Di sana-sini, kita boleh melihat rakyat Malaysia mengeluh dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya di media sosial dengan status yang dimuat naik.

Apakah punca sebenar yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di negara kita? Adakah terdapat langkah mengatasi supaya kita boleh hidup dengan lebih selesa?

Jom baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Dalam usaha kerajaan Malaysia membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar.

Isu kenaikan kos sara hidup merupakan satu isu global yang dihadapi oleh banyak negara yang sedang membangun. Malahan, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun juga turut berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat mereka.

Kos sara hidup merujuk kepada belanjawan minimum untuk membeli sekumpulan barang dan perkhidmatan dalam mencapai tingkat taraf hidup tertentu.

Kos sara hidup termasuklah jumlah pendapatan yang diperolehi dan perbelanjaan seharian yang boleh dikatakan cukup makan, atau ada segelintir masyarakat yang ikat perut atau bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Menurut Bank Negara, individu dewasa bujang yang tinggal di Kuala Lumpur memerlukan RM2,700 sebulan sebagai gaji kehidupan wajar. Kehidupan yang selesa tanpa perlu memikirkan soal perbelanjaan dan bebanan hutang adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Isu Sejagat Masalah Kos Sara Hidup di Seluruh Dunia

Imej via iLabur

Amerika Syarikat

Walaupun bergelar negara maju, Amerika turut menghadapi masalah perbezaan kuasa beli yang tinggi di antara bandar-bandar.

Walaupun bandar New York merupakan bandar yang mempunyai gaji pertengahan ke -8 tertinggi di Amerika Syarikat, harga barang mereka merupakan antara tertinggi di Amerika Syarikat. Ini telah menyebabkan bandar New York berada di kedudukan yang rendah di kalangan bandar-bandar Amerika Syarikat dalam tahap kuasa beli.

Keadaan yang sama juga telah meletakkan bandar Philadelphia pada kedudukan yang rendah dalam carta kuasa beli mengikut bandar di Amerika Syarikat (Sen & Adam 2017). Senario ini secara tidak langsung, menjelaskan bahawa kenaikkan harga barang yang jauh lebih besar mengatasi kenaikan gaji pekerja di kawasan terbabit.

Singapura

Sementara itu, menurut Worldwide Cost of Living Survey 2017, Singapura merupakan bandar yang mempunyai kos sara hidup paling tinggi di dunia.

Malahan, 5 daripada 10 bandar yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia terletak di Asia. Harga rumah dan barang pengguna yang tinggi telah dikenalpasti sebagai punca kepada kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar ini. Isu kos sara hidup yang tinggi ini telah mewujudkan jurang ketidakseimbangan ekonomi yang tinggi di dalam masyarakat di antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah.

Malaysia

Malaysia secara tidak langsung juga turut menghadapi masalah kos sara hidup yang tinggi.

Kuala Lumpur secara amnya telah menduduki tempat ke-96 dalam bandar termahal di dunia menurut Worldwide Cost of Living Survey 2017. Isu kenaikan kos sara hidup di Malaysia merupakan isu berulang yang telah melanda negara sejak lama lagi.

Masalah ini diburukkan lagi dengan kenaikan harga rumah yang mendadak dalam 10 tahun kebelakangan ini. Berdasarkan Indek Harga
Rumah Malaysia (IHRM) yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, harga rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 9.1% sepanjang tempoh suku pertama 2010 hingga suku kedua 2012.

Malahan, purata pertumbuhan untuk dua tahun ini telah jauh mengatasi kadar purata pertumbuhan tahunan untuk tempoh 2001 hingga 2009 sebanyak 3.2%.

Kos Keperluan Asas di Malaysia

Imej via iLabur

Berdasarkan indeks harga pengguna (IHP) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, harga barang dan perkhidmatan secara umumnya telah meningkat sebanyak 29% secara umumnya dalam tempoh 10 tahun, antara 2005 dan 2015.

Meskipun harga minyak dunia pernah menunjukkan trend penurunan, ketidakstabilan mata wang ringgit berbanding dollar Amerika telah mengecilkan kesan positif penurunan harga minyak.

Terdapat 3 komponen paling besar perbelanjaan isi rumah iaitu:

  1. perumahan (23.9%)
  2. makanan (18.9%)
  3. pengangkutan (14.6%)

Kos Pengeluaran Makanan di Malaysia

Pergantungan kepada bahan mentah import yang tinggi untuk menghasilkan makanan telah menyebabkan kos pengeluaran makanan di Malaysia meningkat apabila nilai mata wang negara mengalami penyusutan.

Trend peningkatan nilai tukaran Ringgit yang melebihi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak Januari 2017 telah memaksa peniaga untuk menaikkan harga makanan bagi menampung kos pertukaran mata wang yang tinggi.

Kajian dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) mendapati RM0.11 dari setiap RM1 keluaran makanan yang diproses merupakan kos bahan mentah yang diimport. Sementara itu, bahan mentah yang diimport menyumbang sebanyak RM0.28 kepada setiap RM1 keluaran makanan yang tidak diproses seperti sayur dan buah-buahan.

Usaha Kerajaan

Menyedari perkara ini, kerajaan Malaysia telah meletakkan fokus menangani kos sara hidup sebagai salah satu bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA) di dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Malah semenjak RMK10, pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan telah disediakan kepada isi rumah untuk membantu menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

Dalam laporan Kementerian Kewangan 2017, menerusi belanjawan negara 2018, kerajaan menekankan tema ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat melalui pelbagai inisiatif.

Secara umumnya, median pendapatan isi rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 326% daripada tahun 1992 (RM 1,077) sehingga 2014 (RM 4,585). Purata pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) bagi median pendapatan ini pula ialah sebanyak 6.81%.

Nilai ini adalah lebih tinggi daripada nilai CAGR inflasi (diukur berdasarkan nilai Indeks Harga Pengguna (IHP)) yang hanya sekitar 2.65% bagi tempoh yang sama. Namun, isu kos sara hidup tetap menjadi tumpuan dan seringkali menjadi topik utama dalam membincangkan sejahteraan hidup penduduk di Malaysia.

Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup

Kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merupakan kumpulan paling terdedah kepada isu kos sara hidup. Mereka juga telah dikenal pasti sebagai golongan yang paling berisiko apabila berlaku sebarang krisis ekonomi.

Isi rumah dengan pendapatan tinggi hanya berbelanja sebanyak RM0.25 sahaja daripada tambahan RM1 yang diperoleh. Manakala, isi rumah yang pendapatan rendah berbelanja sebanyak RM0.80 daripada setiap tambahan RM1 yang diperoleh.

Kumpulan isi rumah B40 merupakan kumpulan paling berisiko dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup. Kumpulan B40 berhadapan dengan peningkatan perbelanjaan sebanyak 10.1% setiap tahun.

Justeru itu, pelan pemansuhan subsidi dalam pelbagai barangan pada masa hadapan akan memberikan kesan yang besar kepada golongan ini.

Faktor Masalah Kos Sara Hidup

Laporan tahunan Bank Negara Malaysia menyatakan masalah kos sara hidup secara umumnya berkait dengan:

  • peningkatan inflasi
  • corak perbelanjaan individu

Pendapatan isi rumah mengikut kumpulan pendapatan adalah sentiasa lebih tinggi daripada perbelanjaan bulanan mereka. Kumpulan B40 pula didapati mempunyai pendapatan yang hampir sama dengan jumlah perbelanjaan.

Tambahan pula, peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh:

  • peningkatan ketara dalam harga barangan
  • pertumbuhan pendapatan yang perlahan
  • corak perbelanjaan isi rumah yang melebihi pendapatan

Senario Kenaikan Kos Sara Hidup

Imej via iLabur

Pendapatan yang meningkat lebih perlahan daripada inflasi menyebabkan isi rumah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang yang sama. Sementara itu, perubahan dalam corak perbelanjaan bagi memenuhi taraf kehidupan yang berubah turut memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup isi rumah.

Perubahan taraf hidup boleh berlaku akibat daripada perubahan status barang ekonomi isi rumah daripada barang keperluan kepada barang kehendak. Sebagai contoh, taraf kehidupan yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan telefon pintar dan internet menjadi suatu keperluan bagi isi rumah.

Ini sekaligus menjadikan jumlah perbelanjaan isi rumah tersebut untuk tujuan komunikasi meningkat berbanding dengan sebelumnya, walaupun harga barangan  tidak berubah.

Kesimpulan

Kenaikan kos sara hidup dapat ditangani sekiranya faktor corak perbelanjaan yang meningkat dengan mendadak berbanding peningkatan pendapatan dapat dikawal dengan baik.

Kebiasaannya, dalam menangani kos sara hidup, terdapat dua pandangan yang selalu dibincangkan, iaitu pengawalan harga barang, dan juga peningkatan pendapatan isi rumah.

Rujukan

  1. Albouy, D., Ehrlich, G., & Liu, Y. (2016). Housing demand, cost-of-living inequality, and the affordability crisis (No. w22816). National Bureau of Economic Research.
  2. Handbury, J. (2019). Are poor cities cheap for everyone? non-homotheticity and the cost of living across us cities (No. w26574). National Bureau of Economic Research.
  3. Wahab, M. A. A., Shahiri, H. I., Mansur, M., & Zaidi, M. A. S. (2018). Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat?. Jurnal Ekonomi Malaysia52(1), 117-133.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.