Strategi kewangan untuk bujang, keluarga dan golongan pesara ada bezanya bergantung pada tahap kehidupan masing-masing. Setiap fasa mempunyai keperluan dan tahapnya.
Adakah anda mempunyai strategi kewangan yang mampu mencapai matlamat kewangan anda? Jika tidak, anda wajib ikuti tips kewangan mengikut tahap ini.

Strategi Kewangan Untuk Golongan Bujang
Kehidupan bujang membolehkan anda bebas mengawal sepenuhnya kewangan anda. Ini adalah masa terbaik untuk membina asas kewangan yang kukuh. Tapi ramai yang tersalah langkah dengan menambah beban hutang. Ini strategi kewangan yang patut anda buat.
1. Tetapkan Matlamat Kewangan
Matlamat jangka pendek seperti buat simpanan untuk melancong, membeli gajet, atau pendidikan lanjutan. Manakala matlamat jangka panjang pula adalah dana untuk membeli rumah atau melabur untuk persaraan.
2. Wujudkan Dana Kecemasan
Simpan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan perbelanjaan dalam akaun kecemasan. Dana ini penting untuk menghadapi situasi tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.
3. Melabur Untuk Masa Depan
Gunakan platform pelaburan seperti robo-advisors atau unit amanah, anda perlu mulakan pelaburan dari awal untuk memanfaatkan kuasa faedah berganda.
4. Kawal Hutang Dengan Bijak
Selain itu, pada usia muda ini, sangat penting untuk elakkan hutang yang tidak perlu, terutamanya kad kredit. Sepatutnya lebih fokus kepada pembayaran hutang pelajaran atau pinjaman peribadi.
5. Tingkatkan Ilmu Kewangan
Strategi seterusnya adalah belajar ilmu pengurusan kewangan, pelaburan, dan perlindungan insurans. Pengetahuan ini adalah aset terbesar anda yang akan membantu anda menjana pendapatan serta urus wang dengan betul.

Strategi Kewangan Untuk Golongan Berkeluarga
Apabila sudah berkeluarga, keutamaan kewangan berubah. Anda perlu mengambil kira kesejahteraan pasangan dan anak-anak. Pendek kata, tanggungjawab lebih besar, komitmen makin tinggi. Ikuti strategi ini untuk lebih efektif dalam mengurus kewangan keluarga.
1. Rancang Bajet Keluarga
Kenal pasti seluruh pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Kemudian, bahagikan bajet kepada kategori seperti keperluan asas, simpanan, dan hiburan. Anda akan tahu jumlah sebenar untuk semua secara lebih terperinci.
2. Tabung Pendidikan Anak
Pertama sekali, buka akaun simpanan khusus untuk pendidikan anak-anak, seperti SSPN. Buka lebih awal supaya anda buat persediaan yang lebih besar. Pertimbangkan pelaburan jangka panjang untuk membiayai kos pendidikan tinggi.
3. Perlindungan Insurans
Pastikan anda mempunyai insurans kesihatan dan insurans hayat untuk melindungi keluarga daripada beban kewangan tidak dijangka. Insurans adalah pelindung terbaik terhadap risiko kewangan, mungkin tak nampak hasilnya sekarang, tapi ia untuk masa depan.
4. Rancang Untuk Persaraan
Jangan abaikan simpanan persaraan walaupun fokus utama adalah keluarga. Walaupun banyak komitmen, anda perlu sertai pelan persaraan tambahan seperti PRS atau tingkatkan sumbangan KWSP anda untuk hari bersara kelak.
5. Wujudkan Dana Kecemasan Keluarga
Dana kecemasan perlu lebih besar untuk menampung perbelanjaan keluarga selama 6 hingga 12 bulan. Kerja sampingan atau pasif income diperlukan jika jumlah gaji sahaja tidak mencukupi.
Strategi Kewangan Untuk Bersara
Setelah bersara, fokus utama adalah untuk memanfaatkan simpanan yang telah dikumpul dan mengekalkan kestabilan kewangan. Sebelum bersara lagi, anda perlu menetapkan strategi dan berusaha mencapainya.
1. Buat Anggaran Perbelanjaan
Langkah pertama bagi golongan pesara, anda perlu jejak semua perbelanjaan bulanan dan pastikan ia berada dalam kemampuan anda. Anda perlu kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan fokus kepada keperluan asas.
2. Pilih Pelaburan Yang Selamat
Bagi pesara, beralih kepada pelaburan risiko rendah seperti bon, fixed deposit, atau pelaburan hartanah adalah tindakan bijak. Namun anda perlukan ilmu untuk berjaya dalam bidang ini. Elakkan pelaburan berisiko tinggi yang boleh mengancam simpanan anda.
3. Rancang Harta Pusaka
Anda boleh wujudkan wasiat untuk memastikan pembahagian aset berjalan dengan lancar. Bermula sekarang lagi, anda perlu pertimbangkan hibah atau amanah untuk menguruskan aset anda supaya ia diuruskan dengan lebih sistematik.
4. Kekal Aktif Secara Kewangan
Persediaan sebelum bersara, anda perlu pertimbangkan kerja separuh masa atau bisnes kecil untuk menjana pendapatan tambahan. Gunakan pengalaman dan kepakaran anda untuk menjadi mentor atau perunding. Masih belum terlambat untuk mulakan.
5. Jaga Kesihatan Kewangan
Kadang-kadang duit akan bocor bila kita terpaksa gunakan duit yang ada untuk keperluan dan kecemasan. Salah satunya adalah untuk kos perubatan.
Pastikan insurans kesihatan anda masih aktif untuk menampung kos perubatan. Pantau juga kewangan anda secara berkala dan buat penyesuaian jika perlu.

Lain-Lain Tips Kewangan
- Pendidikan Kewangan Berterusan – Sentiasa belajar dan menambah ilmu tentang kewangan. Dunia kewangan sentiasa berubah, dan pengetahuan anda perlu seiring.
- Berjumpa Pakar Kewangan – Jika anda memerlukan panduan tambahan, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan berlesen.
- Semak Pelan Kewangan Secara Berkala – Perubahan dalam kehidupan memerlukan pelan kewangan yang dikemas kini. Semak strategi kewangan anda setiap tahun untuk memastikan ia relevan.
Berikut adalah strategi kewangan untuk anda yang bujang, berkahwin ataupun pesara. Satu-satu rancangan kewangan akan ada hasilnya jika dibuat secara konsisten dan langkah bijak.
Jangan berhenti belajar ilmu kewangan, terus menguruskan wang dengan betul untuk masa depan yang lebih cerah dan tenang.
Jom baca juga,
Kena scam, apa perlu buat sekarang?
