Siapa yang tak suka makan? Lagi-lagi kalau makan banyak tapi badan tak naik-naik. Err, dalam mimpi?

Selain isu panas, makanan pun boleh tular (viral) tau sekarang. Tapi, viral setakat bermusim atau boleh jadi makanan ruji?

Jom kita kupas dalam artikel ini.

Pengenalan

Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat bertuah kerana dikelilingi oleh pelbagai jenis makanan dan kedai-kedai makanan boleh diakses 24 jam!

Tekak orang Malaysia memang special, sebab hampir semua jenis makanan dari pelbagai kaum, jenis masakan dan rasa masakan boleh dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat dan usia.

Kini, pelbagai idea kreatif dilakukan oleh penjual makanan, sama ada dengan mengubah suai resepi atau mencipta resepi yang baharu, sebagai teknik pemasaran jualan mereka.

Maka, lahirlah makanan-makanan yang pelik-pelik yang zaman dulu tak pernah pun kita dengar atau biasa dengar.

Apabila sesuatu makan menjadi buah mulut dan tarikan orang ramai, maka popular lah makanan tersebut, dan berpusu-pusulah mereka pergi mendapatkan makanan tersebut.

Inilah yang dipanggil sebagai MAKANAN VIRAL!

Antara contoh makanan yang pernah mencetuskan fenomena dan viral di Malaysia ialah:

  • Ais krim pasu
  • Durian crepe
  • Teh boba
  • Corndog
  • Oden
  • Ais Kepal/Milo kepal
  • Keria gula Melaka
  • Coconut/Mango shake
  • Kerbau guling
  • Churros
  • Burger bakar
  • Pisang goreng cheese

dan sebagainya.

Macam Mana Makanan Ini Boleh Viral?

Imej via Myc

#1 Kuasa media sosial

Percaya atau tidak, setiap komen yang anda tulis boleh mempengaruhi keputusan seseorang yang membacanya. Apatah lagi jika komen itu mendapat sokongan ramai lagi netizen yang lain.

Teknik pemasaran di media sosial ini sangat berkesan kerana pengiklanannya ialah 24 jam dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja di mana-mana kawasan selagi mempunyai capaian internet.

Lebi-lebih lagi jika sesuatu produk makanan itu diiklankan oleh seseorang yang berpengaruh seperti selebriti terkenal atau mereka yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

#2 Follow trend

Kadang-kala, maaf cakaplah, sesuatu makanan itu tidaklah sesedap mana, malah harganya jauh lebih mahal berbanding makanan yang serupa dengannya di tempat lain, tetapi mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga anda perlu beratur panjang untuk mendapatkannya.

Anda tetap ingin mencuba makanan viral tersebut kerana makanan tersebut sedang trending dan anda tidak mahu ketinggalan.

Situasi ini dalam bahasa psikologinya ialah peer pressure iaitu tekanan daripada persekitaran dan orang sekeliling, membuatkan anda tidak ingin rasa tersisih atau terpinggir.

Selain itu, dengan kemunculan pelbagai media sosial, ramai pengguna menggunakan kesempatan ini untuk menayang akiviti seharian mereka di media sosial tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila anda sudah berjaya mendapatkan makanan viral tersebut, seolah menjadi kewajipan untuk anda menayangkannya, kepada orang yang anda tidak kenali pun.

#3 Kena dengan selera

Sesetengah makan viral mendapat sambutan disebabkan olahan rasa yang memikat selera para pembeli,

Contohnya bagi mereka yang gemarkan dessert atau apa-apa makanan yang manis, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya seperti brownies kedut, bomboloni dan apam balik cheese. 

Bagi penggemar durian pula, apa-apa makanan yang berunsurkan durian dapat menarik perhatian mereka.

Lebih menyeronokkan mereka apabila makanan ini boleh diperolehi pada bila-bila masa memandangkan durian ialah buah yang bermusim. Contohnya durian crepe, aiskrim durian dan kek durian.

Di samping itu, ada makanan viral yang menjadi pilihan kerana mengingatkan pembeli dengan kenangan atau nilai sentimental.

Sebagai contoh, ais kepal yang pernah menjadi makanan kegemaran semasa kecil kini dijenamakan semula dengan pelbagai bentuk dan perasa dan ternyata menjadi pilihan ramai golongan dewasa.

#4 Tawaran Pakej Jualan yang Menarik

Ada makanan viral yang menjadi rebutan setelah peniaganya melakukan beberapa siri rombakan pemasaran.

Contohnya, burger bakar Abang Burn pernah menawarkan harga jualan RM1 bagi seketul burger yang sangat berbaloi daripada harga asalnya RM10.

Francais minuman teh bobba Tealive juga ada membuat potongan harga yang murah untuk pembelian minuman mereka dengan pakej bayaran E Wallet pada kadar diskaun 50%.

Semua pakej menarik ini, jika dirasakan berbaloi, akan menarik ramai pembeli, sekali gus memberi publisiti kepada jenama makanan viral anda.

Sambutan yang Menurun/Bermusim

Sebagaimana perniagaan yang lain, makanan viral juga mengalami pasang surutnya. Tambah menyedihkan jika dahulunya kedai tersebut sesak dengan orang ramai dan beratur panjang, namun kini sudah berkurangan dan mulai lengang.

Ini merupakan antara faktor yang menyebabkan makanan viral tidak lagi viral:

#1 Pemasaran yang tidak konsisten

Untuk memastikan pelanggan anda sentiasa datang, anda perlu mantapkan pemasaran anda tak kiralah dari segi pengiklanan mahupun publisiti.

Jika tiada hebahan yang berterusan, pelanggan lama anda akan jadi lupa dengan kewujudan kedai anda dan tiada pelanggan baru yang akan datang.

Dunia perniagaan sekarang semakin sengit, akan sentiasa ada perniagaan viral lain yang akan cuba menaikkan diri mereka.

#2 Kualiti menurun

Kepuasan pelanggan merupakan antara faktor kejayaan sesebuah perniagaan terutamanya perniagaan makanan.

Terdapat beberapa kes kualiti makanan yang merosot setelah mula mendapat perhatian ramai dan viral.

Hal ini boleh disebabkan oleh kekurangan staf ataupun ingin menjimatkan kos bahan bagi meningkatkan margin keuntungan.

Selain itu, kualiti perkhidmatan perlulah seiring dengan kualiti makanan yang dihidangkan supaya pelanggan akan sentiasa datang kembali.

#3 Bersikap stagnant

Para peniaga makanan viral yang bersikap stagnant atau tiada usaha memajukan perniagaan ini akan merugikan perniagaan sendiri.

Jika dilihat kepada operasi syarikat makanan besar seperti KFC, McDonald dan Family Mart, mereka sentiasa menampilkan pilihan variasi menu supaya pembeli tidak jemu dengan pilihan sedia ada.

Kebanyakan makanan viral adalah bersifat finger food atau makanan ringan yang jika diambil selalu akan menyebabkan muak dan perlu mencari makanan lain.

Oleh itu, para peniaga perlu lebih kreatif dalam memasarkan dan merancakkan perniagaan anda. Mungkin boleh buat promosi pembelian, pakej menu dan sebagainya.

#4 Tidak berkhasiat

Hakikatnya, makanan yang viral kebanyakannya adalah tidak berkhasiat dengan kandungan gula atau garam yang tinggi yang boleh mengundang pelbagai risiko penyakit.

Ditambah dengan kesedaran kesihatan umum, tidak hairanlah jika makanan viral yang tidak berkhasiat ini mula kurang mendapat sambutan.

Pembeli pula hanya akan berminat untuk merasa sahaja dan tidak akan mengulangi pembelian.

Kesimpulan

Perniagaan apapun perlulah memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak penjual dan pembeli.

Untuk memviralkan makanan, banyak cara yang boleh dilakukan. Namun, cara terbaik adalah dengan memberikan kualiti yang terbaik dari segi rasa, harga dan perkhidmatan kerana kita tidak mahulah perniagaan yang bermusim.

Di samping itu, strategi memviralkan makanan mungkin boleh mempromosikan jualan anda dengan cepat, tetapi hendaklah dilakukan dengan bermaruah tanpa menyinggung mana-mana pihak.

Sekali lagi ditegaskan, kita tidak mahulah perniagaan yang bermusim.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.