Menurut Utusan Malaysia (06 Feb 2008) kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat pengurusan kewangan peribadi. Kaji selidik CitiBank Bhd itu juga mendapati rakyat Malaysia kurang memahami melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan.

Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q) mendapati, berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama. Keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan 49 mata dan ke bawah.

pengurusan kewangan peribadi

Imej via Pixabay

Namun kini Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ia telah menjadi trend di Malaysia. Ramai pakar yang berkongsi cara pengurusan kewangan peribadi yang berkesan.

Antara yang sering dikongsi di internet ialah perkongsian Cameron Huddleston , tentang nasihat pakar bagimana untuk uruskan kewangan peribadi.

5 Nasihat Dari Pakar Tentang Pengurusan Kewangan Peribadi

Dave Ramsey- Sentiasa proaktif uruskan duit anda

Rasanya ramai yang mengenali Dave Ramsey. Beliau popular dengan rancangan radio beliau (seramai lebih 8 juta orang pendengar), dan membantu ramai orang uruskan kewangan peribadi secara berkesan.

Dave Ramsey terkenal dengan nasihat:

“Elakkan daripada menjadi hamba duit. Sepatutnya, kita yang hambakan duit.”

Nasihat yang mudah namun mudah untuk kita fahami.

Mula jadi proaktif dalam bab uruskan duit kita. Buat bajet yang baik, langsaikan hutang secara berstrategi dan secepat mungkin, dan simpan seberapa banyak yang kita boleh.

Elakkan berhutang, terutama menggunakan kad kredit yang kenakan faedah tinggi. Jika guna kad kredit, pastikan bayar sepenuhnya setiap bulan. Kalau tidak, itu tanda kita berbelanja di luar kemampuan. Ramai bankrap disebabkan terperangkap dengan kadar faedah tinggi.

Elakkan berhutang untuk perbelanjaan-perbelanjaan hangus. Sayang kalau gunakan kad kredit atau pinjaman peribadi untuk bina hutang-hutang jahat.

Kalau tak mula bertindak, sampai ke sudah kewangan kita tak selamat sampai bila-bila.

Whitney Johnson – Mulakan simpanan kecemasan sebagai persediaan.

Whitney Johnson terkenal sebagai seorang penulis best-selling, penganalisis dan inovator yang cukup hebat dalam bab pengurusan kewangan.

Menurut beliau, menyimpan sikit-sikit berkali ganda lebih baik daripada tak menyimpan langsung. Ia tetap akan wujudkan jurang perbezaan yang ketara untuk masa depan kita.

“Tak kira gaji anda banyak mana sekalipun, kalau tak menyimpan, kesudahannya tetap sama.”

Simpan 10-20% dari gaji bersih setiap bulan. Pastikan kita ada simpanan kecemasan bersamaan sekurang-kurang enam bulan keperluan.

Gaji yang tinggi tak bermakna kita pasti dapat menyimpan dengan banyak. Ini adalah tindakan yang bermula daripada mentaliti dan sikap kita sendiri.

 

Ada simpanan atau pelan kewangan untuk bersara. Bergantung kepada keperluan masing-masing, tidak ada satu formula yang tepat mengenai berapa banyak wang yang diperlukan untuk persaraan.

Secara mudah, jika kita ingin kekalkan gaya hidup semasa, kita perlukan 60% pendapatan sekarang untuk sekurang-kurangnya 20 tahun. Kalau kita rendahkan gaya hidup, maka jumlah yang kita perlukan pun berkurangan.

Chris Hogan – Buat pelan kewangan yang baik.

Chris Hogan mempunyai misi membantu ramai orang uruskan kewangan peribadi dan bisnes mereka dengan baik. Beliau jadikan matlamat ini sebagai karier utama selepas bersara daripada sukan American Football.

Dan tak dapat nak nafikan, rancangan (atau pelan) tindakan yang baik akan mudahkan kita mencapai sesebuah matlamat dengan lebih mudah.

    “Fikirkan matlamat kewangan yang kita nak capai, dan rangka pelan yang baik untuk mencapai matlamat ini.”

Menurut Hogan, ramai yang dah sedia maklum tentang kepentingan perkara ini. Dan ia cukup mudah untuk kita buat. Tapi, ramai yang terlepas pandang dan ambil mudah.

Impian tanpa sebarang pelan atau rancangan, hanya akan berakhir menjadi mimpi yang sia-sia.

Rancang persaraan sebaik saja mula bekerja. Setiap orang ada keperluan kewangan yang berbeza. Pastikan kita ada cukup wang untuk bersara selama 20 tahun (240 bulan), apabila usia kita cecah 55 tahun.

Robert Kiyosaki – Terus-menerus hadamkan pelbagai ilmu kewangan.

robert kiyosaki

Imej via YouTube

Nama Robert Kiyosaki tidak perlu diperkenalkan lagi. Terkenal dengan buku Rich Dad Poor Dad. Naskah ini merupakan buku kewangan terbaik sepanjang masa yang ditulis oleh beliau.

Ini ada satu nasihat Kiyosaki tentang kewangan yang elok kita hadamkan:

    “Berhenti harapkan bantuan kerajaan atau orang lain untuk uruskan kewangan kita. Mulakan belajar dan dalami ilmu kewangan.

Masa depan kewangan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.”

Tak ada siapa yang layak uruskan kewangan kita, kecuali diri kita sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Elakkan sikap sambil lewa yang akhirnya akan buatkan kewangan kita sendiri jatuh sakit. Tak ada siapa yang rela hati nak perkara ini berlaku dalam hidup masing-masing.

Jangan kedekut keluarkan kos untuk beli buku, ebook atau hadiri seminar. Ini akan menyelamatkan anda daripada kerugian besar dan membantu ketika urus kewangan.

Jeanette Pavini – Simpan duit secara automatik setiap bulan.

Banyak pandangan dan pendapat Jeanette Pavini yang tersiar kat kaca televisyen Amerika Syarikat, selain aktif menulis buku dan artikel tentang pengurusan kewangan.

Jeanette Pavini ada misi yang murni. Beliau nak membantu orang ramai selamatkan duit mereka daripada melebur tak tentu pasal.

Beliau sentiasa berpesan :

    “Automasikan simpanan setiap kali gaji anda masuk. Dan setiap bulan, naikkan simpanan sebanyak 1%.

Mungkin ia nampak kecil, tapi ia mampu berikan perbezaan yang ketara kemudian hari.”

Simpanan secara automatik boleh dibuat untuk mudahkan kerja kita setiap bulan. Lagipun, dah tentu ia lebih konsisten dan dapat pastikan kita tak terlepas untuk menyimpan dulu, sebelum belanjakan gaji selebihnya.

Kewangan kita pasti akan lebih selamat dan terjamin dengan strategi ini.

Bagi kebanyakan individu, pekerjaan tetap mereka tidak akan menjadikan mereka kaya. Sebaliknya ia lebih untuk menyara hidup dan sebagai sumber pendapatan yang stabil.

Individu yang mempunyai kewangan stabil adalah mereka yang aktif mengusahakan pertumbuhan pendapatan mereka yang sedia ada.

Salah satu tips yang anda boleh ikut ialah dengan mencuba untuk mengembangkan pendapatan anda sekurang-kurangnya 1% setiap bulan seperti yang disyorkan oleh Jeanette Pavini.

Penutup

Jika anda buat apa yang pakar nasihatkan ini, pengurusan kewangan peribadi anda  menjadi lebih sihat untuk masa depan.

Bila dah pengurusan kewangan peribadi  menjadi lebih baik, bolehlah fokus pada perkara lain pula.

Nasihat dari 5 pakar ini seharusnya merangsang kita untuk mula berfikir, belajar dan merancang masa depan kewangan dengan lebih baik.

 

Artikel Menarik Lain

Anda sukakan artikel tips pengurusan kewangan peribadi ini. Jemput juga baca artikel menarik lain tulisan kami. Janagn lupa untuk share dan komen ya.

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.