Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia terus meningkat sejak tahun 2011 sehingga 2017. Peningkatan jangkaan hayat ini juga sekali gus turut memanjangkan tempoh untuk warga emas menikmati kehidupan selepas bersara. Peningkatan ini bermakna seorang berumur 25 tahun akan terus mandiri sehingga 75.85 tahun.

Justeru, mereka perlu merancang kehidupan selama 15 tahun dan ke atas jika mereka bersara pada umur 60. Persoalannya, berapakah wang simpanan minimum yang diperlukan untuk mereka menikmati kehidupan yang selesa selepas bersara? Senario peningkatan jangkaan hayat ini juga menyumbang kepada penuaan populasi yang dijangka akan berlaku pada tahun 2020.

Penuaan populasi akan mendatangkan pelbagai cabaran seperti peningkatan kemiskinan dan kos sara hidup pada masa tua nanti (Jariah et al. 2006). Hasil kajian daripada Saidatulakma, Abdelhak dan Norma (2016) menunjukkan bahawa kejadian kemiskinan warga emas pada 2012 lebih tinggi berbanding dengan bukan warga emas kerana kebanyakan warga emas tidak lagi bekerja dan status kesihatan menurun.

Menurut takrifan dari “World Assembly on Ageing 1982”, warga emas dimaksudkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Kebanyakan warga emas membiayai kehidupan menerusi tabung simpanan peribadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

kos hidup malaysia

Imej via says

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkatkan sasaran simpanan minimum ahli pada umur 55 tahun dari RM 197,000 kepada RM 228,000. Jumlah ini boleh membiayai keperluan asas kehidupan ahli sebanyak RM 950 sebulan selepas bersara pada umur 55 tahun sehingga 75 tahun (Sinar Harian 2016).

Terdapat kajian lepas yang dijalankan ke atas pencarum KWSP menunjukkan majoriti pencarum memiliki baki simpanan kurang daripada RM 50,000 dan hanya sebahagian kecil pencarum memiliki baki simpanan RM 400,000 (The Malaysian Insight 2017).

Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa sebanyak 92% warganegara Malaysia berasa bimbang atas keadaan kewangan dan keperluan untuk menabung wang simpanan untuk kehidupan selepas bersara (The Star 2016).

Kajian ini bertujuan untuk menganggar keperluan kos sara hidup bulanan warga emas di Malaysia mengikut komponen asas sara hidup bulanan berdasarkan jantina dan kawasan tempat tinggal. Hubungan antara komponen perbelanjaan, jantina dan kawasan tempat tinggal turut dikaji.

Kesan faktor ini terhadap perbelanjaan warga emas dikenal pasti agar dapat membantu bakal pesara membuat perancangan persaraan yang lebih baik. Maklumat kajian ini penting agar pihak berkaitan seperti bakal pesara, perancang kewangan dan pembuat polisi dapat mengenal pasti kecukupan keadaan kewangan ketika bersara dan polisi persaraan untuk warga emas bagi menjamin kehidupan yang selesa pada hari kemudian.

Pendekatan dan Hasil Kajian

Analisis perbelanjaan komponen asas sara hidup iaitu makanan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada masa tua dan hubungan komponen ini dengan jantina dan kawasan tempat tinggal adalah antara fokus kajian yang dijalankan ini. Kajian ini menggunakan data Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014 (HES 2014).

Sebelum analisis dijalankan, data ditapis terlebih dahulu untuk memerhatikan sifat sebenar yang wujud. Proses ini penting dalam memastikan ketepatan data dan analisis. Data yang digunakan adalah data perbelanjaan dan maklumat demografi warga emas Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas yang hidup bersendirian atau berpasangan dengan warga emas yang lain sahaja.

Jantina dan kawasan tempat tinggal juga diambil kira. Akhirnya, sebanyak 540 sampel diambil daripada populasi tersebut. Terdapat 141 orang yang hidup bersendirian dan 399 pasangan warga emas yang diambil kira dalam kajian ini. Jadual 1 ialah analisis deskriptif yang telah digunakan untuk menerangkan ciri-ciri asas data kajian ini.

kos sara hidup

Nilai median perbelanjaan makanan, tempat tinggal, kesihatan, pengangkutan serta pelbagai barangan dan perkhidmatan dihitung daripada data perbelanjaan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014. Kaedah ini merujuk kepada kajian Butrica, Goldwyn dan Richard (2005) serta Auster dan Maddock (2016).

Kos Sara Hidup Bulanan

Jadual 2 dan Jadual 3 menunjukkan kos sara hidup bulanan penghuni warga emas bersendirian dan berpasangan mengikut jantina dan kawasan tempat tinggal.

Jumlah kos sara hidup bulanan warga emas Malaysia dianggar sebanyak RM 950 hingga RM 1,450 seorang. Untuk isi rumah warga emas yang tinggal berpasangan, jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM 1,350 hingga RM 2,050 serumah. Jadual juga menunjukkan kos sara hidup bulanan warga emas di luar bandar lebih rendah berbanding bandar bagi kedua-dua jenis isi rumah sama ada bersendirian ataupun berpasangan.

Komponen perumahan yang mengandungi kos sewa rumah, penyelenggaraan rumah, elektrik, air dan lain-lain merupakan perbelanjaan terbesar dalam semua komponen perbelanjaan. Kesihatan pula mencatatkan amaun yang terkecil dalam jumlah perbelanjaan warga emas kerana terdapat subsidi kerajaan untuk kadar bayaran rawatan hospital. Contohnya, kadar bayaran pesakit luar untuk warga emas di hospital kerajaan adalah percuma.

kos sara hidup

kos sara hidup

Hasil analisis menunjukkan faktor kawasan tempat tinggal memberi kesan signifikan pada perbelanjaan perumahan, pelbagai barangan dan perkhidmatan, serta pengangkutan dengan 95% keyakinan untuk penghuni warga emas tunggal. Faktor jantina pula hanya memberi kesan pada perbelanjaan pengangkutan sahaja.

Analisis untuk warga emas yang tinggal berpasangan menunjukkan kawasan tempat tinggal memberi impak pada semua jenis perbelanjaan dalam kajian ini terutamanya kos perumahan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kajian ini menganggar kos sara hidup asas bulanan warga emas Malaysia dengan kaedah mutlak dan mengenal pasti hubungan antara komponen perbelanjaan dan faktor jantina dan kawasan tempat tinggal.

Pihak berkaitan boleh mengambil tindakan yang bersesuaian menggunakan hasil kajian ini. Hasil kajian ini boleh dijadikan sebagai bantuan bagi membuat perancangan kehidupan selepas bersara.

*Hasil kajian ini merupakan hasil dapatan bersama Tan Wan Qing dan Noriza Majid daripada Universiti Kebangsan Malaysia dan diterbitkan atas kebenaran.

Maklumat di atas merupakan sebahagian daripada artikel “Penganggaran Keperluan Kos Sara Hidup Warga Emas Malaysia” yang diterbitkan di dalam buku Siri Penyelidikan Matematik 2018 iaitu hasil penyelidikan tahun akhir pelajar prasiswazah.

Dapatan yang diperoleh boleh menjadi rujukan dan asas untuk penyelidikan akan datang atau menyokong penyelidikan sedia ada.

Rujukan

  • Astro Awani. 2016. Umur persaraan 60 tahun kekal – KSN. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/umur-persaraan-60-tahun-kekal-ksn-119220 [23 Februari 2018]
  • MacDonald, B.J., Andrews, D., Brown, R. L. 2009. Basic Living Expenses for The Canadian Elderly. Social and Economic Dimensions of an Aging Population Research Papers. 240: 1-57. https://socialsciences.mcmaster.ca/sedap/p/sedap240.pdf [1 Februari 2018]
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. 2016. Definisi Warga Emas. http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=VEpUUXV3THFURkZETmxWNjZpQ1BXdz09 [15 Februari 2018]
  • Jabatan Perangkaan Malaysia. 2015. Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014. Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.
  • Jabatan Perangkaan Malaysia. 2017. Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2015-2017. Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.
  • Jariah Masud, Sharifah A. Haron, Aizan T. A. Hamid & Zumilah Zainaluddin. 2006. Economic well-being of the elderly: Gender differences. Consumer Interest Annual 52: 456-461.
  • Saidatulakmal Mohd, Abdelhak Senadjki, Norma Mansor. 2016. Trend of Poverty among Elderly: Evidence from Household
  • Income Surveys. Journal of Poverty, hlm. 1-19. DOI: 10.1080/10875549.2016.1186779. [1 Februari 2018]
  • Sinar Harian. 2016. KWSP tetapkan RM228,000 sasaran simpanan minimum. http://www.sinarharian.com.my/nasional/kwsp-tetapkan-rm228-000-sasaran-simpanan-minimum-1.568093 [21 Februari 2017]
  • The Malaysian Insight. 2017. Ramai rakyat Malaysia tak cukup simpanan KWSP. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/19956/ [21 Februari 2017]
  • The Star. 2016. 92% of Malaysians worry over retirement funds, says BNM. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/08/10/92pc-of-malaysians-worry-over-retirement-funds-says-bnm/#eoPryE4Iw2k1hgOh.99 [15 Februari 2018]

Penulis: admin

Avatar

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.