrik

Jika kami sebut sahaja nama kerjaya ini, pasti anda sudah terbiasa mendengarnya. Jelas menunjukkan betapa pentingnya kerjaya ini di negara kita.

Bidangnya sendiri iaitu kejuruteraan elektrik juga merangkumi pelbagai cabang, elektronik dan mekatronik merupakan antaranya.

Peranan utama jurutera elektrik ialah mengendalikan perekaan sistem telekomunikasi, operasi stesen kuasa, pencahayaan dan pendawaian bangunan, perekaan alatan rumah atau mesin industri.

#9 Jurutera Rangkaian Komputer

Jurutera rangkaian adalah seseorang yang mempunyai kepakaran untuk merancang, melaksanakan dan mengawasi rangkaian komputer yang menyokong perkhidmatan suara, data, video dan rangkaian tanpa wayar.

Tugas mereka termasuklah memilih perisian yang patut digunakan bagi menepati spesifikisasi yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi disamping memperbaiki peralatan dan sistem yang sudah lama.

Mereka akan membuat lakaran kepada rangkaian, menjalankan ujian terhadap rangkaian tersebut dan membangunkannya, serta membuat penyelengaraan terhadap rangkaian tersebut.

#10 Jurutera Aeroangkasa

Kejuruteraan Aeroangkasa merupakan sebuah disiplin kejuruteraan yang berkaitan dengan sains dan pembangunan kenderaan penerbangan yang beroperasi di dalam  dan di luar atmosfera.

Kerjaya ini merupakan gabungan kejuruteraan aeronatik dan astronautik. Jurutera aerongangkasa terlibat dengan penyelidikan dan pembangunan bidang-bidang ini.

Jurutera aeroangkasa dan aeronautik memainkan peranan penting dalam rekaan teknologi penerbangan dan sistem pertahanan. Mereka akan dilatih dan menghadiri beberapa latihan sebelum dilantik secara rasmi sebagai jurutera aeroangkasa.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa kerjaya jurutera yang ingin anda ceburi? Setiap kerjaya ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba.

Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang kami senaraikan ini. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan ya!

Rujukan

1. https://deenamik.com/blog/2018/11/jom-kenali-jenis-jenis-bidang-kejuruteraan-yang-ada/
2. http://doktorkerjaya.blogspot.com/2011/03/kerjaya-bidang-kejuruteraan.html

Copy

Penulis: hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.