Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi memang satu keadaan yang mencabar. Ada yang terpaksa bekerja lebih dari satu pekerjaan sehari, tak cukup tidur rehat, kehidupan tidak terurus, semata-mata ingin mencari keselesaan hidup. Agak ironi di situ.

Namun, ada yang mengambil jalan pintas untuk mendapat kesenangan hidup dengan memilih jalan ‘hitam’ iaitu dengan cara melakukan jenayah untuk mendapatkan duit.

Sejauh mana hubungan masalah jenayah di Malaysia ini boleh dikaitkan dengan desakan ekonomi?

Mari baca artikel ini.

Pengenalan

Mengikut laporan statistik jenayah di Malaysia yang diterbitkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kadar jenayah meningkat secara drastik dari 66 ribu kes pada tahun 1990 hingga 182 ribu kes pada tahun 2000. Tambahan pula, terdapat lebih kurang 210 ribu kes jenayah telah berlaku di sepanjang tahun 2009.

Memasuki dekad 2010-2019, selain jenayah fizikal seperti rompakan, pecah masuk rumah, rasuah dan ragut, jenayah siber mula dilaporkan apabila penjenayah ini mencari mangsa di atas talian (online) dengan aktiviti penipuan transaksi bank, ugutan dan penipuan pembelian barangan seperti telefon bimbit.

Secara purata, lebih kurang 575 kes jenayah berlaku di Malaysia bagi setiap hari atau lebih kurang 24 kes jenayah bagi setiap satu jam.

Jenayah Peluang

Jenayah tidak akan berlaku jika mangsa tidak wujud. Justeru, teori jenayah peluang menyatakan bahawa walaupun penjenayah bermotif melakukan jenayah, tetapi tidak mempunyai peluang mendapat mangsa, maka jenayah tidak akan berlaku.

Mengikut teori jenayah peluang, pengangguran yang tinggi akan menyebabkan penganggur sentiasa berada di sekitar kawasan tempat tinggalnya dan kawalan terhadap hartanya adalah lebih ketat, maka peluang penjenayah mendapat mangsa adalah rendah.

Justeru, teori jenayah peluang menjangkakan bahawa kadar pengangguran dan faktor kawalan ataupun keselamatan akan mempengaruhi kadar jenayah secara songsang.

Faktor Pelancongan

Imej via iLabur

Di samping itu, faktor pelancongan dijangka mempunyai kesan terhadap kadar jenayah.

Hal ini kerana ketibaan pelancong-pelancong asing akan meningkatkan bilangan mangsa jenayah dalam pasaran dan seterusnya akan menyebabkan kadar jenayah meningkat kerana peluang penjenayah mendapat mangsa adalah tinggi.

Namun, realitinya, walaupun ketibaan pelancong asing ke Malaysia akan menambahkan bilangan mangsa yang berpotensi, tetapi perkembangan sektor pelancongan juga akan menjana banyak peluang pekerjaan kepada orang tempatan yang mana seterusnya akan mengurangkan kadar pengangguran dan kemungkinan untuk melakukan jenayah.

Faktor Keselamatan

Imej via iLabur

Pelaburan untuk meningkatkan sistem kawalan sebenarnya ialah satu langkah yang baik untuk menyekat kadar jenayah yang meningkat. Cara ini mungkin memakan sedikit kos, tetapi dengan keadaan ekonomi yang baik, pihak kerajaan boleh membantu dalam menambah bilangan penguatkuasa.

Kejiranan yang sama-sama memelihara kawasan kediaman dengan suka rela menjadi rukun tetangga yang meronda kawasan, selain memasang pos pengawal keselamatan untuk urusan keluar masuk, mampu menghasilkan persekitaran yang lebih selamat.

Tambahan pula, kawalan keselamatan yang ketat seperti tambahan bilangan anggota polis, pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan hitam jenayah dan sebagainya akan dapat mengurangkan kadar jenayah.

Sebagai contoh, kerajaan Malaysia perlu meningkatkan perbelanjaan ke atas keselamatan seperti pemasangan CCTV, dan penambahan bilangan polis peronda di kawasan hitam jenayah

Ini kerana apabila kawalan ketat dikenakan peluang mendapat mangsa akan berkurang.

Kaitan Pelancongan, Keselamatan dan Kadar Jenayah

Para pelancong cenderung untuk membatalkan niat mereka untuk melancong jika mereka mendapati destinasi yang akan dikunjungi itu tidak selamat sama ada dari segi sosial ataupun politik.

Justeru, untuk menarik lebih ramai pelancong asing, pihak berkuasa cenderung memberi perhatian terhadap keselamatan dalam negara.

Dengan kata lain, perkembangan sektor pelancongan akan meningkatkan peruntukan perbelanjaan kerajaan ke atas keselamatan dalam negara. Dengan ini, kadar jenayah dapat dikurangkan dan ekonomi negara dapat dimantapkan melalui sektor pelancongan.

Faktor Kemiskinan dan Pengangguran

Imej via iLabur

Kadar inflasi dan kadar pengangguran adalah mempengaruhi antara satu sama lain. Hubungan ini boleh dikaitkan apabila kadar pengangguran tinggi, maka kadar inflasi juga cenderung berada pada tahap yang rendah.

Terdapat juga majikan yang sentiasa mempunyai perasaan prejudis atau diskriminasi ke atas mereka yang pernah disabitkan kesalahan jenayah.

Jadi, peluang mereka mendapat pekerjaan adalah rendah. Seterusnya, kitaran jenayah akan terus berlaku.

Kadar pengangguran dan kadar inflasi dapat dikurangkan melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan penawaran barang-barang. Ekoran daripada itu, kadar jenayah juga dapat dikawal.

Walaupun pelaksanaan dasar-dasar ekonomi mampu membanteras jenayah, tetapi kawalan yang ketat masih tidak boleh diabaikan dalam konteks pembanterasan jenayah.

Kajian Saintifik

Chor Foon Tang & Sezali Md. Darit pada tahun 2015 ada menerbitkan kertas kajian yang mengkaji faktor ekonomi dan kesannya ke atas kadar jenayah menggunakan model matematik seperti berikut:

lnCRt = β0 + β1URt + β2INFt + β3 lnTOURt + β4lnPOVt + β5lnSECt + εt

yang mana,

  • ln ialah logaritma semula jadi
  • ε ialah ralat yang diandaikan mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam model regresi linear klasik (CLRM)
  • lnCRt ialah kadar jenayah per 100,000 populasi
  • URt ialah kadar pengangguran
  • INFt ialah kadar inflasi
  • lnTOURt ialah bilangan ketibaan pelancong asing ke Malaysia
  • lnSECt ialah pembolehubah tahap keselamatan yang diukur melalui perbelanjaan kerajaan benar per kapita ke atas keselamatan dalam negara
  • lnPOVt ialah pembolehubah tahap kemiskinan yang diukur melalui perbelanjaan penggunaan benar per kapita

Hasilnya, mereka mendapati hanya faktor kemiskinan dan keselamatan berjaya mendapat keputusan yang signifikan. Faktor pelancongan memberi kesan yang berlawanan.

Penemuan kajian ini mencadangkan bahawa dalam jangka pendek, kemiskinan memberi kesan positif terhadap kadar jenayah, manakala pembolehubah keselamatan pula memberi kesan negatif terhadap kadar jenayah di Malaysia.

Ini bermakna faktor kemiskinan dan keselamatan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju kadar jenayah di Malaysia di jangka pendek dan panjang.

Kesimpulan

Memandangkan kadar pengangguran dan kemiskinan mempengaruhi kadar jenayah di Malaysia secara positif, manakala pelancongan pula mempunyai kesan terhadap kadar pengangguran dan kemiskinan, maka penggubal-penggubal dasar boleh membantu dalam mengurangkan kadar jenayah di Malaysia melalui pelaksanaan dasar galakan pelancongan.

Ini kerana dasar galakkan pembangunan sektor pelancongan di Malaysia bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan di sektor perkhidmatan, bahkan sektor-sektor lain seperti pembuatan dan pemakanan juga memperoleh manfaatnya kerana pelancongan merupakan sebuah sektor yang dinamik.

Jemput juga baca artikel:

Rujukan

  1. Papaioannou, K. J. (2017). “Hunger makes a thief of any man”: Poverty and crime in British colonial Asia. European Review of Economic History21(1), 1-28.
  2. Tang, C. F., & Darit, S. M. (2015). Penentu Makroekonomi Kadar Jenayah di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia49(2), 53-60.
  3. Wrigley-Asante, C., Owusu, G., Oteng-Ababio, M., & Owusu, A. Y. (2016). Poverty and crime: Uncovering the hidden face of sexual crimes in urban low-income communities in Ghana. Ghana Journal of Geography8(1), 32-50.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.