Mengisi borang E-filing adalah salah satu daripada perkara yang menggusarkan hati para pekerja di Malaysia. Saban tahun pastinya ada yang akan berpeluh-peluh mengisi E-borang dan mengejar untuk dihantar sebelum tamat tempoh yang ditetapkan. Oleh kerana borang E-filing memerlukan kita memasukkan banyak maklumat yang teknikal dan terperinci, tidak mustahil ada kesilapan yang berlaku dimana kita maklumat yang dimasukkan adalah salah.

Sumber: Freemalaysiatoday

Tahukah anda, E-borang yang yang diisi untuk tujuan E-filing tidak boleh dipinda secara atas talian. Oleh itu, jika ada sebarang maklumat yang salah diisi didalam E-borang, anda tidak boleh membetulkannya semula. Apa yang boleh anda lakukan ialah dengan menghantar surat rayuan kepada LHDN bagi membuat pembetulan kepada maklumat yang tersalah.

Anda juga perlu tahu bahawa ntuk mengelakkan daripada dikenakan sebarang penalti, surat rayuan anda perlu dihantar pada atau sebelum tarikh berikut:

  • Pada atau sebelum 30 April jika anda tidak mempunyai punca perniagaan  
  • Pada atau sebelum 30 Jun jika anda mempunyai punca perniagaan

Untuk menghantar surat rayuan pindaan E-filing bersama:

  • Cetakan E-borang. Cetak E-borang yang telah anda isi dan tandakan bahagian yang silap diisi. Kemudian buat pembetulan di ruangan yang silap dan jangan lupa untuk tandatangan ringkas di sebelah pembetulan tersebut
  • Apa yang perlu anda lakukan seterusnya ialah buat pengiraan cukai secara manual sehingga ke peringkat “Cukai Kena Dibayar”.
  • Sekiranya terdapat baki cukai yang perlu dibayar, baki tersebut hendaklah dibayar pada atau sebelum 30 April jika anda tidak mempunyai punca perniagaan atau pada atau sebelum 30 Mei jika anda mempunyai punca perniagaan.
  • Jangan lupa untuk lampirkan sekali surat rayuan yang menerangkan kesilapan tersebut bersama salinanEe-borang anda beserta semua dokumen dan resit asal yang menyatakan butiran pembelian yang dibuat untuk mengesahkan pendapatan, kesemua tuntutan dan potongan cukai.
  •  Hantar surat rayuan beserta dokumen berkenaan ke cawangan seliaan fail pembayar cukai.

Setelah surat rayuan anda diterima, rayuan kesilapan anda akan melalui proses audit. Berapa lama  masa yang diambil untuk pindaan pada borang E-borang anda adalah bergantung kepada maklumat dan dokumen yang diserahkan. Menulis surat rayuan pindaan borang E-filing tidaklah terlalu susah untuk dilakukan. Berikut adalah contoh panduan surat rayuan LHDN jika anda membuat kesilapan dalam mengisi borang melalui E-filing:

Suraya Binti Ahmad

No.25 jalan Permata Nilam,

Taman Bukit Indah,

68000 ampang,

Selangor.

012-9876543                                                                                                               3 Mei 2020

Lembaga hasil Dalam Negeri Malaysia

Cawangan Wangsa Maju,

Tingkat Bawah & Mezzanine 6-10,

Menara kausar jalan 3/27A,

Seksyen 1 bandar Baru Wangsamaju,

53300 Kuala Lumpur

Rayuan Pembetulan Maklumat Dalam E-borang E-filing

Perkara di atas adalah dirujuk. Saya ingin merayu untuk membuat pembetulan dalam E-borang E-filing yang telah saya hantar secara atas talian. Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat sedikit kesilapan maklumat yang diisi didalam borang terbabit yang perlu dibetulkan.

Bersama surat rayuan ini disertakan juga dokumen dan lampiran yang berkenaan iaitu:

  1. Cetakan E-borang yang telah diisi. Bahagian yang silap telah ditanda dan pembetulan telah diletakkan di ruangan yang silap. Tanda tangan ringkas saya telah diletakkan di sebelah pembetulan tersebut.
  2. Saya juga telah membuat semula pengiraan cukai secara manual sehingga ke peringkat “Cukai Kena Dibayar”.
  3. Oleh kerana terdapat baki cukai yang perlu dibayar, baki tersebut telah saya bayar sebelum 30 April kerana saya tidak mempunyai punca perniagaan. Resit sebagai bukti bayaran telah dibuat ada dilampirkan sekali bersama surat rayuan ini.
  4. Dilampirkan sekali dokumen dan resit asal untuk mengesahkan pendapatan, kesemua tuntutan dan potongan cukai yang saya tuntut.

Segala keprihatinan dan kerjasama dari pihak tuan amat dihargai dan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

………………………………….

( Suraya Binti Ahmad )

Sumber: Thebalancecareers

Menurut laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri, terdapat beberapa hak rayuan yang boleh dibuat oleh pembayar cukai iaitu:

Seksyen 99 ACP memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu taksiran yang telah dibuat untuk mana-mana tahun taksiran ke atasnya oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) berhak merayu terhadap taksiran itu.

Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak terpakai kepada kes-kes berikut:

a)            taksiran disifatkan di bawah subseksyen 90(1) ACP 1967; ATAU

b)            taksiran disifatkan untuk Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terpinda di bawah seksyen 91A ACP 1967

Melainkan pembayar cukai tidak bersetuju dengan layanan di dalam KU atau pendirian, ketetapan dan amalan KPHDN yang terdapat pada masa semasa taksiran itu dibuat. Contoh pendirian, ketetapan dan amalan adalah seperti berikut:

i.              surat ketetapan persendirian atau ketetapan awal;

ii.             garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM);

iii.            keputusan kes undang-undang di peringkat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dan mahkamah; ATAU

iv.           bukti bertulis lain.

Oleh itu Seksyen 99 ACP 1967 hanya terpakai untuk rayuan terhadap notis taksiran yang dibuat untuk mana-mana tahun taksiran bagi kes-kes seperti di bawah:

a)            Taksiran/taksiran tambahan/taksiran pendahuluan yang dibuat oleh KPHDN hasil daripada penemuan audit meja atau audit luar; ATAU

b)            Taksiran anggaran (best judgement assessment) yang dibuat tanpa BNCP atau BNCP lewat dikemukakan iaitu di luar tempoh yang ditetapkan di bawah subseksyen 90(3) ACP 1967.

Rayuan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Borang Q tidak lewat dari tiga puluh (30) hari selepas notis taksiran diserahkan sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 99(1) ACP 1967.

Sumber: GMC

Itulah dia info tentang panduan surat rayuan LHDN jika anda membuat kesilapan mengisi borang melalui E-filing yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang potongan cukai bulanan dan pelepasan cukai individu.

Rujukan:

1. Lembaga Hasil Dalam Negeri

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.