Adakah dengan semakin tinggi pendapatan gaji seseorang, makin banyak berbelanja?

Setuju?

Okay, teruskan bacaan artikel ini yang akan membincangkan pernyataan tersebut, makin banyak gaji, maka makin banyak berbelanja lah?

Pengenalan

Di bandar, perbelanjaan harian akan lebih meningkat dengan adanya barangan dan perkhidmatan yang tersedia untuk memenuhi keperluan tiap lapisan masyarakat sama ada berdasarkan faktor seperti:

  • tingkat umur
  • jenis kaum
  • gender
  • kumpulan pendapatan

Berbelanja adalah aktiviti yang melibatkan pengeluaran sebahagian daripada pendapatan isi rumah bagi memperoleh dan menggunakan barang dan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan harian.

Kecenderungan Berbelanja

Imej via iLabur

Berbelanja sebagai proses pemilihan barang dan perkhidmatan yang melibatkan aspek sosial, budaya, dan ekonomi, selain merupakan tingkah laku pengguna dalam mencari , dan menilai produk bagi memenuhi keperluan, dan merupakan langkah terakhir bagi memenuhi keperluan peribadi.

Pembeli akan mempertimbangkan tahap kemampuan dahulu dan jika merasakan ketika itu bukan waktu yang terbaik untuk berbelanja, mereka akan mengutamakan perbelanjaan bagi keperluan asas, sementara menangguhkan keperluan-keperluan lain.

Halangan Berbelanja

Namun demikian dalam berbelanja untuk memenuhi keperluan, terdapat pelbagai cabaran yang bakal dihadapi lebih-lebih lagi jika mereka tergolong dalam golongan berpendapatan rendah. Ini disebabkan oleh kurangnya kuasa membeli akibat faktor ekonomi yang terbatas, dan harga barangan yang semakin meningkat.

Keadaan ini menjadi bertambah sukar lebih-lebih lagi jika menetap di kawasan bandar.

Kepadatan penduduk di bandar menghasilkan lambakan penawaran produk dan barangan yang cenderung untuk memenuhi kepelbagaian latar belakang masyarakat. Secara tidak langsung, identiti ciptaan dalam kumpulan tertentu yang memerlukan lebih perbelanjaan wang terhasil.

Oleh itu, ketersediaan produk dan barangan ini membuka ruang pilihan yang pelbagai kepada pengguna atau pembeli, dan ianya bergantung kepada kebijaksanaan mereka untuk memilih dan merancang agar sesuai dengan kemampuan dan keperluan.

Perbelanjaan dan Kos Hidup di Bandar

Di bandar, kos sara hidup merupakan isu utama yang sering dibincangkan oleh pelbagai pihak, baik dari kalangan rakyat sendiri ataupun pihak kerajaan. Bank Negara Malaysia telah mengelaskan negeri-negeri di Malaysia kepada 3 tahap pembandaran iaitu pembandaran jenis:

  1. tinggi
  2. sederhana
  3. rendah

Negeri-negeri yang mengalami proses pembandaran tinggi iaitu

  • Kuala Lumpur
  • Selangor
  • Putrajaya
  • Pulau Pinang
  • Melaka
  • Johor

menunjukkan kecenderungan untuk mengalami kesan inflasi atau kadar kenaikan kos sara hidup adalah pada kadar yang lebih tinggi berbanding negeri lain. Golongan berpendapatan antara 20 hingga 40 % terendah merupakan golongan yang paling terkesan akibat inflasi, berbanding golongan pada tingkat pendapatan 60 hingga 20 % tertinggi.

Kuasa Perbelanjaan Berdasarkan Pendapatan Mengikut Kaum

Merujuk kepada tingkat pendapatan antara kaum, kaum Melayu dilihat antara kaum yang paling terkesan akibat kos sara hidup ini.

  • Merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi, kaum Melayu dan India merupakan kaum majoriti yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) iaitu sebanyak 17.1 % manakala hanya 16.3 % sahaja kaum Cina yang tergolong dalam kumpulan ini.
  • Bagi golongan 40 % pertengahan (M40), kaum Melayu turut merupakan majoriti kaum iaitu sebanyak 37.4 %, kaum Cina sebanyak 36.8 %, manakala kaum India sebanyak 36.2 %.
  • Bagi golongan 20 % tertinggi (T20), kaum Melayu merupakan minoriti kaum iaitu sebanyak 45.5 % manakala kaum Cina sebanyak 46.9 % dan kaum India sebanyak 46.7 %.

Statistik ini menunjukkan bahawa golongan Melayu lebih banyak tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan berbanding kaum lain. Maka, dapat dirumuskan bahawa kuasa membeli dan berbelanja bagi kaum Melayu adalah lebih kecil berbanding kaum lain.

Masalah Kewangan Kaum Melayu

Oleh sebab kaum Melayu mempunyai pendapatan yang lebih rendah berbanding kaum lain, mereka telah menjadi penyumbang utama kepada masalah kewangan yang menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kebankrapan.

Merujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia pada tahun 2013, sebanyak 18,179 kes bankrap telah didaftarkan semenjak 2007 dengan purata lebih kurang 50 kes setiap hari dan bagi kes yang dilaporkan, kaum Melayu merupakan majoriti yang diisytiharkan bankrap iaitu sebanyak 11,498 kes dan mewakili 52 %, manakala selebihnya adalah kaum Cina iaitu 29 %, 14 % bagi kaum India, dan 4 % bagi lain-lain kaum.

Bank Negara menekankan bahawa mereka terutamanya golongan bujang memerlukan sekurang-kurangnya RM2700 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Keadaan ini sedikit sebanyak memerlukan mereka untuk merombak pecahan perbelanjaan sedia ada supaya perbelanjaan bagi keperluan yang lain turut dapat dipenuhi

Perbelanjaan Masyarakat Malaysia

Dalam konteks perbelanjaan masyarakat di Malaysia, perbelanjaan bagi keperluan tertentu berfokus kepada beberapa jenis perbelanjaan utama iaitu makanan dan barangan perkakas rumah. Perbelanjaan bagi memenuhi keperluan dengan kaedah berhutang turut diperhatikan. Perbelanjaan sebegini adalah bersifat material.

  • Bagi masyarakat Melayu, perbelanjaan tidak hanya terhad bagi keperluan material sahaja namun turut melibatkan keperluan sosial untuk memenuhi tanggungjawab dalam keluarga, masyarakat, dan juga agama, antara situasinya ialah:
  • Belia Melayu di bandar melakukan perbelanjaan bagi keperluan-keperluan yang tidak hanya terbatas kepada keperluan bersifat material semata-mata. Hal ini demikian kerana, dalam menentukan perbelanjaan apakah yang bakal dibuat, tanggungjawab sebagai ahli masyarakat, amalan-amalan dalam agama yang perlu dilakukan turut dipertimbangkan sebelum meneruskan perbelanjaan.
  • Mereka sedia untuk memperuntukkan perbelanjaan bagi keperluan orang lain bagi menjaga perhubungan sesama mereka; di samping menjalankan tanggungjawab sama ada sebagai anak, ataupun ketua keluarga.

Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka telah menetap di bandar dan jauh daripada ibu bapa, mereka masih percaya akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, dan peri pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan.

Menariknya, walaupun mereka berdepan dengan cabaran dan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar, mereka masih mengamalkan sikap kolektif dan kurang menitikberatkan sikap individualistik.

Hubungan Pendapatan dan Pembelanjaan

Nur Jannah Bukhari, Kim Keum Hyun & Aida Idris pada tahun 2018 ada mengkaji hubungan antara pendapatan dan pembelanjaan bagi masyarakat bandar Kuala Lumpur. Ringkasannya adalah seperti berikut:

  1. Pendapatan yang meningkat tidak menyebabkan pertambahan perbelanjaan bagi keperluan asas secara signifikan.
  2. Pendapatan yang meningkat akan menyebabkan pertambahan perbelanjaan bagi keperluan kesihatan dan perlindungan secara ketara.
  3. Pendapatan yang meningkat akan menyebabkan perbelanjaan bagi keperluan keluarga meningkat secara minima.
  4. Pendapatan yang meningkat tidak menyebabkan perbelanjaan keperluan agama turut meningkat.
  5. Pendapatan yang meningkat akan menyebabkan keperluan bagi aktiviti masa lapang turut meningkat.

Kesimpulan

Jika melihat kepada keperluan-keperluan yang terpaksa dihadapi oleh warga bandar ini, terdapat pelbagai keperluan yang perlu dipertimbangkan antaranya mereka terpaksa berdepan dengan perbelanjaan tambahan berbanding jika menetap di kawasan luar bandar, seperti kos bagi perjalanan harian.

Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pendapatan dan perbelanjaan bagi keperluan harian dengan makna yang lain, peningkatan pendapatan tidak semestinya akan menyebabkan perbelanjaan bertambah.

Perbelanjaan dalam memenuhi keperluan material dan sosial perlu sentiasa diteliti bagi memahami trend atau pola perbelanjaan semasa yang cenderung diamalkan lebih-lebih lagi oleh golongan muda.

Jemput baca punca peningkatan kos sara hidup

Rujukan

  1. Bose, R., & Hwang, S. W. (2002). Income and spending patterns among panhandlers. Cmaj167(5), 477-479.
  2. Bukhari, N. J., Hyun, K. K., & Idris, A. (2018). HUBUNGAN ANTARA PENDAPATAN DAN PERBELANJAAN HARIAN BAGI GOLONGAN BELIA MELAYU DI KUALA LUMPUR. e-BANGI13(2), 24-35.
  3. Darling, H., Reeder, A. I., McGee, R., & Williams, S. (2006). Brief report: Disposable income, and spending on fast food, alcohol, cigarettes, and gambling by New Zealand secondary school students. Journal of Adolescence29(5), 837-843.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.