Pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT merujuk kepada kemajuan teknologi yang boleh dilihat dengan capaian internet dan alat peranti gadget yang pelbagai pada masa ini.

Bagaimana pembangunan ICT ini boleh membantu sistem kewangan dan seterusnya mengurangkan jurang pendapatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sejahtera?

Ketahuinya dengan bacaan lanjut dalam artikel ini.

Pengenalan

Pembangunan kewangan merupakan proses inovasi kewangan serta institusi dan juga organisasi dalam sistem kewangan yang dapat mengurangkan maklumat simetri, meningkatkan kesempurnaan pasaran, mengurangkan kos urus niaga dan meningkatkan persaingan terutamanya dalam pelaburan kerana manfaat yang diperoleh daripada pembangunan kewangan.

Skop pembangunan kewangan adalah tertumpu pada penambahbaikan (inovasi) terutamanya dalam produk, institusi dan juga organisasi dalam sektor perbankan, sektor kewangan bukan perbankan dan juga pasaran modal.

Pembangunan kewangan adalah penting bagi sesebuah negara untuk memastikan semua sektor dan industri berjalan lancar malah pembangunan kewangan juga dapat menjamin hubungan dengan negara-negara maju seterusnya menjamin ke arah kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Punca Ketidaksamaan Pendapatan

Terdapat beberapa sebab terjadinya ketidaksamaan pendapatan, antaranya:

  • pendapatan bagi golongan miskin jatuh berbanding golongan kaya
  • pendapatan golongan kaya meningkat lebih cepat berbanding pendapatan orang miskin
  • kebolehan semula jadi
  • modal yang diwarisi
  • minat individu

Hubungan Pembangunan Kewangan dan Ketidaksamaan Jurang Pendapatan

Imej via iLabur

Peningkatan pembangunan kewangan dilihat dapat mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, malahan dapat membasmi kemiskinan secara tidak langsung.

Namun begitu akibat kesan globalisasi, pengaruh liberalisasi serta pembaharuan ke atas sistem kewangan juga dilihat boleh memburukkan lagi jurang pendapatan.

Hal ini berlaku disebabkan pembaharuan yang dilakukan dapat meningkatkan pertumbuhan dan memperluaskan kredit serta pelaburan.

Namun begitu, hanya dinikmati oleh sebahagian golongan dan hanya tertumpu pada golongan kaya serta golongan berpendidikan sahaja. Ini kerana kebanyakan golongan kaya mempunyai harta yang boleh digunakan sebagai cagaran dan mendapat manfaat apabila sektor kewangan berkembang.

Sekiranya pembangunan kewangan meningkatkan akses hanya untuk golongan yang kaya namun tidak bagi golongan miskin maka boleh memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan.

Kemajuan ICT

Imej via iLabur

Kesan globalisasi digerakkan melalui kemajuan ICT malah pembangunan ICT dilihat sebagai penggerak utama ekonomi berasaskan pengetahuan khususnya dalam bidang:

  • industri
  • modal
  • insan
  • infrastruktur digital
  • inklusiviti digital

Kemajuan dalam ICT secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti melalui inovasi seterusnya meningkatkan daya saing dan penggunaan kekayaan.

Selain itu, revolusi teknologi maklumat juga memberi manfaat kepada pembangunan kewangan di sesebuah negara melalui perkembangan teknologi internet atau IT kerana membolehkan industri perbankan untuk menguruskan pangkalan maklumat yang lebih besar di pelbagai lokasi, memberikan perkhidmatan yang baik malahan dapat menguruskan risiko dengan lebih efisien.

Pembangunan kewangan perlu seiring dengan peningkatan terhadap kemajuan dari sudut teknologi bagi memudahkan lagi penggunaan akses kewangan kepada semua golongan.

Kemajuan ICT dan Pembangunan Ekonomi di Peringkat Dunia

Pengaruh kemajuan globalisasi pada era 20-an khususnya menunjukkan bahawa terdapat pertumbuhan ekonomi yang luar biasa pada kebanyakan negara namun jika dilihat dari sudut perbezaan jurang pendapatan tidak semua golongan mampu menikmatinya kerana isu ketidaksamaan pendapatan dan juga kemiskinan sentiasa berterusan.

Sebanyak 7 bilion populasi penduduk dunia tinggal di dalam kawasan yang diliputi oleh rangkaian mudah alih ini menyebabkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi kini dilihat berpotensi bagi mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

Peningkatan berterusan dalam ICT mampu menyumbang kepada pembangunan produk dan perkhidmatan malah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendapatan tidak akan menjejaskan akses kepada ICT namun kekurangan akses kepada teknologi digital mempunyai potensi untuk meluaskan semula ketidaksamaan yang sedia ada.

Teknologi pada hari ini dapat menjadikan masyarakat lebih terbuka malah dapat memberikan peluang yang pelbagai untuk rangkaian serta hubungan yang luas.

Pengaruh ICT dan Jurang Pendapatan

Imej via iLabur

Peningkatan ICT mampu menjadikan perkembangan perkhidmatan kewangan yang lebih baik sekali gus menyokong kepada pengagihan pendapatan yang lebih saksama.

ICT sebagai Saluran Informasi

Jaringan komunikasi adalah penting kerana dapat menyalurkan informasi yang baik seterusnya mengurangkan maklumat tidak simetri di antara penjual aset kewangan dan juga pembeli dengan mengurangkan kos komunikasi dan proses data serta membenarkan pembeli dan penjual mendapat maklumat yang sama.

Masalah maklumat tidak simetri merupakan sesuatu yang penting kerana boleh menyebabkan kekangan kepada akses kewangan seterusnya mengakibatkan pengurangan kecekapan peruntukan kewangan dan mengurangkan persaingan.

Perkongsian Maklumat

Perkembangan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat meningkatkan perkongsian maklumat antara peserta pasaran dalam pelbagai sektor malah kos pemasaran dapat dikurangkan serta berlakunya peningkatan dalam penyertaan pasaran.

Merapatkan Jurang Komunikasi

Penggunaan teknologi ini merupakan strategi yang baik bagi merapatkan jurang di peringkat pembangunan antarabangsa malahan teknologi telekomunikasi mudah alih ini dilihat sebagai suatu paradigma untuk model perniagaan yang berdaya maju dalam persekitaran perlindungan pelabur yang lemah.

Pengurangan Kos Transaksi

Penembusan teknologi komunikasi ICT boleh mengurangkan kos transaksi pengantara kewangan dan mempertingkatkan fleksibiliti perniagaan malah penawaran dalam teknologi ICT juga turut memberi kesan ke atas hasil pendapatan kerajaan melalui cukai pendapatan yang dikenakan ke atas syarikat telekomunikasi.

Langkah Terbaik Merapatkan Jurang Pendapatan

Terdapat faktor lain yang perlu diambil perhatian dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan malahan perlu diseimbangkan bagi memastikan negara mencapai kedudukan ekonomi yang mantap di samping semua golongan masyarakat dapat merasai manfaatnya.

Oleh itu, dalam merangka strategi bagi mengurangkan jurang pendapatan, perkara berikut perlu diberi perhatian untuk dipertingkatkan:

  • modal insan
  • kemahiran
  • pendidikan
  • infrastruktur untuk proses latihan dan pendidikan

Kesimpulan

Sistem kewangan yang berfungsi dengan baik berpotensi menggalakkan pengumpulan modal fizikal bagi meningkatkan kecekapan ekonomi serta menggalakkan pertumbuhan jangka panjang.

Pembangunan pasaran kewangan mempunyai kesan positif ke atas pengagihan pendapatan kerana pasaran yang lebih maju dan bebas lebih terdorong meluaskan penyediaan kredit sekali gus memberi peluang kepada golongan miskin melabur dan membina modal insan dan fizikal.

Pembangunan dalam ICT mampu menyumbang kepada pembangunan produk dan perkhidmatan. Ketidaksamaan jurang teknologi pula adalah berdasarkan ketidaksamaan dalam masyarakat menghasilkan pengagihan sumber tidak sama serta menyebabkan akses teknologi digital juga tidak sama.

Sememangnya kemodenan dari sudut ICT serta pembangunan kewangan merupakan prasyarat kepada pembangunan ekonomi, namun tidak bererti dapat menjamin kepada pengurangan ketidaksamaan pendapatan.

Rujukan

  1. Baliamoune‐Lutz, M. (2003). An analysis of the determinants and effects of ICT diffusion in developing countries. Information Technology for development10(3), 151-169.
  2. Richmond, K., & Triplett, R. E. (2018). ICT and income inequality: a cross-national perspective. International Review of Applied Economics32(2), 195-214.
  3. \Shaharuddin, N., Sarmidi, T., Nor, A. H. S. M., & Wahab, M. H. A. (2018). Pembangunan Kewangan, ICT dan jurang pendapatan: Bukti Empirikal data Panel Dinamik. Jurnal Ekonomi Malaysia52(2).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.