Jom ketahui jenis ular di Malaysia yang berbahaya.

Terdapat lebih daripada 3,000 spesies ular di dunia ini dan ianya boleh dijumpai di mana-mana sahaja kecuali di Antartika, Iceland, Ireland, Greenland dan New Zealand. Daripada 3,000 spesies ular ini, lebih kurang 600 daripadanya adalah spesies yang berbisa, dan 200 daripadanya boleh membunuh atau mencederakan manusia dengan teruk.

Ular-ular yang tidak berbisa adalah seperti ular garter dan ular sawa, membunuh mangsa-mangsanya dengan menelan mereka hidup-hidup atau mencerut mereka sehingga mati. Apa jua kaedah yang digunakan, sama ada mematuk dengan bisa atau membelit, hampir kesemua ular menelan makanan mereka kesemuanya sekali, di mana kadang-kadang pada saiz atau kuantiti yang sangat besar.

Hampir kesemua ular dilitupi sisik dan sebagai reptilia, mereka berdarah sejuk dan perlu mengawal suhu badan mereka secara luaran. Sisik ular mempunyai beberapa fungsi seperti mengekalkan kelembapan dalam iklim kering dan mengurangkan geseran ketika ular bergerak.

Di Malaysia pula, terdapat lebih kurang 142 spesies ular yang telah ditemui. Daripada jumlah tersebut, 39 spesies daripadanya merupakan spesies-spesies yang berbisa yang terdiri daripada 17 ular darat dan 22 ular laut. Artikel ini akan menyenaraikan kepada anda 5 spesies atau jenis ular di Malaysia yang paling berbisa atau berbahaya.

1. Ular Laut Amfibia (Amphibious Sea Snake)

Imej via Flickr

Ular Laut Amfibia atau nama saintifiknya, “Laticauda Colubrina” yang tergolong dalam kumpulan ular Elapidae atau Hidrofidae (elapidae/hydrophidae) mempunyai panjang maksimum sepanjang 1.5 meter. Seperti ular-ular laut lain, Ular Laut Amfibia menghabiskan kebanyakan masanya di lautan, iaitu di terumbu karang tropika.

Walau bagaimanapun, ular ini kerap naik ke permukaan, terutamanya ketika musim mengawan di mana mereka bertelur di atas darat. Oleh sebab itu ia tidak dianggap sebagai ular laut sepenuhnya dan dipanggil ampfibia (hidup di atas darat dan di lautan).

Jalur perak dan hitam yang menarik meliputi seluruh badan ular ini daripada bahagian leher sehingga ke hujung ekor. Ekornya pula berbentuk pipih seperti kemudi, menjadikannya perenang yang cekap. Ular ini mempunyai racun myotoksik (myotoxic venom) yang akan melumpuhkan otot mangsa yang terkena gigitan. Spesies ular ini juga biasanya ditemui di sepanjang pantai Bangladesh, Burma, Thailand, Singapura, pulau-pulau di Indonesia, Filipina dan Laut Pasifik barat.

2. Ular Tedung Selar (King Cobra Snake)

Imej via Hong Kong Snakes

Ular tedung selar atau nama saintifiknya, “Ophiophagus Hannah”, merupakan ular berbisa terbesar di dunia. Namanya tidak asing lagi bagi masyarakat setempat, disebabkan penggunaannya di dalam pertunjukan ular di beberapa kawasan di Asia.

Ular tedung selar yang ditemui di Malaysia kelihatan kurang agresif berbanding di India. Namun begitu, ular betina boleh menjadi sangat agresif ketika mempertahankan telurnya. Satu gigitan daripada ular tedung selar ini boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat dengan cepat.

Ular tedung selar mendiami hutan dan kawasan-kawasan kebun dari dataran rendah sehingga ke kawasan yang pada ketinggian 2000 meter. Makanan utamanya adalah ular-ular lain, terutamanya ular tikus, dan adakalanya cicak. Oleh sebab itu nama saintifiknya adalah “ophiophagus” yang bermaksud ‘makan ular’. Ular ini aktif pada waktu siang dan juga malam.

3. Ular Katam Tebu (Malayan Krait Snake)

Imej via Hong Kong Snakes

Ular katam tebu atau secara saintifiknya dipanggil “Bungaris candidus”, diliputi dengan lebih kurang 30 belang hitam dan putih pada bahagian badan dan ekornya. Belang berwarna hitam hanya sampai pada bahagian tepi badan, manakala belang warna putih pula adakalanya mempunyai tompok-tompok berwarna merah.

Saiz ular katam tebu ini boleh mencecah sehingga 1.6 meter. Spesies ini biasanya ditemui di kawasan-kawasan yang rendah dan kawasan-kawasan perairan seperti di sepanjang sungai serta di kawasan sawah padi dan pesisir pantai. Ular ini juga menjadikan spesies ular lain dan cicak sebagai makanannya. Walaupun pergerakan ular ini agak perlahan, namun patukannya sangat bahaya dan boleh membawa maut.

4. Ular Katam Belang (Banded Krait Snake)

Imej via Hong Kong Snakes

Ular katam belang atau “Bungarus fasciatus” boleh ditemui di pelbagai habitat termasuk di dalam hutan, kawasan pertanian dan tepi pantai. Kebiasannya, ia kerap ditemui di kawasan yang berhampiran dengan air. Ular ini memakan tikus, cicak dan ular lain.

Spesies ular ini tidak begitu agresif pada waktu siang, namun pada waktu malam, ular ini menjadi sangat berbahaya. Ini kerana ular ini mempunyai bisa yang sangat berbisa. Ular ini sangat senang untuk dikenalpasti berdasarkan jalur hitam dan kuning yang meliputi badannya. Badan ular ini berbentuk segitiga dalam gambaran keratan rentas. Selain di Malaysia, ular ini juga boleh ditemui di India, Burma, Thailand dan selatan China dan juga pulau-pulau utama di Indonesia.

5. Ular Tedung Hitam (Black Spitting Cobra)

Imej via Ecology Asia

Ular tedung hitam atau nama saintifiknya, “Naja naja spuitatrix” atau juga dipanggil ular tedung Sumatera biasanya ditemui di kawasan-kawasan tanah rendah dan kawasan yang berpenduduk. Spesis ini telah menyesuaikan diri untuk hidup di kawasan bandar yang sibuk mahupun di kampung. Justeru, ular ini jarang ditemui di dalam hutan atau kawasan yang terbiar.

Ular ini merupakan spesies yang berbisa dan harus ditangani dengan berhati-hati. Biasanya, ular ini lebih suka mengelak daripada berdepan dengan bahaya dan dianggap tidak agresif, namun ular dewasa akan berdiri tegak dan mengembangkan tedungnya lalu mendesis dengan kuat apabila merasa terancam. Sekiranya penyerang atau pengancam tidak mengundurkan diri, ular ini akan menyemburkan racun berbisa ke arah mata penyerang atau pengancamnya.

Sekiranya racun itu tidak dibasuh dengan kadar segera, semburan itu boleh menyebabkan kerosakan kekal pada mata anda. Selaian itu, bisa yang disalurkan melalui gigitan ular ini pula menyebabkan kematian. Di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia, ular ini berwarna hitam hingga kebiru-hitaman dengan warna yang pucat di bahagian leher. Di kawasan utara Semenanjung Malaysia pula, ia berwarna coklat.

Kesimpulan

Selain daripada lima jenis ular yang dinyatakan di atas, masih banyak lagi ular-ular yang berbisa yang terdapat di Malaysia. Daripada lima spesies yang dinyatakan di atas, empat daripadanya biasanya ditemui di kawasa-kawasan hutan. Justeru, risiko untuk anda berhadapan dengannya adalah rendah, kecuali anda seorang pengembara atau penggemar aktiviti-aktiviti seperti mendaki gunung dan berkhemah di dalam hutan.

Namun demikian, satu spesies di atas, iaitu ular tedung hitam boleh ditemui di kawasan-kawasan perumahan tidak kira sama ada di bandar mahupun di kampung. Oleh itu, risiko untuk anda berhadapan dengannya agak tinggi.

Jemput juga baca artikel tentang kebaikan minyak ikan dan jenis insurans.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.