Anda dah terkena scam? Baru sahaja terima mesej yang nampaknya sahih daripada sebuah bank, diminta untuk anda mengesahkan butiran akaun anda. Tanpa syak, anda klik pautan dan masukkan maklumat peribadi?

Tidak lama kemudian, baru sedar rupa-rupanya akaun bank anda telah diceroboh! Inilah antara situasi scam yang sering terjadi zaman sekarang.

Kalau dah terkena scam, apa perlu buat? Jom lihat panduan dan langkah-langkah penting yang perlu anda lakukan segera.

kena scam
via [utusan]

1. Berhenti Panik Dan Bertenang

Kebanyakan orang mula jadi panik apabila menyedari mereka telah ditipu. Penting untuk anda bertenang terlebih dahulu kerana panik hanya akan menyebabkan anda membuat keputusan yang terburu-buru. Ambil masa seketika untuk menenangkan diri sebelum bertindak.

2. Hentikan Transaksi Segera

Bila kena scam, langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah menghentikan transaksi scam secepat mungkin. Seterusnya, hubungi bank atau penyedia e-wallet untuk melaporkan transaksi scam tersebut dan minta mereka membekukan akaun atau tidak aktifkan kad anda.

Jika pembayaran yang dibuat masih dalam proses, ada peluang untuk mereka batalkannya sebelum ia selesai. Jangan bimbang, bank atau penyedia perkhidmatan biasanya mempunyai protokol keselamatan untuk membantu pelanggan yang menghadapi situasi ini.

3. Kumpul Bukti Penipuan

Pastikan anda dapatkan segala bukti penipuan tersebut. Sebagai contoh, mesej atau transaksi bank. Jangan lupa simpan semua komunikasi dengan scammer, termasuk e-mel, mesej WhatsApp, atau panggilan telefon.

Rekod transaksi yang terlibat seperti tarikh, masa, dan jumlah transaksi juga sangat perlu. Maklumat ini akan memudahkan pihak berkuasa atau bank untuk menyiasat kes anda. Bukti adalah elemen penting jika anda mahu membuat laporan atau cuba mendapatkan semula wang anda.

4. Laporkan kepada Pihak Berkuasa

Bila kena scam, jangan sesekali biarkan scammer terus terlepas dan bebas! Anda wajib laporkan kes kepada pihak yang berkaitan dengan cara terus ke balai polis dan buat laporan rasmi. Bukti-bukti yang telah dikumpulkan perlu anda bawa sekali.

Selain itu, anda juga boleh terus menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) iaitu hubungi talian kecemasan 997 untuk bantuan segera.

Bukan itu sahaja, laporkan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga untuk scam yang berlaku melalui platform digital atau media sosial.

Laporan ini bukan sahaja akan membantu anda tetapi juga bertujuan melindungi orang lain daripada menjadi mangsa yang sama.

5. Tukar Kata Laluan Segera

Jika scammer telah memperoleh akses akaun anda, tindakan pertama yang penting adalah menukar kata laluan semua akaun penting. Gunakan kata laluan yang unik dan sukar diteka.

Di samping itu, mula aktifkan ciri pengesahan dua faktor (2FA) untuk meningkatkan keselamatan akaun anda. Langkah ini penting supaya maklumat anda tidak lagi terdedah kepada risiko.

6. Didik Diri dan Orang Lain

Penipuan berlaku kerana kurangnya kesedaran. Oleh itu, penting untuk belajar daripada pengalaman ini. Anda perlu kenal pasti tanda-tanda scam.

Antara ciri-ciri scam adalah,

  • Tawaran yang terlalu bagus.
  • Mesej yang seakan-akan mendesak.
  • Permintaan untuk berkongsi maklumat yang sensitif.

7. Pantau Akaun Anda

Scammer sering kali cuba lagi selepas berjaya sekali. Oleh itu, anda perlu mula pantau akaun bank dan e-mel anda untuk sebarang aktiviti yang mencurigakan. Laporkan segera jika ada percubaan penipuan baharu.

8. Belajar dan Lindungi Masa Depan

Pengalaman kena scam boleh jadi pengajaran yang mahal tetapi berharga. Gunakan pengalaman ini untuk melindungi diri anda di masa depan. Pastikan anda ikut tips berikut untuk elakkan jadi mangsa scammer.

  • Jangan klik pautan mencurigakan dalam mesej atau e-mel.
  • Semak latar belakang syarikat atau individu sebelum membuat pembayaran.
  • Gunakan aplikasi semakan seperti Semak Mule untuk mengesahkan nombor akaun atau telefon yang terlibat dalam scam.
kena scam
via [freepik]

Berhati-hati, Elak Jadi Mangsa Scammer!

Kena scam memang menyakitkan, tetapi ia bukanlah pengakhiran. Dengan mengambil langkah yang betul, anda boleh meminimumkan kerugian dan melindungi diri anda daripada menjadi mangsa lagi.

Ingat, keselamatan kewangan anda adalah tanggungjawab anda. Sentiasa berwaspada dan tingkatkan kesedaran tentang taktik penipuan yang sentiasa berubah.

Jemput baca artikel-artikel berikut:

Tabiat kewangan yang perlu ada sebelum umur 30 tahun

E-wallet, kad kredit atau tunai, mana satu pilihan bijak?

Kesan inflasi dan cara mengatasi (Penting)

Copy

Penulis: rinazul

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.