Menurut pengertian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, doktrin yang diambil secara terus daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu “doctrine” boleh ditakrifkan sebagai ajaran atau pegangan atau fahaman yang bukan berkenaan dengan agama. Manakala iktikad pula membawa maksud kepercayaan atau keyakinan atau berpendirian teguh. Justeru, apakah ia doktrin iktikad baik dalam insurans?

Terlebih dahulu, semua kontrak insurans adalah berdasarkan kepada konsep “Uberrimae Fidei”. Ia berasal daripada bahasa Latin yang boleh diterjemahkan sebagai kepercayaan yang sangat baik.

Konsep “Uberrimae Fidei” atau doktrin iktikad sangat baik ini menekankan tentang kewujudan kepercayaan atau keyakinan di antara orang yang membeli insurans dan syarikat insurans.

Dalam erti kata lain, semasa memohon atau membeli insurans, anda mesti memberi fakta dan maklumat diri anda yang tepat dan berkaitan dengan jujur kepada syarikat insurans.

Begitu juga kepada syarikat insurans tidak boleh menyembunyikan maklumat atau isi kandungan berkenaan dengan insurans yang dijual. Dalam artikel ini, penulis akan memjelaskan tentang doktrin iktikad baik dalam insurans yang anda harus ketahui.

Kewajipan Pendedahan

Perkara ini merujuk kepada anda sebagai individu yang memohon atau ingin mendapatkan insurans diwajibkan untuk memberitahu atau mendedahkan semua maklumat yang berkaitan. Ini kerana maklumat-maklumat yang anda berikan akan mempengaruhi keputusan syarikat insurans untuk menyediakan kontrak insurans.

Maklumat-maklumat yang anda berikan akan menjadi penentu dalam mendapatkan insurans. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko, kerugian dan tuntutan terdahulu di bawah polisi atau kontrak insurans lain,permohonan perlindungan insurans daripada anda yang pernah ditolak pada masa lalu, kewujudan kontrak insurans lain, fakta penuh dan keterangan mengenai harta atau aset yang diinsuranskan mesti didedahkan secara jujur.

Maklumat-maklumat ini dipanggil fakta material. Berdasarkan fakta-fakta material ini, syarikat insurans akan memutuskan sama ada anda layak mendapatkan insurans atau premium atau polisi apa yang sesuai untuk anda. Sebagai contoh, dalam Insurans Nyawa, tabiat atau tahap merokok anda merupakan fakta material yang penting bagi syarikat insurans yang mana tahap anda merokok mungkin menyebabkan syarikat insurans mengenakan polisi yang lebih tinggi kepada anda.

Pernyataan Dan Jaminan

Dalam kebanyakan syarikat insurans, kebiasaannya anda perlu menandatangani perisytiharan atau pernyataan di akhir borang permohonan anda. Tandatangan daripada anda ini yang menunjukkan bahawa jawapan atau butiran untuk soalan-soalan dalam borang permohonan dan kenyataan peribadi anda serta kaji selidik adalah benar dan lengkap.

Sebagai contoh, apabila anda memohon insurans kebakaran, anda perlu memastikan bahawa segala maklumat yang anda berikan tentang jenis pembinaan bangunan anda ataupun tujuan penggunaannya adalah maklumat yang benar, tepat dan lengkap. Untuk lebih jelas lagi, penulis akan menerangkan tentang penerangan yang merujuk kepada pernyataan atau jaminan seperti di bawah;

1. Pernyataan

Pernyataan adalah kenyataan bertulis yang dilakukan oleh anda pada borang permohonan anda. Borang permohonan tersebut yang mewakili risiko yang diajukan kepada syarikat insurans. Sebagai contoh, pada borang permohonan insurans nyawa, maklumat mengenai umur anda, butiran sejarah keluarga, pendudukan, dan lain-lain adalah pernyataan yang semestinya perlu benar dalam semua aspek.

Pelanggaran pernyataan hanya akan berlaku sekiranya anda memberikan maklumat palsu dalam pernyataan penting, sebagai contoh umur anda. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada jenis kesilapan pernyataan yang berlaku dalam menentukan sama ada kontrak insurans tersebut sah atau tidak sah.

2. Jaminan

Jaminan dalam kontrak insurans berbeza daripada kontrak komersial atau kewangan biasa. Jaminan dikenakan oleh syarikat-syarikat insurans untuk memastikan bahawa risiko tetap sama pada ketika anda sedang berpolisi atau memiliki insurans dengan syarikat insurans dan risiko itu tidak bertambah.

Sebagai contoh dalam insurans kenderaan, jika anda meminjamkan kenderaan anda kepada rakan anda yang tidak mempunyai lesen dan rakan itu terbabit dalam kemalangan, syarikat insurans anda mungkin menganggapnya pelanggaran jaminan kerana tidak dimaklumkan mengenai perubahan ini. Ini boleh mengakibatkan anda tidak boleh membuat tuntutan pampasan.

Imej via iLabur

1. Penyembunyian tidak sengaja

Penyembunyian tidak sengaja ini merujuk kepada kegagalan anda untuk membekalkan maklumat penting yang tidak diketahui. Ini bermakna anda tidak tahu bahawa maklumat yang diberikan adalah tidak tepat.

Sebagai contoh, anda tidak mengetahui bahawa nenek anda telah meninggal dunia kerana menghidapi kanser. Oleh itu, pada ketika anda menjawab soalan kaji selidik tentang sejarah ahli keluarga, anda telah memberikan fakta penting yang tidak tepat.

2. Penyembunyian sengaja

Berlawanan dengan penyembunyian tidak sengaja, penyembunyian sengaja merujuk kepada anda memilih untuk tidak memberikan atau mendedahkan fakta penting secara jujur. Dalam erti kata lain, anda melakukan penipuan dalam memberikan fakta penting.

Sebagai contoh, anda mengetahui nenek anda meninggal dunia kerana menghidapi penyakit kanser, tetapi anda memilih untuk tidak memaklumkan atau mendedahkan fakta penting ini. Justeru, kontrak insurans anda menjadi tidak sah kerana telah berlaku penyembunyian secara sengaja dan ianya merupakan kesalahan dari sisi undang-undang.

Sekiranya pelanggaran yang disengajakan ini ditemui atau dikenal pasti semasa anda membuat tuntutan, syarikat insurans boleh memilih untuk tidak membayar tuntutan anda. Manakala, syarikat insurans boleh mempertimbangkan pelanggaran tidak sengaja dengan mengenakan denda seperti menambah kadar kontrak insurans kepada anda atau syarikat insurans boleh mengabaikan pelanggaran yang berlaku seolah-olah tidak pernah berlaku pelanggaran.

Kesimpulan

Urusniaga insurans melibatkan kepercayaan di antara pemohon insurans dan syarikat insurans. Oleh sebab itu konsep doktrin iktikad baik atau “uberrimae fidei” diguna pakai.

Secara ringkasnya, konsep ini menerangkan tentang bagaimana proses permohonan insurans berlaku serta kerjasama dan kepercayaan di antara pemohon insurans dan syarikat insurans.

*Jom baca artikel lain seperti jenis-jenis insurans yang ada.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.