Insurans vs takaful. Jika anda sedang melakukan survey untuk membeli polisi insurans yang baru dan masih tak dapat nak memilih di antara insurans dan takaful, jom kami bantu anda. Jom kita lihat tentang kelebihan takaful berbanding insurans yang anda mungkin tak tahu.

Apakah yang dimaksudkan dengan insurans?

Insurans ialah sejenis alat kewangan yang anda boleh beli untuk melindungi diri sendiri dan orang yang tersayang daripada sebarang malapetaka seperti kemalangan, kematian, cacat kekal, dan sebagainya. Ini bermaksud insurans memberikan perlindungan sekiranya sesuatu yang tidak diingini dan buruk berlaku kepada diri kita, ahli keluarga, dan harta-benda yang kita miliki.

Dengan bayaran premium bulanan atau tahunan, syarikat insurans berlesen yang kita pilih akan membayar diatas kerugian dan kehilangan yang kita alami, bergantung kepada kadar risiko yang ditanggung oleh pihak insurans. Walau bagaimana pun, kejadian tersebut hendaklah berlaku dalam masa lingkungan insurans masih sah dan tidak luput. Tuntutan juga harus dibuat sebelum polisi insurans menjadi luput. Industri insurans di Malaysia dikawal oleh Bank Negara Malaysia.

Apakah maksud takaful?

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) mengistilahkan takaful sebagai “sesuatu perkiraan yang berasaskan pertolongan secara bersama yang di bawahnya peserta takaful bersetuju menyumbang kepada sesuatu kumpulan wang sama yang menyediakan manfaat kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta takaful itu atau kepada benefisiari pada masa berlaku sesuatu kejadian yang dipersetujui terdahulu.’

Secara ringkasnya, takaful adalah pelan perlindungan islamik berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang yang sebahagiannya akan disalurkan ke dalam dana takaful atas dasar tabarru’ (derma), seseorang itu telah memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkannya menjadi seorang peserta dalam pelan takaful tersebut dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.

Sumber: Vcompar

Apakah kelebihan takaful berbanding insurans?

Pastinya anda tak sabar untuk mengetahui apakah kelebihan takaful berbanding insurans. Terdapat beberapa perbezaan di antara takaful dan insurans, di antaranya ialah:

  1. Insurans adalah bersifat konvensional manakala takaful adalah bersifat islamik iaitu berlandaskan syariah.
  2. Insurans adalah berdasarkan faktor komersial sahaja iaitu berasaskan keuntungan manakala takaful adalah berdasarkan konsep kerjasama memandangkan ia adalah patuh syariah.
  3. Beza yang seterusnya ialah insurans adalah tertakluk kepada akta & undang-undang yang diwartakan kerajaan sahaja manakala takaful adalah tertakluk kepada undang-undang syariah dan undang-undang kerajaan.
  4. Bagi insurans, premium yang disumbangkan oleh pemegang insurans boleh dilabur dalam semua bentuk pelaburan termasuk bidang yang tidak patuh Shariah manakala bagi takaful, wang pemegang takaful hanya boleh dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah sahaja. Ini adalah perbezaan yang sangat penting bagi mereka yang beragama islam. Ini juga adalah di antara punca mengapa takaful semakin mendapat tempat dihati penganut agama islam.
  5. Seterusnya, insurans mungkin mengandungi unsur Riba’, Gharar (ragu-ragu), dan Masyir (perjudian) sementara takaful adalah bebas daripada dari Riba’, unsur Gharar (ragu-ragu), dan Masyir (perjudian).
  6. Beza yang terakhir ialah bagi insurans, risiko akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat insurans selepas bayaran dibuat oleh pemegang insurans sementara bagi takaful, risiko adalah dikongsi bersama oleh semua pihak dibawah perlindungan Takaful tersebut yang telah dipersetujui bersama.

Riba, Gharar dan Maisir

Takaful adalah bebas daripada Riba, Gharar dan Maisir. Dan ianya adalah sangat penting bagi mereka yang beragama islam. Jom kami terangkan dengan lebih lanjut apakah maksud ketiga-tiga terma tersebut.

Riba

Riba menurut bahasa bererti ‘tambahan’. Secara ringkasnya riba merujuk kepada sebarang tambahan antara nilai barang yang diberikan dengan nilai barang yang diterima. Riba boleh berlaku dalam pelbagai situasi, di antara contohnya ialah apabila berlaku tambahan dalam kuantiti semasa pertukaran barangan ribawi seperti emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Riba juga boleh berlaku apabila wujudnya tambahan atas jumlah pokok hutang akibat penangguhan tempoh, sama ada penambahan itu dijanjikan oleh peminjam atau ditetapkan oleh pemberi pinjam ketika memeterai kontrak atau apabila berlakunya pelanggaran kontrak. Secara dasarnya, Islam tidak membenarkan sebarang transaksi yang melibatkan riba.

 “Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.”

Surah Al-Baqarah ayat 276

Gharar

Gharar merujuk kepada elemen ketidakpastian di dalam sesuatu kontrak yang menyebabkan ianya kabur dan tidak pasti. Ia boleh berlaku dalam sesuatu transaksi apabila terdapatnya ketidakpastian atau kurangnya maklumat tentang keadaan barang ataupun objek sehingga menyebabkan keraguan pada kewujudan barang, kuantiti dan juga harga. Ia turut berkait dengan masa penyerahan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui. Contoh klasik berkaitan gharar ialah apabila anda membeli atau memajak buah yang masih dalam bentuk bunga atau putik, ianya tidak dibenarkan kerana kewujudan buah itu masih belum dapat dipastikan. 

Maisir

Maisir menurut bahasa bermaksud memperoleh sesuatu dengan sangat mudah tanpa kerja keras atau mendapat keuntungan tanpa bekerja. Menurut istilah bahasa, maisir merujuk kepada suatu transaksi yang dilakukan oleh dua pihak untuk pemilikan suatu benda yang menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak lain dengan cara mengaitkan transaksi tersebut dengan suatu tindakan atau kejadian tertentu.

Gharar dan maisir (perjudian) sangat berkait rapat di antara satu sama lain. Jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Islam melarang sama sekali semua bentuk urusniaga di mana keuntungan kewangan diperolehi hanya berdasarkan nasib dan bukannya dengan usaha gigih untuk mendapatkannya.

Sumber: Vicare.my

Itulah dia info tentang kelebihan takaful berbanding insurans yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang konsep Tabarru’ dalam takaful dan kepentingan takaful.

Rujukan:

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.